Adakah anda kuat menipu? Mungkir janji? Kaki kelentong atau yang sewaktu dengannya? Siapa kata golongan penipu tidak diberi penghargaan. Sekiranya anda membaca artikel ini, mungkin ini merupakan tempat sesuai untuk anda menonjolkan kehebatan diri.

Sumber: The Independet

World’s Biggest Liar (Pembohong Terbesar Sedunia) merupakan pertandingan yang diadakan secara tahunan di Cumbria, England. Pertandingan ini menampilkan para peserta dari seluruh dunia yang mempunyai kehebatan untuk berbohong. Mungkin pertandingan seperti ini agak janggal bagi kita, tetapi tidak bagi negara-negara Barat.

Menurut sejarah, pertandingan ini diperkenalkan sebagai memperingati Will Ritson (1808-1890), seorang pemilik pub dari Wasdale yang terkenal dengan cerita dongeng. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejak tahun bila ia mula diperkenalkan. Yang pasti pertandingan ini akan diadakan pada bulan November di Bridge Inn, Jambatan Santon.

 

Bagaimana Cara Pertandingan?

Pertandingannya tidak sukar. Mereka akan diberi peruntukan masa selama lima minit untuk membuktikan kehebatan masing-masing. Setiap peserta hanya perlu menceritakan pembohongan terbesar yang pernah mereka lakukan. Dalam masa yang sama, penceritaan mereka perlu dapat meyakinkan para pendengar.

Mungkin dalam fikiran anda orang yang paling meyakinkan untuk berbohong adalah orang politik. Ini kerana mereka merupakan golongan yang paling hebat dalam bercerita tetapi tidak pada hasil. Buktinya, manifesto yang dikemukakan pada setiap kali pilihan raya tidak pun dipenuhi. Malah, akan menggunakan segala bentuk hujah dan alasan untuk mempertahankan diri.

Sumber: Jon Batalion

Tidak hairan sekiranya ada ahli politik yang berani berkata manifesto bukan kitab suci, apatah lagi untuk bohong syar’i. Tetapi adakah mereka layak untuk menyertai pertandingan ini?

 

Ahli Politik dan Peguam Dilarang Sertai

Malang sekali ahli politik tidak dibenarkan menyertai pertandingan ini. Bukan sahaja mereka, bahkan golongan peguam juga turut dilarang dari menyertai pertandingan.

Barangkali penganjur mempunyai alasan tersendiri untuk menetapkan larangan. Ini kerana ahli politik dan peguam antara mereka yang mahir dalam menggunakan kata-kata, apatah lagi untuk mempengaruhi orang ramai. Sekiranya kedua-dua golongan ini diberi peluang, sudah pasti merekalah yang akan menjuarai pertandingan berbohong pada setiap tahun.

 

Catatan Menarik Di Sebalik Pertandingan

Sama ada anda percaya atau pun tidak, seorang wanita telah berjaya memenangi pertandingan ini pada tahun 2006. Sue Perkins yang juga seorang pelawak telah menjadi peserta wanita pertama memenangi pertandingan ini.

Sumber: Stephen Oliver

Manakala Abrie Krueger, seorang lelaki dari Afrika Selatan telah mencipta rekod sebagai orang Afrika pertama memenangi pertandingan ini pada tahun 2003.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai pertandingan ini?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN