Sumber: Utusan

Sekiranya berbicara tentang kepupusan, pastinya yang diingati ramai adalah kepupusan flora dan fauna khususnya haiwan. Tidak ramai yang tahu bahawa, perubahan zaman seiring membawa perubahan gaya hidup, perubahan dalam masakan di samping citarasa masyarakat yang mula pelbagai.

Disebabkan perubahan tersebut, kuih-kuih tradisional tempatan yang dahulunya menarik dan pelbagai pada suatu ketika dahulu, tinggal beberapa jenis sahaja yang boleh dibilang dengan jari. Tidak terkejut sekiranya  anak-anak muda hari ini mengetahui pencuci mulut Inggeris berbanding kuih tradisional tempatan.

Sumber: Astro Awani (Tepung Kulit)

Tinggal Nama

Senaraikan sahaja kuih tradisional tempatan seperi nagasari pisang, tepung kulit, abuk-abuk, tepung torak atau lompang, pek nga, gedung chak, dodol kukus tahi minyak, kebebe dan banyak lagi pastinya terpinga-pinga dengan nama-nama kuih terbabit.

Jelas faktor budaya dan gaya hidup telah menyebabkan anak muda hari ini kurang didedahkan dengan makanan tradisional. Ditambah pula dengan penghasilannya  hanya berada di sekitar kampung dan kawasan pedalaman secara kecil-kecilan.

Sumber: Myagri (Wadai Kipeng)

Sudah pasti masyarakat yang tinggal di kawasan bandar tidak akan menjumpai kuih-kuih tradisional yang pelbagai. Yang mereka tahu hanyalah karipap, kuih lapis, pulut panggang, seri muka dan beberapa jenis kuih lagi.

Apa yang menarik, kebanyakan kuih tradisional pada waktu dahulu menggunakan bahan-bahan ringkas seperti gula melaka, tepung pulut, tepung beras, daun pandan, daun pisang, kelapa parut, santan dan minyak sapi.

Simbol Keunikan Sesuatu Negeri

Malah boleh dikatakan pada waktu dahulu, setiap negeri mempunyai kuih tradisional tersendiri yang melambangkan identiti dan keunikan negeri, seperti mana kita melihat kuih akok yang menjadi lambang kuih tradisional masyarakat Kelantan.

Sumber: Utusan (Sarak Jagung)

Anda masih beruntung sekiranya menjumpai kuih-kuih tradisional seperti nama di atas. Yang pasti usaha menjejakinya agak mustahil, sekiranya ada pun mungkin dibuat dan dijual secara kecil-kecilan di kawasan pedalaman negeri.

Cara Penghasilan Sukar

Memetik laporan Utusan Malaysia, proses pembuatan yang renyah, kehilangan warisan petua memasak, cabaran mendapatkan ramuan dan bahan asli telah menjadi punca kuih-kuih tradisional ini semakin pupus. Perkara ini turut disahkan oleh Naib Presiden Kanan dan Ketua Unit Seni, Warisan dan Budaya, Yayasan Hasanah, Zainariah Johari.

Dalam masa yang sama, keengganan sesetengah pihak untuk berkongsi resepi dan cara masakan turun-temurun turut menyumbang kepada kepupusan kuih tradisional tempatan kerana dikhuatiri bakal mengganggu ‘periuk nasi’ perniagaan mereka.

Sumber: Facebook Projek KWIH

Usaha Dijalankan Pihak Swasta

Usaha untuk mendokumentasikan sajian kuih tradisional tempatan telah dilakukan oleh Yayasan Hasanah dengan kerjasama FriedChillies Media Sdn. Bhd melalui projek Kuih Warisan Ihsan Hari Depan (KWIH) pada tahun lalu. Malah, projek ini turut melakukan pemetaan kuih tradisional bagi memperkenalkan penggiat perusahaan. Namun usaha tersebut, masih belum memadai.

Yang pasti, semua pihak, sama ada pengusaha-pengusaha kuih, pencinta kuih tradisional perlu bersama-sama memperkasakan semula kuih warisan tradisi masyarakat tempatan untuk terus dikenali oleh pelbagai pihak. Dalam masa yang sama, usaha ini bakal memberi tarikan pelancongan.

Kerajaan Perlu Main Peranan

Di pihak kerajaan, kempen-kempen memperkenalkan semula kuih-kuih tradisional wajar dimartabatkan sama ada melalui seminar-seminar, program-program yang dianjurkan oleh jabatan atau kementerian atau sebagainya.

Agak malang sekiranya kuih-kuih tradisional tempatan tidak didedahkan kepada generasi akan datang. Sudah pasti ia akan tinggal kenangan dalam lipatan sejarah, itupun sekiranya nama kuih-kuih tradisional tersebut masih dikenali.

Ramai sebenarnya yang masih tercari-cari kuih-kuih tradisional tempatan untuk dinikmati, termasuklah generasi-generasi muda yang teruja untuk merasai air tangan warisan zaman-berzaman.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah kuih tradisional tempatan akan mendapat tempat sekiranya diperkasakan?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN