Bagi mereka yang baru sahaja mendirikan rumah tangga mahupun yang sudah mendirikan rumah tangga, perceraian adalah satu perkara yang digeruni ramai lebih-lebih lagi kepada kaum wanita.

Yang pastinya, setiap manusia yang berkahwin pasti mahu membina rumah tangga mereka atas dasar cinta walaupun sedang diuji dengan pelbagai cabaran serta dugaan di alam perkahwinan.

Namun, melihat kepada statistik perceraian di Malaysia, hampir setiap tahun kes perceraian bagi pasangan Islam dilaporkan meningkat walaupun pelbagai langkah bagi mengurangkan kadar perceraian telah diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sumber: Bernama

Semalam, berdasarkan laporan yang dibentangkan oleh Timbalan Menterinya, Hannah Yeoh, banyak faktor remeh menjadi antara alasan perceraian yang banyak difailkan pasangan seperti suami menceraikan isteri kerana tidak suka isterinya makan di dalam kereta, isteri suka membasuh baju pada waktu malam serta sikap isteri yang suka mengikuti rombongan golongan ibu.

Isu tersebut yang hebat diperkatakan itu bagaimanapun telah menimbulkan perdebatan di antara netizen di media sosial yang rata-ratanya mempertikaikan faktor remeh perceraian yang difailkan oleh pasangan berkahwin sebagai tidak masuk akal selain sikap pasangan yang tidak matang dalam mengurus masalah.

 

Cerai Seperti Perkara Mainan

Sumber: Astro Awani

Apabila bercakap soal cerai, sebenarnya ada banyak lagi sebab lain yang boleh menimbulkan kemarahan suami mahupun isteri sekaligus menyebabkan mereka tidak lagi bersefahaman dan mengambil keputusan untuk bercerai.

Selalu kita dengar pasangan bercerai disebabkan mempunyai masalah kewangan, pasangan main kayu tiga atau keadaan fizikal pasangan yang kurang menyenangkan seperti kegemukan selain alasan punggung isteri menggerutu.

Ada pasangan yang bercerai disebabkan isteri lambat menyediakan makanan hingga menimbulkan kemarahan selain isteri gemar membeli-belah, berebut siaran televisyen dan pelbagai lagi alasan lain.

Sumber: d.aliexpress.com

Namun kini, lain pula bagi perkara yang dianggap biasa bagi golongan wanita seperti membasuh baju pada tengah malam selain makan di dalam kereta sebenarnya dilihat boleh menimbulkan rasa tidak senang suami terhadap sikap isteri dalam diam-diam hingga mendorong suami untuk bercerai walaupun perkara tersebut diangggap biasa.

Adakah masyarakat masa kini menganggap perceraian itu seperti perkara mainan tanpa memikirkan kesannya kepada anak-anak dengan memperbesarkan isu remeh?

Keadaan ini sangat menyedihkan lebih-lebih kepada anak yang terpaksa menanggung kesan jangka panjang akibat tindakan ibu bapanya itu.

Melihat kepada permasalahan ini, sekiranya kita tidak berpuas hati dengan pasangan disebabkan kelakuannya, seeloknya ditegur secara baik supaya pasangan boleh bersama-sama berubah menjadi lebih baik daripada terus mengambil keputusan untuk bercerai.

 

Statistik Perceraian Bagi Pasangan Islam di Malaysia

Sumber: Tirto

Berdasarkan statistik yang direkodkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada 2013 hingga tahun lalu, sebanyak 2,932 kes percerai­an berlaku di bawah usia perkahwinan lima tahun bagi orang Islam di Wilayah Persekutuan termasuk Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Selain itu, bagi pasangan bukan Islam pu­la, sebanyak 14,440 kes direkodkan bagi tempoh sama berdasarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Dalam tempoh tersebut, Johor mencatatkan jumlah perceraian ter­tinggi iaitu 2,860 kes diikuti Kuala Lumpur (2,721 kes) dan Sela­ngor (1,858 kes).

 

Beri Kesan Negatif Kepada Anak

Sumber: Babab.Net

Tidak kira pasangan itu muda atau tua, sekiranya tidak sehaluan lagi, ramai di antara mereka mengambil tindakan mudah dengan menceraikan pasangannya tanpa memikirkan kesan terhadap anak-anak.

Ada yang kata, ketika di awal perkahwinan, apa sahaja tindakan yang dilakukan pasangan, semuanya kelihatan indah-indah belaka.

Namun, selepas berkahwin, semuanya menjadi berubah apabila pasangan mula menunjukkan sikap sebenar mereka yang mungkin tidak ditunjukkan ketika di awal perkenalan mahupun perkahwinan dahulu.

Adakah disebabkan sikap berlakon pasangan pada awal perkenalan itu hanya untuk memancing pasangan mereka agar jatuh cinta terhadapnya. Atau sebaliknya?

Bagi pasangan yang sudah berkahwin dan mempunyai anak, sudah pastinya perceraian akan memberi kesan negatif terhadap perkembangan mental dan fizikal anak-anak mereka.

Ini kerana, penceraian itu pastinya meninggalkan luka mendalam terhadap anak apabila mereka terpaksa dibesarkan tanpa bapa atau ibu seperti anak-anak yang lain.

Banyak anak dilihat menjadi lebih agresif sebaik mengetahui ibu bapanya mahu bercerai hingga sanggup melarikan diri dari rumah kerana menganggap tindakan yang dilakukan ibu bapanya itu adalah kejam.

Bagi ibu bapa, tindakan bercerai itu mungkin boleh dianggap sebagai penyelesai kepada segala masalah namun sebenarnya tindakan itu boleh memberi kesan terhadap pembelajaran anak, pembangunan sosial, pertumbuhan mental dan turut sama memberi impak terhadap hubungan anak mereka untuk berhadapan dengan masyarakat kelak.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah perceraian berlalu disebabkan faktor remeh serta tidak masuk akal yang dilakukan pasangan seperti makan di dalam kereta, basuh baju di waktu malam serta sering mengikuti rombongan ibu?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN