Bagi golongan berada, ratusan ringgit merupakan satu nilai yang kecil, tetapi besar nilainya bagi mereka yang kurang berkemampuan. Bak kata orang semakin besar periuk makin besarlah keraknya.

Begitulah juga konsepnya dalam bersedekah.  Bagi masyarakat kita, melakukan sedekah perlulah berdasarkan kemampuan diri. Ada yang mampu memberikan jumlah sumbangan yang kecil dan ada juga yang mampu memberikan sumbangan yang besar.

Sumber: Yoy.my

Kesukaran Hidup Bukan Penghalang

Mungkin agak mustahil kita mendengar golongan yang serba kekurangan mengeluarkan simpanan ribuan ringgit untuk bersedekah. Mana tidaknya, untuk menyediakan keperluan harian pun belum tentu mencukupi. Tetapi itulah yang terjadi baru-baru ini semasa perayaan Aidil Adha di Indonesia.

Siapa sangka seorang pengutip sampah warga emas di Mataram, Lombok telah mengejutkan penduduk setempat. Memetik artikel yoy.my, beliau dikhabarkan mendermakan wang simpanannya sebanyak RM3000 untuk mengerjakan ibadah korban.

Hanya Mahu Melihat Kegembiraan Orang Lain

Menurut seorang wakil kariah masjid, pada awalnya mereka sangat terkejut apabila menerima sumbangan dari nenek Sahnun yang merupakan satu jumlah yang sangat besar. Namun begitu, dengan duit yang disumbangkan oleh nenek Sahnun membolehkan ahli kariah masjid membeli seekor lembu bersaiz sederhana untuk dilakukan ibadah Qurban buat penduduk setempat.

Sumber: Yoy.my

Walaupun dengan kehidupan serba kekurangan Sahnun sanggup mendermakan wang simpanannya semata-mata untuk melihat kegembiraan orang lain. Sedangkan beliau memerlukan waktu yang sangat lama untuk menyimpan wang sejumlah itu. Ketika ditemuramah oleh wartawan, beliau tidak ingat sejak bila beliau mula menyimpan wang tersebut tetapi sudah melakukannya agak lama.

Kalau Ikhlas Duit Bukanlah Nilainya

Tatkala masyarakat kita berkira-kira untuk melakukan ibadah korban sama ada di dalam negara atau di luar negara dengan harga yang lebih murah, nenek Sahnun telah membuktikan bahawa nilai duit baginya tidak penting. Apa yang penting keikhlasan untuk melakukan ibadah bagi memastikan orang lain merasai kegembiraan.

Segala-galanya berdasarkan usaha gigih beliau berjalan kaki 3 kilometer saban hari dalam mencari sesuap rezeki. Dalam masa yang sama beliau memberi mesej jelas kepada masyarakat bahawa kesusahan hidup bukanlah penghalang bagi seseorang untuk melakukan ibadah korban.

Sumber: Yoy.my

Semoga kisah ini menjadi iktibar dan tauladan buat kita semua untuk melakukan amal sedekah dengan lebih ikhlas pada masa yang akan datang. Wang ringgit bukanlah ukuran, tetapi keihklasan hati dalam melakukan ibadah.

Diharapkan agar lebih ramai lagi masyarakat kita dapat melibatkan diri dalam melakukan amal ibadah korban pada perayaan Aidil Adha pada masa akan datang. Percayalah semakin banyak yang kita sedekah semakin banyak rezeki yang kita dapat. Rahmat Allah itu luas.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah kisah ini memberi inspirasi kepada anda?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN