Tiba sahaja musim Pilihan Raya Umum (PRU), pasti akan kelihatan poster yang memaparkan wajah calon-calon yang bertanding bagi setiap kawasan.

sumber: malaysia gazette

Poster yang digantung pula bukan satu, bukan sepuluh, malah ratusan poster digantung atau ditampal dalam kawasan di mana mereka bertanding bertujuan untuk memancing undi dari pengundi di kawasan berkenaan.

Sesetengah pihak mengatakan PRU tidak meriah jika tiada perang poster antara parti yang bertanding. Jika dilihat dari sudut pandang yang lain, poster-poster calon yang ditampal atau digantung ini merupakan satu bentuk pembaziran dan berlakunya pencemaran yang agak melampau.

 

Tiada Lagi Perang Poster Pada PRU Akan Datang

Menurut sumber dari utusan.com, pengerusi Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengatakan cadangannya untuk PRU akan datang, tiada lagi perang poster.

sumber: bernama

Baginya, perang poster ini satu bentuk pembaziran dan memiliki pelbagai masalah seperti tempat untuk meletakkannya serta memerlukan belanja yang besar. Katanya lagi, di negara maju hanya meletakkan satu atau dua poster sahaja di setiap kawasan.

Namun, terdapat pengecualian bagi kawasan tertentu seperti di kawasan pendalaman dan juga di luar bandar bagi memudahkan penduduk setempat mengenali siapa calon yang bertanding.

Cadangannya itu bakal dikemukakan kepada pihak kerajaan dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menilai dan juga membuat keputusan.

 

Ke Mana Perginya Poster dan Bendera Selepas PRU?

Semua calon-calon yang bertanding bertanggungjawab untuk menurunkan poster yang ditampal dalam tempoh dua minggu selepas tamat PRU.

Mungkin ada calon-calon yang menyimpan semua bendera untuk digunakan pada PRU akan datang, tetapi yang menjadi masalahnya ialah poster calon itu sendiri.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui ke mana perginya bahan-bahan yang digunakan dalam PRU. Calon-calon yang cakna tentang alam sekitar salah seorangnya ialah Hannah Yeoh telah mengambil inisiatif mendermakan bahan-bahan kempen mereka kepada NGO, pertubuhan alam sekitar serta individu yang kreatif.

sumber: star online

Selepas tamat PRU 14 yang lalu, Projek Berani merupakan salah satu pertubuhan yang menggunakan bahan kempen untuk diguna semula.

Mereka menukarkan bahan kempen tersebut kepada beg dan juga dompet. Durian Guest House juga antara yang menggunakan bahan kempen iaitu batang bendera untuk digunakan di dalam kebunnya.

 

Kitar Semula Juga Tidak Memadai

Mungkin ramai calon-calon yang bertanding dalam PRU yang mengambil langkah untuk mengitar semula bahan-bahan kempen mereka terutamanya poster dan juga bendera.

sumber: friends of the earth ireland

Menurut greennews.ie, saintis alam sekitar, Dr Cara Augustenborg tidak begitu optimis dengan idea mengitar semula bahan kempen pilihan raya seperti poster kerana baginya kitar semula ialah sebagai satu ‘pembaziran sumber’.

sumber: politico.eu

Dia lebih suka dengan poster berpusat seperti di Belgium dan juga France di mana semua calon mempunyai satu poster kecil atau hanya panduan mengundi yang disediakan oleh badan yang menguruskan pilihan raya sebagai satu cara untuk menjaga alam sekitar dan juga menjamin proses demokrasi berjalan lancar.

 

Tiada Poster Pun Boleh Menang Jika…

Penggunaan poster sememangnya penting untuk pengundi mengenali calon yang hendak dipilih mereka dalam pilihan raya.

Namun adakah penggunaan poster yang banyak ini mampu menarik perhatian pengundi untuk mengundi mereka? Adakah pengundi menilai calon dari berapa banyak poster yang dinaikkan?

sumber: benar news

Jika seseorang calon itu benar-benar berpengaruh di kawasan yang dipertandingkan, sudah semestinya pengundi tidak lagi perlu melihat bagaimana rupa wajah calon yang ingin dipilihnya itu. Cuma hadir untuk mengundi kemudian pangkah di bahagian namanya sahaja sudah cukup untuk memenangkan calon tersebut.

Tetapi perlu dilihat juga dalam aspek yang lain terutamanya strategi dalam memenangkan parti untuk membentuk kerajaan. Jika calon yang terbaik tetapi tiada strategi yang baik dalam memenangkan parti juga tiada gunanya.

Mungkin SPR boleh mencetak panduan mengundi atau setiap parti meletakkan poster calon secara berpusat yang memaparkan semua calon yang bertanding bagi menjaga alam sekitar dan mengelakkan pembaziran.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah perang poster dalam PRU merupakan satu pembaziran?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN