Dimana anda selalu dapatkan rawatan kesihatan jika anda mahupun ahli keluarga jatuh sakit? Ke hospital kerajaan ataupun swasta?

Bagi yang berkemampuan ataupun mempunyai perlindungan insuran, pasti tidak ada masalah untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Namun bagi golongan yang berpendapatan rendah, ke hospital kerajaan juga mereka akan tuju.

Namun, walaupun statusnya ialah hospital kerajaan dan bukan hospital berstatus 5 bintang, tidak boleh dinafikan kepakaran doktor-doktor disana dan kejayaan para doktor dapat menyelamatkan pesakit yang mempunyai masalah kritikal.

Selalunya pasti akan ada aduan tentang klinik mahupun hospital kerajaan dari segi kelambatan servis dan fasiliti yang tidak dijaga baik.

Namun tahukah anda, kenapa ini semua berlaku?

Ia adalah kerana kita kekurangan kakitangan profesional dan kemudahan fasiliti yang  tidak mampu menampung bilangan pesakit yang semakin hari semakin meningkat.

Dan mengikut kenyataan dari Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, keadaan dunia perubatan di Malaysia sebenarnya sangat kritikal. Kurang dana, kurang pekerja, isu gaji dan juga kudrat ahli perubatan yang terpaksa dikerah berlebihan dari kemampuan mereka.

Pihak kerajaan malah orang ramai sendiri perlu sama-sama mencari solusi bagi membolehkan semua keperluan ini dapat dipenuhi.

 

Mula Caj Pesakit Walaupun Di Hospital Kerajaan, Hentikan Subsidi

Adakah kerana caj perubatan murah dan percuma yang disediakan kerajaan menjadi punca mengapa sesetengah masyarakat tidak mengambil berat tentang tahap kesihatan mereka?

Ditambah pula dengan subsidi perubatan yang diberikan kerajaan, pesakit biasa yang tidak perlu rawatan kritikal hanya perlu membayar RM1 sahaja untuk rawatan dan ubat-ubatan.

Malangnya ada juga yang tidak mengunakan ubat yang diberikan dengan baik dan membuang sesuka tanpa berfikir panjang.

Sedangkan ramai lagi orang yang memerlukan ubat tersebut namun pembaziran tetap dilakukan. Yelah, bukan duit mereka kan buat apa nak kisah.

Ekoran itu ramai yang menyarankan agar subsidi dihentikan agar pesakit tahu betapa bernilainya harga sesuatu ubat dan rawatan yang diberikan.

 

Tingkatkan Dana Untuk Aspek Perubatan Dan Kesihatan

Bukan mudah untuk meminta sesuatu dana daripada pihak kerajaan, lebih-lebih lagi jika nilainya jutaan ringgit.

Walaupun sudah jelas dan terang untuk apa dana tersebut dipohon, tetapi banyak proses yang perlu dilalui bagi mendapatkan sesuatu kelulusan.

Jadi mungkin kita sebagai rakyat boleh sama-sama menghulurkan sumbangan bagi membantu melengkapkan keperluan yang kurang lebih-lebih lagi di kawasan luar bandar.

Banyak manfaat yang boleh diberikan dengan sumbangan kita, jika kita boleh bayar puluhan atau ratusan ringgit untuk kutipan dana luar negara mengapa tidak keluarkan duit untuk kegunaan rakyat kita sendiri.

 

Jangan Kerana Percuma, Semua Abai Kesihatan Diri

Doktor selebriti popular, Doktor Imelda Balchin sempat berkongsi peristiwa dia menegur seorang pakcik.

Apabila ditegur untuk hentikan tabiat merokoknya, pakcik tersebut menjawab bahawa dia tidak boleh hidup tanpa rokok.

Sedih namun inilah kenyataan, sejenis mentaliti rakyat Malaysia yang terus hanyut dengan pemahaman cetek diri sendiri.

Berapa banyak orang merokok yang ditegur membidas semula dengan kata-kata yang kononya ‘kalau nak mati, mati jugak’ ataupun ‘doktor pun merokok, takkan kita tak boleh’.

Aktiviti harian yang tidak sihat dan diet yang tidak jaga pastinya mampu mendedahkan diri semua orang kepada pelbagai jenis penyakit.

Bukan sahaja antibodi badan menjadi lemah, malah penyakit-penyakit yang membawa maut juga boleh terkena.

Tak kiralah apa pun usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan bagi meningkatkan kesedaran tentang penjagaaan kesihatan diri namun jika mentaliti seseorang itu sendiri masih sama dan tidak ada rasa ingin berubah sampai bila-bila mereka akan kekal sebegitu.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN