Tindakan kerajaan persekutuan merasmikan beberapa program dilihat sebagai salah satu bentuk manipulasi program kerajaan bagi menggerakkan kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK).

Tindakan ini boleh dikatakan sebagai cakap tak serupa bikin kerana bertentangan dengan dakwaan mereka terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini yang menggunakan jentera dan kempen kerajaan semasa mereka menjadi pembangkang.

PRK Cameron Highlands Kesalahan Terbanyak Dilakukan Parti Politik

Untuk rekod, sebanyak 23 kesalahan berlaku pada PRK Cameron Highlands lepas yang dicatatkan oleh kumpulan pembaharuan pilihan raya BERSIH. Sebanyak 14 kesalahan dilakukan oleh pihak BN yang memenangi PRK tersebut, manakala 5 lagi dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH).

Beberapa kesalahan yang dilakukan pada PRK Cameron Highlands yang lepas dilihat semakin jelas pada PRK Semenyih yang bakal diadakan pada 2 Mac nanti. Misalnya, BERSIH mencatatkan PH pada PRK yang lalu cuba membeli undi dan menggunakan pengaruh tidak wajar termasuk menggunakan sumber kerajaan.

Ternyata dakwaan ini benar apabila beberapa program kerajaan diadakan pada bulan Februari berdekatan dengan tarikh penamaan calon PRK Semenyih iaitu pada 16 Februari ini.

Sumber: Malaysia Gazette

Pecah Tanah Projek Sekolah Kebangsaan

Tindakan Dr. Maszlee Malik yang turun padang bagi melakukan gimik majlis pecah tanah projek pembinaan sekolah dilihat sebagai satu kempen pilihanraya memandangkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih  akan diadakan tidak lama lagi.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, kerajaan telah meluluskan projek pembinaan sekolah baharu Sekolah Kebangsaan Semenyih pada Oktober tahun lalu. Sebanyak RM20.7 juta telah diperuntukkan untuk membangunkan projek ini dengan tempoh perlaksanaan selama 106 minggu yang sudah bermula pada 22 Oktober tahun lalu. Projek yang dinanti-nantikan oleh penduduk Taman Pelangi, Semenyih sejak tahun 2012 ini dijangka mampu menempatkan seramai 700 orang murid.

Sungguhpun Dr. Maszlee Malik telah menjelaskan projek tersebut telah dilululuskan pada tahun lalu namun rata-rata netizen melihat tindakan menteri tersebut yang turun padang sebagai sesuatu yang menjengkelkan, tidak kena waktu dan tempat lebih-lebih lagi kawasan Semenyih yang bakal diadakan PRK.

Sumber: Berita Harian

Majlis Penyerahan Food Bank

Perkara sama turut berlaku pada Kementeria Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Dikhabarkan, pihak KPDNHEP bakal menjalankan program di Semenyih. Majlis Penyerahan Food Bank itu bakal dirasmikan oleh Menteri KPDNHEP sendiri iaitu Dato Saifuddin Nasution di Tesco Semenyih pada 15 Februari ini. Program Food Bank Malaysia diwujudkan oleh pihak kementerian bagi membantu golongan miskin tegar yang berpendapatan isi rumah kurang dari RM930 sebulan.

Sungguhpun program bawah kementerian ini sudah mula bergerak ke seluruh negara bermula Januari lalu, namun ia menjadi persoalan apabila program tersebut juga akan dianjurkan di Semenyih pada waktu yang dekat dengan PRK.

Jangan Sampai Rakyat Muak

Semua pemimpin dan ahli politik harus beringat bahawa rakyat sedang memerhati dan menilai segala bentuk tingkah laku mereka. Rakyat mendambakan satu sinar politk baharu pasca 9 Mei 2018 yang lebih telus, terbuka dan bertanggungjawab. Kerajaan perlu buktikan bahawa semangat Malaysia Baru yang dicipta haruslah dikekalkan.

Sumber: Malaysiakini

Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzah dalam satu kenyataan di Malaysiakini pada Januari lalu, menasihatkan pemimpin PH yang memegang jawatan kerajaan supaya tidak mengulangi kesilapan yang dilakukan pada PRK di Cameron Hinghlands yang lalu seperti dakwaan menggunakan jentera kerajaan bagi tujuan berkempen.

Beliau juga berpendapat pertembungan pilihan raya bukan pertembungan antara kerajaan dan parti politik, tetapi antara parti dengan parti, justeru itu program kerajaan tidak wajar dibawa.

Walau apa pun alasan yang dikemukakan oleh pihak menteri, waktu yang tidak tepat tetap dilihat sebagai salah satu bentuk kempen sempena PRK. Rata-rata netizen menyuarakan ketidakpuasan hati ekoran tindakan kerajaan pada hari ini mula membudayakan perangai lama kerajaan BN ketika berkempen. Jangan sampai rakyat berasa muak dengan tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh pemerintah.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah tindakan menteri boleh dikaitkan salah guna kuasa sempena PRK?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN