Walaupun kedudukan Malaysia-Singapura yang hampir boleh dilabel sebagai adik beradik, namun sebenarnya kedua-dua negara ini kerap juga terjebak dalam perselisihan faham yang mampu menggugat keharmonian.

Malah, baru-baru ini, isu mengenai ruang udara dan sempadan laut pula menjadi isu besar apabila kerajaan Malaysia melaksana pengambilan balik ruang udara di selatan Johor secara berperingkat mulai penghujung 2019 dan 2023.

Keputusan tersebut dibuat Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang mana ia dapat menjamin pergerakan pesawat yang selamat, cekap dan teratur susulan hasrat Singapura merancakkan operasi penerbangan komersial di Lapangan Terbang Seletar yang terletak hanya dua kilometer (km) dari sempadan negara Malaysia.

 

Mengapa Malaysia Berbalah Isu Ruang Udara?

Sumber: Air Times News Network

Dalam hal ini, Malaysia bukanlah dilihat sebagai negara jiran yang cerewet untuk menentang sebarang bentuk pembangunan termasuklah pembinaan Lapangan Terbang Seletar, Singapura.

Namun, apa yang menjadi perbalahan di sini adalah penggunaan penyiaran tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) lapangan terbang itu yang melalui ruang udara Pasir Gudang, Johor di mana ia bakal menjejaskan pembangunan di kawasan ruang udara Pasir Gudang untuk jangka masa panjang.

Penggunaan ILS yang dibangkitkan Malaysia itu mulai tercetus selepas Singapura menyiarkan ILS dan ILS Aeronautical Information Publication (AIP) pada 1 Disember lalu tanpa kebenaran.

Malah, penyiaran tersebut juga bertentangan dengan prinsip hak kedaulatan negara yang diperuntukkan di bawah Convention on International Civil Aviation (Chicago Convention 1944).

Selain itu, penggunaan ILS itu sendiri dilihat boleh menggugat pembangunan kerana setiap kali Singapura menyiarkan ILS, mana-mana pesawat yang ingin mendarat di lapangan terbang berkenaan perlu terbang dengan rendah di ruang udara Pasir Gudang.

Sumber: MH Online

Ia bukan sahaja boleh menjejaskan pembangunan di kawasan berkenaan tetapi turut sama menjejaskan operasi perkapalan di Pelabuhan Pasir Gudang.

Dalam isu ini, walaupun ruang udara berkenaan diwakilkan kepada Singapura bagi tujuan penyediaan kawalan trafik udara sejak 1974 namun sudah tiba masanya Malaysia menegakkan suara mereka untuk mengambil semula ruang udara berkenaan yang dibuat menerusi Operational Letter of Agreement Between Kuala Lumpur and Singapore Area Control Centres Concerning Singapore Areivals, Departures And Overflight (LOA 1974).

 

Isu Sempadan Laut Turut Jadi Pertikaian

Sumber: Free Malaysia Today

Dalam perkara ini, kedua-dua negara dilihat sering mendakwa antara satu sama lain malah baru-baru ini, Singapura pula mendakwa tindakan Malaysia memperluaskan had pelabuhan Johor Bharu melalui cara menceroboh Perairan Wilayah Singapura sekitar Tuas dikatakan telah mencabul kedaulatan Singapura serta undang-undang antarabangsa.

Disebabkan itu, kerajaan Singapura juga mengatakan bahawa pihaknya boleh membuat tinjauan untuk menentukan garisan perairan yang digunakan Malaysia bagi memperluaskan pelabuhan itu sebagai tidak betul memandangkan garisan tersebut masih berada di dalam perairan negara Singapura.

 

Malaysia Terus Pertahan Dakwaan Mengenai Pencerobohan

Sumber: Air Times News Network

Setelah dakwaan demi dakwaan dikenakan terhadap Malaysia, Loke dilihat terus berbalas kenyataan terhadap Kementerian Pengangkutan Singapura di mana pihaknya mendapati dakwaan Singapura itu adalah tidak tepat kerana had pelabuhan yang diubah untuk Pelabuhan Johor Bahru sama sekali tidak menceroboh wilayah mereka.

Malah, Loke juga turut mengatakan bahawa Singapura pada tahun-tahun sebelumnya juga dilihat telah menjalankan kerja-kerja penambakan secara ektensif di kawasan yang dipertikaikan.

Malah katanya, mengikut undang-undang trite, penambakan tanah itu tidak memperluaskan titik pangkal atau garis pangkal negara.

Jadi, mengikut undang-undang antarabangsa, perairan wilayah Singapura itu kekal tidak berubah walaupun kerja-kerja penambakan dijalankan hampir ke perbatasan luar perairan Singapura.

 

Apa Yang Dilakukan Malaysia Ketika Ini?

Sumber: Berita Harian

Melihat kepada perbalahan itu, satu mesyuarat bersama kerajaan Singapura akan dilaksana Malaysia dalam usaha membincangkan isu ruang udara dan sempadan maritim yang belum selesai.

Dalam mesyuarat terbabit, menteri pengangkutan dari kedua-dua negara ini akan menyelesaikan isu mengenai penyiaran ILS dan sempadan maritim yang sedang hangat dibincangkan.

Walaupun, kedua-dua negara ini sering kali terjebak dalam perselisihan faham namun mana-mana isu yang sering dipertikaikan itu tidak boleh berterusan memandangkan kedua-dua negara ini dilihat saling melengkapi antara sama sama lain.

Mana tidaknya, Malaysia merupakan rakan dagangan kedua terbesar untuk Singapura dan Singapura pula merupakan rakan dagangan ketiga terbesar untuk Malaysia.

Oleh itu, walau macam mana sekalipun kedua-dua negara ini sering berdepan dengan beberapa isu, hubungan yang baik di antara mereka sememangnya perlu dikekalkan demi kesejahteraan semua pihak.

Malah, hubungan di antara kedua-dua negara ini perlu dikekalkan memandangkan kedua-dua negara ini turut berkongsi sejarah yang sama dan merupakan jiran yang paling hampir.

Sebelum ini juga, Malaysia-Singapura dilihat mempunyai pertikaian mengenai perjanjian isu air, kes keretapi Tanah Melayu, kes perebutan Pulau Batu Putih dan Tambak Laut Singapura namun kesemua isu tersebut dapat diselesaikan secara baik oleh kedua-dua kerajaan itu.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah wajar kerajaan Malaysia mengambil alih semula ruang udara di selatan Johor secara berperingkat mulai penghujung 2019 dan 2023?
10 votes · 10 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN