Setiap orang pasti ada membuat pinjaman dan berhutang dengan bank atau syarikat persendiran untuk membeli sesuatu barang serta perkhidmatan. Namun ada juga yang seringkali terlepas untuk membuat pembayaran semula seperti ditetapkan.

Untuk menyelesaikan masalah tidak membayar hutang ini, bank, syarikat telekomunikasi, atau syarikat utiliti akan mengupah agensi pengutip hutang, atau ejen pemungut hutang, untuk memungut hutang dari individu, perniagaan, atau syarikat jika penghutang gagal membuat bayaran.

Perkhidmatan kutipan hutang adalah sah disisi undang-undang jika ianya dilaksanakan oleh pengutip hutang yang berlesen di Malaysia. Malah Bank Negara Malaysia ada menyatakan bank dibenarkan untuk menggunakan servis pengutip hutang, dengan beberapa terma dan syarat yang perlu dilaksanakan .

Tetapi masalah timbul apabila pengutip hutang bersikap melampaui batas sewaktu menjalankan perkhidmatan mereka ekoran pelaksanaan undang-undang yang longgar.

 

Pengutip Hutang Didenda RM10 Ribu

Hari ini seorang pengutip hutang  didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret Kuantan selepas mengaku bersalah mengganggu seorang guru untuk menuntut hutang.

Sumber: Utusan

Mengikut pertuduhan, Tertuduh, Neo Soon Hwai, 59, membuat panggilan telefon dan menampal gambar poster peminjam di tiang hentian bas dan pondok telefon di luar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Wira di Jalan Panching pada 5.45 petang, 19 Julai lalu.

Peminjam dikatakan pernah membuat pinjaman berjumlah RM10,000 pada Disember 2017.

Mengikut Seksyen 29B (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM10,000 serta tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau keduanya sekali.

 

Ketahui Hak Sebagai Peminjam

Sebagai peminjam, anda perlu tahu hak anda sekiranya berlaku perkara sebegini. Walaupun kita peminjam, pihak pemungut hutang tidak ada hak untuk melakukan kekerasan atau  sewenangnya mengugut, atau mengasari kita.

Bank Negara Malaysia telah menggariskan beberapa panduan untuk diamalkan oleh pengutip hutang. Proses pemungutan hutang perlu dilakukan dengan tindakan yang adil kepada penghutang, termasuk melindungi privasi sewaktu mengutip hutang.

Pihak bank atau syarikat yang menggunakan ejen pengutip hutang perlu pastikan beberapa perkara antaranya memberikan notis pemberitahuan terlebih dahulu kepada penghutang.

Jika ejen pengutip hutang sering kali menghubungi anda serta datang ke tempat kerja atau rumah, anda boleh memfailkan aduan ke Bank Negara Malaysia. Ini kerana, syarikat pemungut hutang tidak boleh menghubungi pemiutang lebih dari 3 kali seminggu.

Malah, anda juga boleh meminta mereka untuk menunjukkan kad kuasa, nama syarikat pemungut hutang, dan notis makluman hutang anda

Ada Had Masa Terhadap Hutang

Berdasarkan laman web Compare Hero,  di bawah Akta Had Masa 1953, wujud had masa yang diperuntukkan untuk pemiutang  mengambil tindakan keatas penghutang.

Pemiutang perlu mengambil tindakan undang-undang dalam tempoh masa tersebut. Dalam kes ini, tempoh masa yang dikenakan ialah 6 tahun. Selepas tempoh tersebut, institut kewangan tidak boleh mengambil tindakan terhadap penghutang yang tidak membayar hutang.

Sebagai contoh, katakan anda memohon pinjaman peribadi dari bank pada tahun 2017, dengan tempoh bayaran semula selama 7 tahun. Jadi, anda sepatutnya telah melangsaikan bayaran pinjaman tersebut pada tahun 2024. Sekiranya anda masih belum berbuat sedemikian, bank diberikan tempoh masa sehingga 2030 untuk mengambil tindakan undang-undang.

Jadi, jika ejen pengutip hutang berjumpa dengan anda untuk hutang yang anda pinjam lebih dari 6 tahun yang lalu, mereka tidak berhak untuk mengambil tindakan undang-undang disebabkan had tempoh tersebut. Tempoh masa ini biasanya sama untuk semua produk dari bank, dari kad kredit hingga ke pinjaman.

 

Dah Hutang,  Bayar

Sebelum ejen pengutip hutang menghubungi anda, pihak bank biasanya telah menghantar notis pemberitahuan kepada anda untuk membayar hutang terlebih dahulu.

Jangan abaikan panggilan telefon, surat, atau notis e-mel dari bank berkenaan dengan pembayaran pinjaman anda. Sebaliknya, hubungi pihak bank sekiranya anda mengalami masalah dalam membuat bayaran semula.

Sekadar Gambar Hiasan

Bank boleh menawarkan penstrukturan semula bayaran bagi membantu anda kerana pihak bank juga ingin mengurangkan jumlah pinjaman tidak berbayar (non-performing loans)

Jika ejen pengutip hutang melanggar etika yang ditetapkan, anda boleh memfailkan aduan dengan bank berkenaan atau terus ke Bank Negara Malaysia.

Diingatkan untuk bayar hutang supaya tidak mendatangkan masalah dikemudian hari.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda pernah menjadi mangsa pengutip hutang?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN