Adat bagi seorang peniaga pastinya ingin mencari keuntungan. Di samping mencari keuntungan, sudah tentu peniaga ingin memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan mereka. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sudah pasti kewangan merupakan masalah utama rakyat Malaysia hari ini. Sehinggakan ada yang tidak mampu untuk memenuhi keperluan diri.

Tular di halaman media sosial facebook baru-baru ini tentang kisah peniaga bengkel motosikal yang berhati mulia. Menerusi paparan video yang dimuat naik, koleksi Tayar Viral Second RM20 yang dijualnya telah pun habis dijual. Namun begitu, kehadiran seorang pelanggan bermotosikal dari jauh telah pun membuatkan beliau berada dalam keadaan serba salah.

Sumber: Facebook Ayah Pong

Sanggup Redah 80KM Untuk Dapatkan Tayar Murah

Masakan tidak, pelanggan yang berasal dari Tanjung Karang itu sanggup mengharungi perjalanan sejauh 80 kilometer semata-mata untuk mendapatkan tayar RM20 bagi menggantikan tayar motosikal miliknya yang semakin ‘botak’.

Namun hati si peniaga ini sangat murni apabila menghadiahkan sebiji tayar baharu kepada pelanggannya.

Dalam masa yang sama beliau sempat memberikan sebiji tayar ‘second hand’ yang lain secara percuma untuk penukaran tayar belakang motor tersebut.

Nyawa Lebih Bernilai Berbanding Wang Ringgit

Sekiranya difikirkan, tindakan ini memang tidak menguntungkan bagi mana-mana peniaga. Tetapi beliau memilih untuk bersedekah.

Ini kerana, jika dibiarkan kedua-dua remaja tersebut pulang dalam keadaan tayar motor yang teruk, sudah pasti ia sangat berbahaya memandangkan keadaan cuaca hujan. Ditambah pula dengan keadaan jalan yang licin.

Benarlah kata orang, bagi golongan bangsawan apalah sangat nilai tayar berharga RM20, tetapi bagi rakyat marhaen nilai itu amat bermakna dalam memenuhi keperluan yang diingini. Perlu diingat, ada perkara yang lebih penting difikirkan berbanding duit iaitu nyawa seseorang.

Sumber: Facebook Ayah Pong

Dipuji Warga Maya

Dalam kalangan warga maya, ramai yang memberi reaksi positif terhadap tindakan yang dilakukan oleh peniaga tersebut. Masing-masing memberikan pujian, dan berdoa agar beliau dilimpahkan dengan rezeki yang melimpah-ruah.

Sehinggakan, ada yang secara berjenaka mahukan beliau bertanding dan menjadi Yang Berhormat (YB) bagi membantu penduduk setempat kerana budi pekerti yang mulia.

Benar-Benar Ingin Membantu Atau Sengaja Mencipta Publisiti?

Tidak dapat dinafikan ada juga yang menganggap tindakan peniaga itu sebagai salah satu gimik murahan untuk meraih publisiti. Ini kerana, video yang berdurasi selama 1 minit 35 saat telah ditonton lebih daripada 126 000 orang, mendapat 500 perkongsian, seribu komen dan menerima lebih 10 ribu reaksi dengan pelbagai tanda.

Sumber: Facebook Ayah Pong

Sebagai manusia biasa, adalah tidak adil untuk kita membuat justifikasi negatif terhadap seseorang. Keikhlasan seseorang itu hanya boleh diadili oleh Yang Maha Pencipta. Tugas kita sebagai manusia adalah menonjolkan nilai-nilai murni yang ada kepada masyarakat.

Maka, sikap murah hati peniaga seperti ini wajar dicontohi oleh semua pihak. Sebagai manusia yang prihatin bantulah sesiapa pun dengan kadar yang termampu. Mungkin kehidupan kita hari ini berada di atas, tetapi tidak mustahil sekiranya akan tiba giliran kita pula berada di bawah.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa kata anda?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN