Sumber: The Sun Daily

Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Gobind Singh Deo menjangkakan industri pos dan kurier menggunakan dron secara komersial mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang. Beliau berkata sedemikian setelah melihat penggunaan inovasi ‘Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dron yang sedang dilaksanakan di pelbagai negara.

Negara Switzerland sejak tahun 2018 sebagai contoh, telah menggunakan dron secara komersial melalui Swiss Post untuk menghantar spesimen atau sampel makmal antara klinik dan hospital. Maka, Malaysia juga tidak mahu ketinggalan dalam arus pemodenan dengan meneroka teknologi dron.

Beberapa bidang dikenal pasti dapat dibantu menggunakan kaedah dron seperti bidang pertanian, kesihatan, perubatan pemantauan projek pembangunan serta membantu membawa bekalan makanan kepada mangsa yang terperangkap banjir.

Gobind turut memberikan sokongan dan dorongan yang diperlukan pihak Pos Malaysia dan sokongan MCMC dalam usaha meningkatkan keupayaan negara dalam bidang penghantaran bungkusan melalui dron.

Sumber: The Verge

Dimulakan Oleh Amazon

Penggunaan dron sebagai medium penghantaran barangan bukan perkara baru. Malah, ia pernah dimulakan oleh syarikat Amazon pada tahun 2016. Syarikat tersebut telah memperkenalkan produk Amazon Prime Air, sebuah servis penghantaran menggunakan dron bagi mempercepatkan penghantaran barangan.

Terbukti, penggunaan dron berjaya menghantar barangan kepada pengguna dalam masa 13 minit sahaja selepas pembelian online dibuat, namun penghantaran barangan hanya kadar minima iaitu di bawah 2 kilogram. Penerbangan dron pertama Amazon dilakukan di UK dan pelanggan pertama mereka membuat tempahan untuk Amazon Fire Stick dan popcorn.

Selain Amazon, Domino’s Pizza turut sama menunjukkan minat tentang idea penghantaran pizza menggunakan dron. Buktinya, beberapa eksperimen penghantaran pizza menggunakan dron telah dilakukan di New Zealand.

Apa yang menariknya, pihak kementerian turut menyokong idea penggunaan dron dengan menggalakkan program-program yang melibatkan penggunaan dron diperkenalkan. Malah, program-program tersebut mampu mencungkil bakat tempatan yang berpotensi dalam bidang UAV untuk diberi pengiktirafan dan terus maju lebih tinggi pada masa hadapan.

Sumber: Suara Perak

Bakal Disalahguna

Cuma yang menjadi permasalahan ketika ini ialah ia akan disalahgunakan. Maka, isu privasi akan timbul. Sekiranya penggunaan dron meningkat dengan ketara, ia menjadi kebimbangan kepada semua terutama rakyat dan negara kerana penggunaan dron membolehkan pengguna mengambil gambar atau merakam video dari udara tanpa dikesan oleh sesiapa.

Begitu juga penggunaan dron sebagai senjata. Perkara ini pernah berlaku di Amerika Syarikat apabila seorang pemuda berjaya mencipta dron yang dilengkapi pistol dan mampu menembak di udara yang menyebabkan beliau ditangkap. Maka, timbul persoalan mengenai keselamatan.

Sumber: Washington.Org

Bagi negara, isu keselamatan amatlah penting. Dapat dilihat sesetengah negara memperkenalkan undang-undang ketat bagi menyekat bangunan dan kawasan-kawasan milik kerajaan tidak diintip. White House yang menjadi kediaman rasmi Presiden Amerika Syarikat mengeluarkan belanja yang agak tinggi untuk memasang senapang anti-dron yang akan menyahaktifkan dron yang cuba memasuki ruang udara White House.

Sumber: Malaysiagazette

Jenayah Penggunaan Dron Pernah Berlaku

Di Malaysia, jenayah penggunaan dron pernah berlaku pada November tahun lalu di Seremban. Berdasarkan laporan Utusan, dron tersebut digunakan sebagai intipan di kawasan perumahan sebelum penjenayah bertindak memecah masuk.

Berdasarkan rekod yang berlaku maka timbul beberapa persoalan. Cukupkah undang-undang mengekang penyalahgunaan dron? Atau mampukah kerajaan kita berbelanja besar dalam usaha merangka sistem keselamatan dron?

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju penggunaan dron untuk khidmat pos?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN