Modus Operandi – Kegiatan Macau Scam ada­lah jenayah penipuan me­libatkan kewangan pa­ling terkini dan semakin berleluasa di negara kita. Ia melibatkan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai da­ripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah, Bank Nega­ra Malaysia (BNM) atau agensi-agensi lain.

Sindiket ini menghubungi ma­ng­sa dengan membuat cerita se­olah-olah individu tersebut terlibat dalam kes seperti pengubahan wang haram, langgar lari, hutang kad kredit dan sebagai­nya. Kemudiannya mereka akan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun bank mereka bagi menyelesaikan kes atau masalah yang dihadapi.

Terdapat pelbagai jenis Macau Scam seperti penipuan pinjaman bank, kad kredit, penculikan dan tebusan, pembebasan tahanan, saman PDRM dan mahkamah, hadiah cabutan bertuah, pakej pelancongan serta macam-ma­cam lagi.

 

Statistik Kes Penipuan

Sumber: The Malaysian Times

Berdasarkan statistik yang di­keluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM pada 2017 sebanyak 4,500 kes de­ngan kerugian sebanyak RM113.11 juta yang melibatkan penipuan melalui panggilan telefon dan khid­mat pesanan ringkas (SMS).

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh pula sebanyak 21,374 pelbagai kes jenayah komersil dilaporkan tahun ini melibatkan kerugian kira-kira RM4.2 bilion.

Sumber: CARI Infonet

Antara jenayah komersil itu membabitkan kes African Scam, Macau Scam, Love Scam dan keldai akaun.

Beliau berkata jumlah kes komersil itu adalah bagi tempoh Januari sehingga 21 Oktober dan 56 peratus daripada jumlah kes itu melibatkan kes jenayah siber serta pinjaman tidak wujud.

 

Antara Mangsa Terpedaya Dengan Macau Scam

Terbaru, seorang pesara guru kerugian RM317,500 selepas dihubungi seorang lelaki yang mengaku dari mahkamah. Mangsa dikatakan mempunyai tunggakan kad kredit dan pada masa sama kad tersebut digunakan untuk tujuan jenayah.

Sumber: Berita Harian

Pada 5 Ogos lalu, seorang Pensyarah Kanan dari sebuah universiti tempatan kerugian sebanyak RM301,700 selepas diperdaya dan tiga orang suspek berjaya diberkas selepas mangsa membuat laporan polis. Salah seorang suspek menyamar sebagai pegawai polis, kastam dan pegawai bank bagi memperdaya mangsa. Kes tersebut adalah salah satu daripada 212 kes di Pulau Pinang yang melibatkan RM4.5 juta.

Pada 22 Jun 2018 seorang akauntan kerugian RM68,000 di Cameron Highlands yang mana sin­diket mendakwa mangsa mempunyai sejumlah hutang ter­tunggak kad kredit. Di Kedah pula, PDRM berjaya membongkar kegiatan sindiket ini yang menggunakan surat rasmi polis dalam operasi mereka. Mangsa dimaklumkan terlibat dalam kes dadah serta menggelapkan wang berjumlah RM2.3 juta.

Di Kuantan, seorang pesara ke­rajaan rugi RM85,000 pada Ju­lai lepas apabila dikatakan mempunyai tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas dihu­bungi oleh seorang lelaki dari Unit Semakan Mahkamah Tinggi Alor Setar. Di Kuala Lumpur seorang pesara jurutera kerugian kira-kira RM559,975 apabila dihubungi oleh seorang individu dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada bulan April dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dengan Bank Hong Leong seba­nyak RM50,000.

Jika difikirkan, mustahil mang­sa-mangsa tidak sedar dengan kes penipuan seperti ini kerana mereka bukan tidak menonton te­levisyen, membaca surat khabar atau melayari berita-berita me­ngenainya di media sosial.

Mangsa-mangsa pula bukannya tidak berpelajaran tinggi, mereka juga terdiri dalam kalangan profesional yang sudah tentu lebih arif dan sedar tentang penipuan ini, tetapi mereka pula yang mudah terpedaya dengan tidak membuat sebarang selidik dan siasatan terlebih dahulu terus mempercayainya.

Nampaknya, sindiket Macau Scam lebih berani dan tidak takut pihak berkuasa

 

Hasil Tangkapan Dibuat PDRM

Yang menghairankan kes ini dilaporkan di dalam media secara besar-besaran tetapi hampir setiap bulan ada sahaja laporan berkenaan kes ini disiarkan se­olah-olah kes-kes terdahulu tidak memberi sebarang kesan atau pengajaran kepada orang lain.

Malah, dengan keadaan itu juga membuatkan sindiket ini semakin berani dan berleluasa di negara ini walaupun ada tangkapan yang pernah dibuat. Mereka seolah-olah tidak serik untuk melakukan perkara ini.

Baru-baru ini, polis telah menahan 27 individu warga tempatan di Melaka Tengah kerana disyaki membuka lima pusat panggilan Macau Scam di Pulau Pangkor, Perak.

Suspek terdiri daripada 21 lelaki dan enam wanita yang menjalankan kegiatan itu selama setahun di pusat panggilan berkenaan dengan mengakibatkan nilai kerugian berjumlah RM1 juta.

Sebelum itu, pada 14 Oktober, polis turut menahan lima individu iaitu tiga lelaki dan dua wanita tempatan disyaki membuka pusat panggilan yang sama beroperasi di Melaka Tengah.

Kesemua lima suspek berumur 23 hingga 42 tahun itu melakukan kegiatan berkenaan selama enam bulan di seluruh negara.

 

Elak Panggilan Misteri

Cuba elakkan diri menjadi mangsa seterusnya dengan me­nghentikan serta merta panggilan telefon yang mencurigakan. Namun, tidak mustahil jika selepas ini ada cara lain yang akan digunakan kerana semakin berkembangnya teknologi semakin kreatifnya sindiket ini mempelbagaikan teknik untuk menjerat dan menipu mangsa. Janganlah kita menjadi mangsa mereka seterusnya!

Sumber: Harian Metro

PDRM juga menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati bagi mengelakkan ditipu.

Segera putuskan talian, jika pemanggil bercakap tentang Cukai Keselamatan Awam dan Jabatan Hasil Dalam Negeri.

Putuskan talian jika pemanggil mengakui dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan bercakap pasal waran tangkap (Antara taktik terbaharu).

Jangan klik pada sebarang pautan yang tertera pada semua mesej teks dan padamkan semua.

Jangan jawab semua panggilan telefon bermula dengan 08-111…

 

Wujudkan Suruhanjaya Pencegahan Komersil Elak Penipuan Berleluasa

Kerajaan disarankan agar menubuhkan sebuah suruhanjaya bagi pencegahan jenayah komersil untuk membanteras kegiatan jenayah dilakukan membabitkan warga asing dan juga warga tempatan di negara ini.

Jenayah komersial dan penipuan siber ini lebih merebak di negara ini kerana berkemungkinan terdapat ‘orang dalam’ dan penipuan licik ini gagal ditangani dengan berkesan oleh pihak polis.

Justeru dengan penubuhan suruhanjaya itu ia dapat menangani masalah jenayah ini selain Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu memantau kemasukan pekerja warga asing di negara ini.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda adakah sindiket Macau Scam susah dibanteras kerana rakyat Malaysia mudah terpedaya atau penguatkuasaan lemah?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN