Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah nasib yang menimpa dua orang penyamun selepas cubaan menyamun sebuah premis perniagaan di sekitar Pekan Nanas, Pontian menemui kegagalan.

Samun Sekitar Pontian

Memetik laporan Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Pontian, Superitenden Mustafa Bakri Salleh berkata, kedua-dua lelaki yang berusia 25 hingga 29 tahun menggunakan senjata parang, pisau dan paip. Sasaran suspek ialah kedai serbaneka 24 jam, stesen minyak, kedai telekomunikasi dan kedai herba.

Difahamkan suspek bergerak aktif menyamun sekitar jam 10 malam iaitu ketika premis perniagaan hendak menutup operasi. Kedua-dua suspek telah melakukan kegiatan samun sejak September lalu.

Kejayaan tangkapan ini adalah hasil dari rakaman kamera tertutup (CCTV) serta maklumat yang diberikan oleh orang awam kepada pihak berkuasa bagi menjejaki suspek sehingga tertangkap.  

Hasil tangkapan, pihak polis berjaya merampas beberapa barangan yang dicuri suspek seperti sebuah motosikal Honda EX5, lapan buah telefon bimbit serta dua nombor pendaftaran palsu dengan nilai rampasan mencecah RM20,000.

Sumber: The Straits Times

Kantoi Peminat ‘Bossku’

Apa yang menarik, paip yang dirampas dari tangan kedua-dua penyamun terbabit terpapar tulisan ‘terbaik bossku’. Dikatakan bahawa perkataan itu ditulis sendiri oleh suspek. Hal ini menarik perhatian warga maya sehingga ada yang mengaitkan istilah tersebut dengan seorang tokoh politik tanah air.

Bossku merupakan panggilan glamour yang digunakan oleh segelintir pemuda bermotor bagi merujuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Istilah tersebut telah menjadi tular ke seluruh negara sehingga pelbagai jenis perekat, baju dan topi telah banyak menggunakan istilah bossku sebagai tarikan pembeli.

Sehingga kini istilah bossku menjadi istilah yang sinonim buat bekas Perdana Menteri itu. Malah panggilan tersebut akan terus dilaungkan oleh para peminatnya sekiranya beliau berkunjung ke sesuatu tempat.

Sumber: Utusan

Sanggupkah Najib Mengaku Peminat?

Dalam pada itu, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek positif dadah. Suspek kini direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara 20 tahun dan sebatan.

Dengan rekod-rekod jenayah yang dilakukan, ia merupakan sesuatu yang membimbangkan. Kini, terpulang kepada bossku Najib sama ada ingin mengaku sekiranya kedua-dua suspek itu adalah peminatnya atau pun tidak.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah benar mereka peminat Najib?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN