Menjelang perlawanan akhir pertama, Piala AFF 2018 di antara Malaysia-Vietnam esok, kesemua 80,000 tiket termasuk 40,000 yang dijual secara fizikal habis terjual dalam sekelip mata.

Mana tidaknya, ramai penyokong juga dilihat sanggup berkampung seawal jam 9 malam di hadapan Stadium Nasional Bukit Jalil sejak Sabtu lalu demi mendapatkan tiket perlawanan akhir pertama Piala AFF itu.

Tidak kira penyokong perempuan mahupun lelaki, semangat mereka untuk mendapatkan tiket dilihat berkobar-kobar hingga ada yang jatuh pengsan dan dipijak hingga cedera ketika bersesak-sesak sebaik kaunter tiket dibuka tepat jam 10 pagi semalam.

Daripada kejadian itu, timbul kekecohan di antara penyokong yang mana sebahagian besar daripada mereka yang beratur dilihat gagal mendapatkan tiket final yang habis terjual dalam tempoh 30 minit selepas kaunter dibuka.

Malah, daripada insiden tersebut yang menjadi viral di media sosial, kebanyakan netizen dilihat menyalahkan pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta pihak stadium kerana tidak bijak mengawal keadaan setiap kali berlangsungnya penjualan tiket bola di stadium.

 

Penyokong Pengsan, FAM dan Pihak Stadium Dipersalahkan

Sumber: Malaysia Gazzette

Kejadian pengsan akibat dipijak serta cedera hanya untuk mendapatkan tiket bola pada perlawanan ini bukan kejadian pertama berlaku malah sebelum-sebelum ini juga, banyak insiden sebegini turut berlaku setiap kali menjelangnya perlawanan bola sepak.

Mana tidaknya, semalam, difahamkan hanya empat kaunter tiket sahaja dibuka untuk penjualan sebanyak 40,000 tiket bola.

Sumber: Kosmo

Dengan jumlah penyokong yang ramai hingga mencecah 10,000 orang yang membanjiri kawasan itu memang tidak masuk akal sekiranya hanya empat sahaja kaunter dibuka.

Dalam hal ini, kebanyakan penyokong juga dilihat menyalahkan pihak FAM serta stadium kerana tidak membuka kaunter yang banyak bagi penjualan tiket perlawanan bola.

Tidak kurang juga ada yang mempertikaikan tindakan FAM serta pihak stadium yang tidak memasang penghadang garisan tali atau besi bagi membolehkan penyokong beratur.

Sumber: Berita Harian

Melihat kepada gambar yang menunjukkan penyokong beratur, garisan polis yang dibuat itu juga sebenarnya dibuat sendiri oleh penyokong dan bukannya daripada pihak berkuasa mahupun pihak stadium.

Seandainya tiada garisan, penyokong yang mahu membeli tiket pasti akan berebut-rebut dengan ada yang memotong barisan dan berkemungkinan besar boleh mencetuskan pergaduhan sesama sendiri.

Bermacam-macam karenah dan ragam dapat kita lihat setiap kali menjelangnya perlawanan bola atau liga di mana ada pula ulat tiket yang dilihat mengambil kesempatan dengan menjual semula tiket berkenaan di atas talian.

 

Kawalan dan Penguatkuasaan Lemah Punca Ulat Tiket Ambil Kesempatan

Sumber: Berita Harian

Selain insiden penyokong pengsan dan dipijak, ada pula ulat tiket dilihat sanggup menjual tiket perlawanan tersebut secara haram di atas talian dengan harga tidak masuk akal.

Sejak jualan tiket dalam talian dibuka pada Jumaat lalu, FAM mengesahkan sebanyak 20,000 tiket terjual dalam masa singkat.

Walaupun FAM mengambil keputusan untuk menambah 10,000 lagi tiket untuk dijual secara dalam talian, masih ada lagi ulat tiket dilihat sewenang-wenangnya menjual tiket mereka pada harga cukup tinggi sehingga RM500 sekeping.

Sumber: mStar

Malah, ada juga ulat tiket yang meletakkan harga sekitar RM200, RM150 dan RM80 hingga menyebabkan perkara itu menjadi viral di media sosial.

Walhal, harga asal untuk tiket tersebut hanya RM40 bagi tempat duduk terbuka hingga menyebabkan seorang peminat bola sepak yang tidak mahu identitinya dikenali telah memuat naik satu laporan polis selepas beliau memfailkan laporan tersebut terhadap Ticket Hotline atas kegagalan membabitkan penjualan tiket dalam talian.

Sumber: Kosmo

Di dalam laporan itu, individu berkenaan memfailkan laporan supaya siasatan dilakukan terhadap Tiket Hotline untuk mengetahui sama ada terdapat unsur-unsur penipuan sepanjang penjualan tiket tersebut.

Akibat dari itu, perkara tersebut kini mendapat perhatian Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim yang berkata bahawa pihaknya akan menyiasat laporan yang tular di media sosial terbabit mengenai kegagalan membeli tiket dalam talian.

 

TMJ Turut Kecewa Penjualan Tiket Final Piala AFF

Sumber: Sinar Harian

Tunku Ismail Sultan Ismail yang juga Pengerusi Malaysia Football League (MFL) hari ini turut menyatakan kekecewaannya terhadap permasalahan yang berlaku sepanjang penjualan tiket perlawanan itu.

Beliau berkata, masalah yang berlaku itu memerlukan penyelesaian dan antara cadangannya adalah mendengar sendiri solusi dan idea daripada penyokong selain dibantu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Malah, beliau juga turut menyatakan kesediaannya untuk membantu arena bola sepak tanah air menyelesaikan perkara berhubung penjualan tiket di masa hadapan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda bersetuju supaya pihak FAM dan stadium mencari jalan penyelesaian dengan menjual kesemua tiket perlawanan bola atas talian berbanding turun ke padang bagi mengelak kejadian sebegini berulang di masa akan datang?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN