Sumber: Justkhaotic

Siapa tidak pernah mendengar ‘Drive Thru’ atau dalam bahasa Melayunya ‘Pandu Lalu’. Jika di Malaysia, perniagaan ini diperkenalkan oleh jenama makanan terkenal seperti Mc Donalds dan KFC, sebelum jenama-jenama francais lain berkembang seperti Burger King, Starbucks dan sebagainya.

Mula Dilakukan Peniaga Tempatan

Namun, bermula beberapa tahun kebelakangan ini, perniagaan pandu lalu mula dilakukan oleh peniaga-peniaga tempatan dalam usaha meningkatkan jualan mereka. Bermula dari minuman seperti kopi, koko dan Teh Tarik sehinggalah kepada makanan seperti nasi lemak.

Apa yang membezakan perniagaan pandu lalu peniaga tempatan dengan pandu lalu francais ialah dari segi prasarana. Bagi peniaga tempatan, prasarana yang disediakan tidak secanggih perniagaan francais. Ini kerana mereka hanya berbekalkan satu meja dan beberapa unit kerusi dan banting bagi mempromosikan produk mereka.

Sumber: Metro

Ada Yang Mempunyai Kedai Pandu Lalu

Bagi peniaga tempatan yang agak besar, mereka mempunyai kedai tersendiri yang berada di kedudukan strategik yang membolehkan kenderaan pandu lalu. Mungkin tidak selengkap seperti prasarana perniagaan francais, namun tetap mendatangkan pulangan lumayan.

Apa yang menarik, perniagaan pandu lalu telah mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia. Bagi peniaga Teh Ais Tarik Ketagih, Mohamad Mustakeem Ahmad Termizi, 30, berkata perniagaannya kini mampu menjual sebanyak 18 balang teh ais ketagih setiap hari bermula jam 11 pagi sehingga 7 malam.

Berdasarkan laporan my metro, perniagaan bersama isteri itu pada mulanya sekadar percubaan. Walau bagaimanapun hari demi hari perniagaan mereka semakin mendapat sambutan dari kalangan penduduk tempatan.

Perniagaan Berkembang Dan Menguntungkan

Perkara sama turut dikongsi oleh Herman Shah Amat Sah, 42, yang berniaga Takoyaki pandu lalu. Pada mulanya beliau berniaga di gerai kecil pada tahun 2016, dengan bermodalkan wang sebanyak RM2,200, namun kini beliau sudah mampu memiliki premis perniagaan sendiri bagi mengusahakan Xpress Takoyaki.  

Malah, beliau turut memiliki bangunan kedai kecil dilengkapi pelbagai kemudahan seperti peralatan memasak, kamera litar tertutup (CCTV) dan ruang makan selain lorong pandu lalu, kata beliau kepada Berita Harian.

Menurut peniaga nasi lemak pandu lalu, Mohd Shaheer Zaqwan Zainuddin, 24, perniagaan nasi lemak menggunakan resepi ibunya mendapat sambutan yang menggalakkan. Bermula dengan 20 bungkus nasi lemak pada awal perniagaannya, kemudiannya mengembangkan perniagaan sehingga 200 bungkus sehari, itupun masih tidak menang tangan.

Kini, perniagaan secara pandu lalu tidak lagi asing bagi. Benarlah kata orang, sembilan dari 10 punca rezeki datangnya dari berniaga.

Sumber: SME. Corp

Sambutan Menggalakkan Masyarakat

Jelas sekali perniagaan secara pandu lalu disambut baik oleh masyarakat Malaysia. Ini kerana perniagaan seperti ini memudahkan pembeli, khususnya golongan pekerja. Mereka tidak perlu bersusah payah mencari parkir untuk membeli. Hanya perlu pandu lalu, meminta pesanan dan bayar.

Ternyata konsep ini sangat mudah dan cepat bagi pembeli, ditambah dengan harga makanan yang ditawarkan peniaga tempatan jauh lebih murah berbanding makanan francais. Maka tidak pelik, ramai yang menyukai idea perniagaan seperti ini.

Kini konsep pandu lalu bukan sekadar jualan makanan sahaja, konsep ini telah berkembang bagi perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti cuci kereta, bayaran bil, perkhidmatan pos dan sebagainya.

Diharapkan agar perniagaan pandu lalu seperti ini akan terus berkembang pada masa yang akan datang khususnya bagi golongan-golongan muda yang mempunyai pelbagai idea-idea perniagaan yang unik.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, apakah faktor perniagaan ini berkembang?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN