Kewujudan media sosial dan kemudahan ciri kamera yang direka  bersama telefon bimbit memudahkan orang ramai untuk merakam sesuatu kejadian dan perisitiwa samada dirancang mahupun tidak dirancang.

Dan pada zaman sekarang ini, siapa sahaja yang tidak memiliki telefon mudah alih sebegini?

Dikalangan golongan tua mungkin ia, tapi rata-rata hampir semua orang sudah mampu untuk membeli telefon bimbit sebegini lebih-lebih lagi apabila harga yang ditawarkan juga semakin murah.

Secara tidak langsung ia meningkatkan jumlah ‘wartawan jalanan’ yang sentiasa mencari bahan untuk dimuatnaik ke laman sosial.

Namun, apa yang menjadi masalah ialah isu kemalangan adalah topik yang paling dikejar-kejar orang ramai sehinggakan perkara yang sepatutnya dilakukan iaitu menghulurkan bantuan diletak ketepi demi mengejar berita sensasi.

Terlalu banyak kes-kes kemalangan yang dilaporkan  melalui video-video amatur yang tular dimana kebanyakannya dilihat seperti tiada bantuan yang cuba dihulur oleh orang sekeliling.

Yang lebih menyedihkan, gambar kematian yang menyayat hati adakala dikongsi tanpa kebenaran ahli keluarga mangsa.

Pernahkah wartawan-wartawan jalanan ini memikirkan kesan perbuatan mereka kepada ahli keluarga mangsa yang terkorban?

Lebih-lebih lagi apabila video-video dan gambar yang dikongsi akan terus tersebar dan berkemungkinan untuk muncul semula pada 3 atau 4 tahun akan datang.

 

Pencerobohan Privasi, Keluarga Mangsa Berhak Saman

Jika diikutkan, walaupun kejadian tersebut berlaku di tempat awam, orang ramai tidak mempunyai hak untuk merakam dan menyebarkan bahan tersebut sesuka hati.

Lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan kehilangan nyawa. Sebagai manusia biasa, tidak ada rasa kasihan mahupun simpati di dalam hati wartawan-wartawan jalanan yang tidak diiktiraf ini?

Cuba bayangkan kalau perkara tersebut terjadi pada ahli keluarga mereka sendiri?

Di German, menangkap gambar mahupun merakam video mangsa kemalangan merupakan perkara yang dilarang keras oleh negara tersebut.

Malah mereka akan didenda sebanyak 128 Euro kerana bersikap tidak peka dan sensitif terhadap kemalangan yang menimpa mangsa.

Tindakan ini patut menjadi contoh yang baik untuk negara kita agar rakyat Malaysia lebih menghormati individu yang menjadi mangsa kemalangan.

Sudah lah tidak mahu menghulurkan bantuan, malah sibuk merakam pula.

Kepada si penyebar gambar dan video-video sebegini, mereka boleh disaman oleh keluarga mangsa kerana melakukan penyebaran tersebut tanpa kebenaran.

Anda mempunyai terlalu banyak wang untuk membayar saman tuntutan? 

 

Sensitiviti Semakin Berkurang

Pasti ramai yang sudah tahu tentang duit yang boleh dijana melalui populariti sesebuah laman di Facebook, jika ramai yang menonton kandungan yang anda muatnaik melalui laman tersebut secara tidak langsung duit juga dapat dijana pada masa yang sama.

Dan adakah kerana itu menjadi punca mengapa sesetengah orang lebih memilih untuk merakam sesuatu kejadian buruk yang berlaku di sekeliling mereka daripada menghulurkan bantuan?

Gambar Hiasan

Masih ingatkah anda dengan insiden pemandu lori yang membawa tong gas terbakar ketika kenderaan yang dipandunya mengalami kemalangan di jalan raya.

Malah keadaan mangsa yang masih hidup dan seperti meminta bantuan tidak diendahkan orang sekeliling kerana ramai yang lebih memilih untuk merakam kejadian tersebut dengan telefon mudah alih mereka.

Jika ada yang menghulurkan bantuan, tidak mustahil mangsa masih hidup sehingga kini.

Isu ini mungkin dilihat sebagai isu yang remeh, namun impaknya sangat besar dan mendalam.

Nilai sensitiviti di dalam diri kita sudah semakin pudar dek kerana obsesi melampau terhadap gajet dan media sosial.

Kemajuan teknologi yang sepatutnya membawa perubahan positif dan membawa kebaikan  untuk penduduk dunia kini bertukar menjadi satu perkara yang membawa keburukan dan impak negatif kepada orang ramai.

Hulurkan tangan berikan bantuan, bukan pegang telefon mencari bahan.Ubah sekarang, sebelum anda juga menjadi mangsa.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa komen anda?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN