Dua hari lalu, Ketua Pembangkang Ismail Sabri Yaakob memulakan usul untuk merujuk Menteri Kewangan Lim Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana menurutnya telah mengelirukan Dewan Rakyat.

Ia susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Awam Negara (PAC) yang mendapati bayaran balik GST – yang didakwa Lim telah “dirompak” oleh pentadbiran BN – tidak hilang.

Menurut Ismail, Laporan PAC yang dibentang di Dewan Rakyat 15 Julai lalu menunjukkan tidak ada kehilangan wang atau wang dirompak seperti didakwa menteri.

Walaubagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof telah menolak usul yang dibawa pembangkang itu.

 

Dewan Rakyat Kecoh

Ekoran dari penolakkan itu, berlaku kekecohan di Dewan Rakyat semalam hampir sejam selepas Ahli Parlimen pembangkang menuntut agar perkataan ‘rompak’ yang didakwa digunakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ditarik balik.

Ahli Parlimen Pembangkang cuba berkompromi iaitu tidak perlu rujuk jawatankuasa dengan syarat Ahli Parlimen Bagan memohon maaf dan menarik balik tuduhan dilakukan tetapi perkara ini tidak juga berlaku.

Perbalahan terus berlanjutan apabila Ahli Parlimen kerajaan bangun mencelah mempertahankan istilah berkenaan hingga menyebabkan blok pembangkang tidak berpuas hati dan bangun beramai-ramai.

Ini menunjukkan sikap dan mentaliti Ahli Parlimen di Malaysia yang jelas tidak matang.

 

‘Speaker Tak Guna’

Dalam pada masa sama, Ahli parlimen pembangkang meluahkan rasa kecewa dengan sikap Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang menurut mereka sebagai berat sebelah dan seolah-olah cuba menyebelahi Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pada sidang media di lobi parlimen semalam menyifatkan speaker sebagai ‘tak guna’ dan mempersoalkan bagaimana Ariff boleh menjadi hakim.

Untuk pengetahuan, Ariff adalah mantan Hakim Mahkamah Tinggi Malaysia dan Mahkamah Rayuan Malaysia dan merupakan seorang peguambela dan peguamcara sebelum dilantik sebagai speaker dewan rakyat Julai tahun lalu.

 

‘Rompak’ Tak Perlu Di debat

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyifatkan takrifan perkataan ‘rompak’ tidak perlu didebatkan memandangkan ia harus dilihat dalam konteks yang luas dan perspektif berbeza.

Guan Eng mendakwa, pembangkang sengaja membangkitkan perkara tersebut bagi mengalih perhatian terhadap beberapa isu yang dihadapi oleh parti tersebut termasuk melibatkan perbicaraan kes mahkamah dan pelantikan Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

 

‘Perompak’ Tidak Boleh Sebut

Selepas kekecohan yang berlaku kelmarin, Speaker mengambil keputusan semalam untuk melarang penggunaan beberapa perkataan yang dianggap kurang sopan, termasuk “perompak” yang sering digunakan berkaitan skandal 1MDB.

Jelasnya, beliau tidak pernah sebut bahawa perkataan perompak itu dibenarkan. Malah banyak perkataan yang digunakan di dewan ni seharusnya tidak boleh digunakan.

Antaranya ialah ‘podah’, mengajak orang keluar untuk berbalah, bertumbuk, yang mana semua ini kini menyalahi peraturan mesyuarat.

PAC  memulakan siasatan itu selepas Lim pada Ogos lalu berkata bayaran balik GST tertangguh sehingga dua tahun kerana pentadbiran “merompak” dana itu.

Susulan itu, kerajaan mendapatkan dividen khas berjumlah RM30 bilion daripada Petronas untuk membuat pembayaran semula itu.

Laporan PAC yang dibentang hari ini mengatakan tiada wang yang hilang tetapi pentadbiran lalu telah melanggar Seksyen 54 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 kerana memasukkan wang GST ke dalam akaun hasil disatukan.

 

 

 

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah perkara ini patut di jadikan isu?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN