Pagi ini kira-kira 200 orang nelayan dari Pulau Pinang dan Perak berarak ke parlimen bagi membantah cadangan projek tambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR).

Tindakan tersebut dipercayai usaha mereka mendapatkan perhatian menteri dan anggota parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kumpulan itu menentang projek PSR kerana ia didakwa menjejaskan kehidupan masyarakat nelayan di kedua-dua negeri terbabit, selain bakal menyebabkan kerosakan alam sekitar.

Julai lalu, Kerajaan Pulau Pinang menerima kelulusan bersyarat bagi projek PSR ini daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Tambakan itu ingin dilaksanakan bagi membiayai pelbagai projek infrastruktur dalam Pelan Induk Pengangkutan (PIP), antaranya pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

 

Projek Jejaskan Nelayan

Seramai 6,080 nelayan di utara Perak dikatakan akan terjejas dengan pelaksanaan projek tambakan laut PSR tersebut.

Ia berikutan projek itu dikatakan akan menggunakan sebanyak 189 juta meter padu (m3) pasir yang akan dikorek di kawasan 20 batu nautika dekat perairan di daerah Manjung hingga Kerian, Perak.

Manakala, seramai 4,817 nelayan di Pulau Pinang juga akan terjejas .

Kegiatan itu antara lain akan menjejaskan nelayan Zon A apabila wujud kemungkinan berlakunya pencerobohan nelayan Zon B dan C yang akan memasuki kawasan perairan kurang dari lima batu nautika.

Katanya, ini akan menjejaskan pendapatan nelayan Zon A kerana nelayan Zon B dan C mempunyai kelengkapan dan bot yang lebih besar berbanding mereka.

 

Khazanah Alam Terjejas

Presiden Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Hafizudin Nasarudin, mendakwa perlombongan pasir di kawasan itu akan menyebabkan hakisan teruk di pesisir pantai, sekali gus menjejaskan kawasan hutan paya bakau.

Selain itu, katanya, penggalian sumber mineral itu turut menyebabkan wujudnya kawah besar di dasar laut, selain menjejaskan kawasan terumbu karang yang menjadi tempat pembiakan ikan.

Bukan itu sahaja, perlombongan ini juga akan menghakis pesisir Pantai Segari yang muncul sebagai lokasi pendaratan penyu daripada spesies terancam, selain dikhuatiri menyebabkan kawasan berpasir semakin sempit.

Menurut Presiden Pemenang, Tan Sri Yussof Latiff,projek ini juga tidak menghiraukan alam sekitar dalam menghadapi krisis iklim apabila projek tambakan laut ini menjana tambahan 3.2 juta tan pelepasan karbon tahunan dan ianya bertentangan dengan sasaran sebanyak 40 peratus pengurangan, projek  tambak laut tersebut.

 

Kesan Kepada Negara

Projek ini bukan hanya memberi kesan kepada nelayan dan kawasan tersebut tetapi juga kepada negara.

Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang Nazri Ahmad berkata projek PSR itu merupakan pembangunan memakan masa lama dan akan memberikan banyak masalah kepada masyarakat setempat.

Dia turut mendakwa, walaupun kerajaan negeri membina rumah kos rendah di kawasan terbabit, tiada siapa dalam kalangan mereka yang mampu tinggal di sana.

Malah, dakwanya lagi, rumah itu kelak akan dihuni warga Singapura, Hong Hong dan Taiwan dan ia akan membahayakan masa depan masyarakat di kawasan berkenaan.

 

Hantar Memorandum Tuntut 3 Perkara

Kumpulan bantahan itu juga turut mengemukakan memorandum berisi tiga tuntutan iaitu:

  1. Mewujudkan Majlis Perancangan Fizikal Negara untuk membatalkan projek PSR
  2. Mengenakan moratorium aktiviti perlombongan pasir laut di luar pantai Perak
  3. Melakukan kajian komprehensif oleh pakar bebas dan perancang profesional bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP)

Semalam, sebanyak 52 NGO Pulau Pinang membantah projek ini termasuk Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang), Ikatan Kelab-Kelab Melayu Negeri Pulau Pinang (Ikatan), Pertubuhan Amanah Warisan Melayu Pulau Pinang (Pewaris).


Projek PSR dirangka Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membiayai kos Pelan Induk Pengangkutan (PIP) dianggarkan bernilai RM49 bilion bagi membendung masalah kesesakan lalu lintas di negeri ini.

Pelaksanaan PSR membabitkan projek pembangunan tiga pulau buatan berkeluasan 1,700 hektar, yang dijangka mampu menyaingi Marina Bay di Singapura.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Projek Tambak PSR Beri Untung Pada Siapa?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN