Pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyebabkan mereka disenaraihitam dalam sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas arahan mahkamah.

Berikutan itu, bagi mereka yang gagal melunaskan kompaun tersebut, mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu atau cukai jalan ketika berurusan bersama JPJ.

Bagi mereka yang disenarai hitam, sekiranya mahu meneruskan urusan, mereka perlu melunaskan kompaun DBKL terlebih dahulu.

Namun, tindakan yang dilaksanakan DBKL bersama JPJ itu terus menjadi bualan hangat warga kota dengan ada yang menyokong dan tidak kurang juga yang membantahnya.

 

Mengapa DBKL Berbuat Demikian?

Sumber: Harian Metro

Terdahulu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tindakan tersebut dilaksanakan pihaknya disebabkan DBKL gagal mencapai sasaran mengutip RM100 juta bayaran saman tertunggak pesalah trafik DBKL.

Walaupun sebelum ini DBKL menawarkan diskaun sebanyak 70 peratus diberi sejak 1 September lepas, namun pesalah trafik dilihat masih tidak menjelaskan bayaran kompaun mereka.

Mengikut rekod DBKL, kira-kira empat juta saman kesalahan trafik telah dikeluarkan sejak Ogos tahun ini yang melibatkan nilai hampir RM1 billion.

Melihat kepada isu yang dihadapi mereka, maka tidak mustahil sekiranya DBKL membuat tindakan menyenarai hitam pesalah trafik untuk mengutip kembali tunggakan kompaun daripada mereka di mana hasil kutipan tersebut akan digunakan untuk mensejahterakan rakyat di kawasan bandar.

 

Kutipan Digunakan Untuk Mempertingkat Kesejahteraan Bandaraya

Sumber: Utusan

Umum kita tahu Kuala Lumpur merupakan satu-satunya bandar tarikan buat pelancong dari luar mahupun tempatan.

Melihat kepada jumlah kedatangan pelancong ke Kuala Lumpur, kita pastinya mahu memberi imej terbaik agar pelancong berminat untuk terus mengunjungi negara kita.

Lebih-lebih dengan adanya tarikan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan beberapa daya penarik lain seperti Taman Botani Perdana, Taman Burung, Menara Kuala Lumpur dan bangunan pencakar langit yang lain sudah pastinya ia akan menarik pelancong luar.

Apabila ramai pelancong datang ke Kuala Lumpur, adakah kita terfikir akan kos penyelenggaraan sampah di seluruh bandaraya yang perlu ditanggung oleh DBKL?

Sumber: Paul Tan

Itu belum lagi dengan mengambil kira kos pengurusan dan pentadbiran, pembersihan bandar, penghijauan, penyelenggaraan taman, membaik pulih tanah lapang serta kemudahan rekreasi, selenggara jalan raya dan saliran, penyelenggaraan lampu jalan, kemudahan sistem lalu lintas, penyelenggaraan terhadap tempat letak kereta, hentian bas dan siar kaki dan sebagainya.

Di ibu kota, kita pasti akan lihat banyak orang membuang sampah merata-rata dan beberapa kemudahan awam yang disediakan DBKL dirosakkan begitu sahaja oleh individu tidak bertanggungjawab.

Dari mana datangnya peruntukan oleh DBKL untuk membaiki semula kerosakan tersebut sekiranya bukan daripada hasil kutipan cukai, kompaun, sewaan, caj pembangunan dan sebagainya.

Kutipan hasil yang dibuat oleh DBKL itu pastinya akan digunakan untuk mensejahterakan kira-kira 1.86 juta warga kota.

 

Setiap Tahun DBKL Peruntuk Bajet

Sumber: The Malaysian Insight

Tahun lepas, DBKL memperuntukkan sebanyak RM2.906 bilion di dalam Bajet mereka bagi menyediakan perkhidmatan perbandaran dan tadbir urus demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

Namun bagi tahun 2019, selain menyediakan perkhidmatan perbandaran dan tadbir urus yang efektif, DBKL akan memperbanyakkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk meningkatkan kesedaran dan kerjasama komuniti sekitar untuk menjaga kawasan bandaraya daripada dirosakkan pihak tertentu.

Banyak lagi sebenarnya bajet dan pendapatan yang diperlukan DBKL bagi menaiktaraf dan menyelenggara pelbagai kemudahan lain di sekitar ibu negara oleh kerana peruntukan yang disalurkan kerajaan kepada DBKL sejak lima tahun lalu menurun dengan mendadak.

Disebabkan itu, DBKL tidak lagi bergantung kepada kerajaan Persekutuan dalam projek yang dilaksanakan dan terpaksa bergantung kepada sumber pendapatan sendiri.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah DBKL menyenarai hitam pesalah trafik yang gagal menjelaskan kompaun mereka walaupun tawaran diskaun telah dilaksana sebelum ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN