Isu mengenai penceramah bebas seringkali menjadi perdebatan dalam kalangan netizen di media sosial yang rata-ratanya mempersoalkan kelayakan serta latar belakang akademik pendakwah itu.

Dengan teknologi yang ada pada masa kini, sesiapa sahaja boleh melabelkan diri mereka sebagai penceramah bebas dengan memuat naik video mahupun ulasan secara terbuka di media sosial.

Sumber: Lobak Merah

Jika dilihat dari segi apa yang disampaikan oleh segelintir penceramah bebas ini, ada di antara mereka dilihat menyampaikan ceramah mengenai sesuatu topik itu secara keterlaluan  hingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sehingga ada yang mendesak supaya penceramah bebas ini, perlu mendapatkan sijil tauliah khas sepertimana penceramah agama yang lain dari pejabat agama terlebih dahulu bagi mengekang lambakan penceramah bebas yang tidak memiliki kelayakan serta latar belakang akademik dalam bidang agama sepertimana yang kerap berlaku ketika ini. 

 Mengapa Ia Sering Dipersoal?

Apabila menyentuh soal agama, memang tidak dinafikan lagi kebebasan berkongsi maklumat di media sosial pada hari ini telah membuka banyak peluang kepada individu tidak bertanggungjawab untuk menyebarkan ajaran yang salah.

Jika dilihat di media sosial pada hari ini, banyak sahaja ‘page’ atau halaman yang menyiarkan hadis atau dalil-dalil agama yang tidak tepat, tersebar luas di media sosial.

Sumber: Astro Awani

Asal ada topik atau isu yang sedang hangat dibincangkan di media sosial, pasti ada sahaja individu yang dilihat cuba menjadi ‘hero’ dengan membuat andaian sendiri tanpa merujuk kepada jabatan agama mahupun golongan pakar agama yang bertauliah terlebih dahulu.

Sekiranya tidak, perkara itu pasti boleh membawa kepada kekeliruan serta provokasi kepada umat Islam khususnya di negara ini.

Perlu diingat, walaupun seseorang itu merupakan penceramah agama sekalipun, tidak bermakna anda boleh berkongsi maklumat itu berdasarkan pengalaman mahupun pendapat sendiri, tetapi ia mestilah berpandukan dengan dalil Al-Quran serta Hadis yang sahih.

Sumber: Miri Community

Hal ini kerana, soal agama bukan bukan satu perkara yang mudah, jika ilmu yang disampaikan itu salah ada kemungkinannya seseorang yang mempercayai kesahihan maklumat itu akan mengamalkan perkara yang salah dan sesat yang membawa kemudaratan. 

Jadi, amatlah tidak wajar sekali sekiranya anda menjaja agama sendiri untuk mencari rezeki!

Boleh Dikenakan Tindakan Undang-Undang

Perlu diingat, mana-mana individu yang tidak memiliki sijil tauliah khas dari jabatan agama, anda dilarang sama sekali untuk memberi ceramah kepada umum.

Sumber: The Malaysian Times

Sekiranya ingkar, anda boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 bahawa sesiapa yang mengajar atau berceramah tanpa tauliah boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, seksyen tersebut tidak diguna pakai bagi individu yang mengajar atau berceramah di kediaman sendiri untuk anggota keluarganya.

Penceramah Agama Perlu Ada Integriti Dan Kredibiliti

Apabila bercakap mengenai pentauliahan, pasti akan timbul soal peraturan dan prosedur yang perlu diikuti oleh seseorang penceramah sebelum menyampaikan ceramahnya terutama yang berkaitan dengan isu-isu yang boleh mendatangkan impak kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Namun sebenarnya, banyak lagi aspek lain yang perlu ditekankan untuk menjadi penceramah agama yang mana mereka perlu memiliki integriti dan kredibiliti yang baik.

Sumber: pahangdaily.blogspot.com

Hal ini termasuklah soal keterampilan dan keperibadian yang perlu dijaga dengan baik seperti sikap yang menyenangkan hati orang ramai, tidak sombong, suka tersenyum, merendah diri dan menjaga penampilan dari segi pakaian bagi penceramah wanita.

Selain itu, sering diingatkan bahawa seorang penceramah itu juga perlu memiliki reputasi yang baik dari segi latar belakang pendidikan, pengalaman, pengetahuan, pergaulan dan sebagainya tanpa kontroversi.

Kita tidak mahu nanti timbul pelbagai persepsi dan kontroversi yang akhirnya memberikan implikasi yang negatif terhadap ceramahnya.

Jadi, adalah perlu untuk penceramah agama itu menjaga reputasi dirinya dengan baik agar apa sahaja maklumat yang disampaikan disegani oleh pendengar dan masyarakat.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah anda bersetuju sijil pentauliahan ini diselaraskan di seluruh negeri supaya mereka yang benar-benar layak sahaja boleh memberi ceramah sama ada di dalam majlis atau di mana-mana platform media?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN