Pendirian Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mengekalkan Waytha Moorthy dalam barisan kabinet telah menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan rakyat.

Keputusan yang dibuat oleh Mahathir sudah pastinya mengecewakan rakyat yang masih bersedih terhadap kematian seorang anggota bomba Allayarham Muhammad Adib dalam insiden rusuhan kuil pada November tahun lalu.

Bagi Mahathir, beliau mendakwa menteri berkenaan tidak menimbulkan apa-apa masalah. Benarkah dakwaan itu? Bagi pengguna maya, ramai yang tertanya-tanya justifikasi apa yang Mahathir letakkan kepada ‘si menteri’ sehinggakan begitu mudah berpuas hati.

Sumber: Astro Awani

Sedangkan, Moorthy merupakan antara menteri yang paling gagal dalam barisan kabinet Pakatan Harapan (PH). Tugas beliau selaku Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dalam hal perpaduan ternyata tidak memberi apa-apa makna.

Ini kerana, kemelut isu berkaitan agama dan kaum semakin menjadi-jadi sehingga ke hari ini. Malah, rakyat tidak nampak apa-apa usaha yang dilakukan oleh Moorthy dalam menangani masalah yang berlaku. Tidak ada sebarang kenyataan, tidak ada sebarang pertemuan, diskusi mahu pun dialog yang mampu meredakan ketegangan.

Kegagalan Isu Rusuhan Kuil

Kegagalan terbesar Moorthy adalah ketika berlakunya peristiwa rusuhan kuil haram di Subang pada November tahun lalu. Dengan bersandarkan cakap-cakap orang tanpa membuat usul periksa, beliau telah menyebelahi perusuh dengan menyalahkan tindakan pihak polis dalam mengawal keadaan. Tidak dapat dipastikan apakah kapasiti beliau untuk membuat kenyataan mengenai polis.

Sedangkan, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato’ Mohd Azis Jamman telah mempertahankan tindakan yang dilakukan oleh pihak polis yang telah mengikut prosedur dalam mententeramkan keadaan dari terus marak.

Sumber: Malaysiakini

Sikap tidak bertanggungjawab Moorthy selaku menteri dengan menyalahkan pihak polis telah menyebabkan seikap perusuh-perusuh kuil semakin menjadi-jadi sehingga mengakibatkan berlakunya peristiwa kematian anggota bomba Allayarham Muhammad Adib.

Langkah Kontroversi Tubuh Parti Kaum India

Begitu juga dengan tindakan beliau menubuhkan parti baharu masyarakat India iaitu Malaysian Advancement Party (MAP) pada Julai lalu yang menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat. Ini kerana, penubuhan parti baharu berasaskan kaum, tidak mencerminkan kapasiti beliau selaku menteri perpaduan.

Langkah ini bukan sahaja tidak disenangi oleh orang ramai, malah turut dikritik oleh rakan-rakan dalam PH sendiri.

Berdasarkan laporan Malaysiakini, ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, Waytha Moorthy telah memberi mesej yang salah bagi perpaduan kaum apabila menubuhkan parti berasaskan kaum di negara ini.

Rakyat Mahu Beliau Berundur

Hakikatnya, rakyat tetap mahukan Waytha Moorthy berundur dari barisan kabinet. Lebih elok sekiranya beliau meletakkan jawatan secara terhormat daripada terus membazir duit pembayar cukai yang membiayai gaji menteri yang tidak mendatangkan sebarang solusi.

Seperti mana jawatan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, jawatan Menteri Perpaduan juga merupakan jawatan baru yang diwujudkan oleh Mahathir. Namun begitu, kedua-duanya tidak mempunyai arah tuju yang jelas sehingga kini.

Sumber: Astro Awani

Kenapa Mahathir Masih Kekalkan Moorthy?

Pengekalan Moorthy sebagai barisan menteri telah bertentangan dengan kenyataan awal yang pernah dikeluarkan Mahathir pada Januari lalu.

Ini kerana Mahathir pernah berkata akan membuat keputusan mengenai kedudukan Waytha Moorthy sebagai menteri selepas menerima laporan penuh inkues kematian anggota Muhammad Adib.

Apa pun, kenyataan Mahathir yang mengatakan bahawa beliau masih boleh simpan Moorthy sebagai menteri turut mengundang seribu persoalan. Sama ada untuk menambah keparahan dalam pentadbiran PH atau mungkin ingin menggunakan Moorthy untuk kepentingan peribadi?

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Apakah solusi terbaik dalam isu ini?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN