Dalam kehangatan menyambut perayaan Aidilfitri, suasana politik di Malaysia juga merasai kehangatannya selepas perlantikan Latheefa Koya selaku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sumber: New Straits Times

Kenapa Orang Pertikai

Perlantikan Latheefa menjadi kontroversi memandangkan beliau merupakan bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR). Perlantikan orang politik dalam jawatan penting SPRM dilihat mampu mendatangkan imej buruk kepada badan tersebut kerana mempunyai kebarangkalian untuk berpihak yang tinggi.

Malah, perlantikan beliau turut dikecam oleh pemimpin PKR serta rakan-rakan komponen dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Persoalan yang timbul ialah apakah perlantikan Latheefa mempunyai konflik kepentingan? Ia memandangkan perlantikan tersebut dilakukan secara tergesa-gesa, dalam masa yang sama ia tidak dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

Sekiranya mengukur dari segi rekod jawatan dan keupayaan selaku peguam, beliau mempunyai kredibiliti tersendiri. Namun, tidak salah sekiranya kita pertikaikan perlantikan tersebut kerana tidak mengikut prosedur yang sewajarnya, lebih-lebih lagi sudah melanggar Akta SPRM yang mahu perlantikan utama dilakukan dalam kalangan penjawat awam.

Sumber: Malaysiakini

Anwar Turut Bersuara

Perkara ini turut dibangkitkan oleh Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Memetik laporan Sinar Harian, Anwar berkata perlantikan tersebut menimbulkan pelbagai isu. Pertamanya ia tidak dimaklumkan kepada kabinet.

Keduanya, perlantikan dilakukan tidak selari dengan Akta SPRM dan yang ketiga, perlantikan tersebut tidak selari dengan janji dalam Manifesto PH. Disebabkan itu, beliau memohon penjelasan daripada Mahathir.

Sumber: Sarawak Voice

Berdasarkan keterangan Mahathir kepada media baru-baru ini, jelas beliau mengakui perlantikan tersebut dibuat oleh dirinya sendiri dan tidak dimaklumkan kepada kabinet serta Parlimen.

Lebih mengecewakan lagi beliau telah memuktamadkan perlantikan Latheefa sebagai Ketua SPRM yang baharu tanpa berbincang dengan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen.

Apa Yang PSC Boleh Lakukan?

Meskipun telah diwujudkan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen untuk Perlantikan Jawatan Awam Utama (PSC), malangnya, fungsi PSC hanyalah sekadar ‘meneliti’ perlantikan awam utama seperti ahli SPR, Suhakam, Jawatankuasa Perlantikan Kehakiman dan SPRM.

Memetik laporan Malaysiakini, peguam Syahredzan Johan berkata, jawatankuasa tersebut tidak mempunyai peranan dalam perlantikan awam atau meluluskan sesuatu perlantikan. Sebaliknya, jawatankuasa tersebut hanyalah bertujuan untuk semak dan imbang keputusan eksekutif.

Sumber: Utusan Malaysia

Paling kuat pun, PSC hanya mampu meminta penjelasan daripada kerajaan atas sesuatu perlantikan dan meminta saksi termasuk ketua setiausaha negara untuk tampil disoal siasat berhubung perlantikan tersebut.

Sudah pasti tindakan ini bakal merumitkan PH dalam usaha memberi penerangan kepada rakyat tentang tindakan yang dilakukan oleh kerajaan, lebih-lebih lagi perlantikan tersebut secara terang-terangan melanggar manifesto PH (Janji 14) Lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM melalui Parlimen.

Jelas, Mahathir masih berjaya menggunakan kuasa prerogatifnya sebagai Perdana Menteri. Perlantikan sesuatu jawatan secara veto, oleh PM tidak sihat untuk demokrasi di Malaysia dan menyebabkan wajah Malaysia Baharu yang dicanang-canangkan tidak jauh berbeza seperti mana pemerintahan Barisan Nasional (BN). 

Akur Atau Lawan

Ramai yang tertanya-tanya, apakah tindakan susulan? Sama ada akur ataupun lawan. Kalau akur, Mahathir hanya melihat perkara ini seperti ribut di dalam cawan, malah kemungkinan lebih banyak lagi perkara U-Turn yang tidak dijangka bakal dilakukan oleh Mahathir.

Buktinya, lihat sahaja pelebaran sayap Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM) ke Sabah secara terang-terangan yang melanggar konsensus politik dengan Warisan sebelum ini. Begitu juga dengan penerimaan MP dan Adun UMNO yang berpaling tadah memasuki PPBM.

Yang jelas, perkara ini perlu ditentang seperti mana yang dilakukan oleh Nurul Izzah sewaktu menentang pengekalan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang akhirnya menyebabkan Pengerusi PAC ditukar.

Namun cabarannya ialah adakah pembangkang akan bersama dalam isu ini memandangkan ia tidak mendatangkan apa-apa kepentingan kepada mereka jika dibandingkan dengan jawatan PAC.

Sumber: Mountdweller88

Malah, kenyataan Presiden Pas yang menyokong perlantikan Latheefa lebih kepada sifat ‘bermuka-muka’ berbanding mempersoalkan integriti dan manifesto PH seperti mana yang mereka canangkan sebelum ini, meskipun perlantikan Latheefa jelas melanggar manifesto yang dijanjikan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa pandangan anda mengenai isu ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN