Selepas mencipta kemenangan dalam tiga Pilihan Raya Kecil (PRK) berturut-turut, Barisan Nasional (BN) mengambil pendirian untuk tidak bertanding dalam PRK Sandakan. Pengumuman tersebut dilakukan oleh Pemangku Pengerusi BN, Mohamad Hasan dalam satu sidang media di Kuala Lumpur.

Sumber: Twitter Steven Sim

Kematian Penyandang Dari PH

Kerusi Parlimen Sandakan kembali kosong setelah kematian penyandangnya Stephen Wong Tien Fatt pada 28 Mac lalu. Mendiang merupakan penyandang kerusi tersebut semenjak tahun 2013 lagi. Mendiang mengekalkan kerusi Sandakan pada PRU Ke-14 lalu dengan majoriti 19,000 undi.

Sidang media tersebut turut dihadiri oleh pemimpin tertinggi parti komponen BN iaitu Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC, S A Vigneswaran. Ia berdasarkan penilaian sedalam-dalamnya yang dibincangkan oleh pemimpin tertinggi BN.

PH Bakal Tentang Pembangkang Sabah

Ini bermakna, pertembungan yang bakal berlaku nanti adalah pertembungan antara calon dari Pakatan Harapan (PH) dan calon pembangkang negeri Sabah. Walau bagaimanapun BN akan membuat keputusan menyokong salah satu parti pembangkang Sabah yang akan menentang calon PH.

Sehingga hari ini, terdapat dua parti pembangkang Sabah dikhabarkan berminat menyertai PRK Sandakan, antaranya ialah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Air (Star). Terdapat juga calon bebas yang menawarkan diri untuk bertanding.

Sumber: BN Portal

Faktor Tidak Bertanding

Jika dilihat dari satu sudut, tindakan BN untuk tidak bertanding dalam PRK kali ini merupakan langkah yang tepat. Ia bertujuan untuk mempertahankan momentum sokongan kepada mereka. Ini kerana kebarangkalian untuk BN tewas dalam PRK kali ini sangat tinggi memandangkan kerusi Parlimen Sandakan merupakan kerusi majoriti masyarakat Cina.

PRK kali ini merupakan cubaan mengukur tahap kemampuan pembangkang tempatan di Sabah, yang berkemungkinan mempunyai pengaruh yang lebih baik berbanding BN. Dalam masa yang sama, ia merupakan strategi BN untuk mendapatkan semula sokongan parti pembangkang yang sudah membentuk komponen Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Sekiranya BN bertanding dan kalah, sokongan moral penyokong kepada BN akan kembali melemah, dalam masa yang sama bakal memberi kekuatan buat PH untuk bangkit meningkatkan tahap sokongan rakyat kepada mereka.

Namun, dari satu sudut yang lain, keputusan BN untuk memilih jalan selamat dengan tidak meletakkan calon dilihat sebagai tindakan yang tidak berani atau tiada ‘telur’. Mereka percaya, kemampuan untuk menarik sokongan masyarakat Cina kepada mereka agak sukar.

Sumber: Malaysiakini

Perkara tersebut telah dibuktikan dalam semua siri PRK yang diadakan sebelum ini. Terbaru, dalam PRK Rantau, BN memenangi 13 daripada 14 Pusat Daerah Mengundi (PDM). Walaupun menang besar dengan majoriti 4,000 undi, namun mereka tewas di satu-satunya kerusi majoriti Cina iaitu di Bandar Ekar.

Jelas, dapat dibuktikan, sokongan masyarakat Cina terhadap PH tetap utuh meskipun kerajaan PH yang memerintah sedang melalui pelbagai cabaran bermula daripada ekonomi negara yang tidak menentu, isu perkauman, dan sebagainya.

Menilai Tahap Sokongan

Yang pasti, pertembungan PRK Sandakan akan menjadi analisis mutakhir tahap sokongan masyarakat Cina Sabah, etnik tempatan Sabah kepada kerajaan PH yang memerintah, sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan.

Antara isu yang bakal menjadi kempen hangat ialah isu berkenaan kos sara hidup, penjenamaan semula dasar kerajaan lama, peluang pekerjaan bagi golongan muda, kegagalan usul mengembalikan status Sabah disebabkan pembangkang, isu setempat dan sebagainya.

Pengaruh Usul Mengembalikan Status Sabah

Namun begitu, perlu juga dilihat, sejauh mana usul mengembalikan status Sabah dan Sarawak menurut Perlembagaan Persekutuan 1963 mendapat sokongan masyarakat di Sabah, meskipun usul tersebut gagal di peringkat parlimen.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah tindakan BN untuk tidak bertanding tindakan yang wajar?
10 votes · 10 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN