Genap empat tahun, isu mengenai pengasingan fungsi klinik dan farmasi masih belum diputuskan baik daripada kerajaan dahulu dan kerajaan yang baru kini.

Sumber: The Star

Apa yang pasti, sebelum cadangan itu direalisasikan, satu perbincangan dan kajian perlu dibuat secara teliti oleh kerajaan dengan mengambil kira kewajaran, kepentingan dan keperluan pesakit itu.

Sekiranya cadangan ini tidak dikaji secara teliti, ia sama sekali boleh menimbulkan pelbagai isu dan masalah terhadap pesakit yang mana mereka bakal berdepan dengan kesukaran mencari farmasi untuk mendapatkan ubat setelah mendapatkan preskripsi daripada doktor.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) melihat cadangan pengasingan ini membebankan rakyat selepas pelbagai isu yang bakal timbul.

Namun, ada pula yang mengatakan pengasingan ini baik kerana ia memberi banyak pilihan kepada pengguna untuk membuat keputusan terbaik mengenai ubat mengikut keperluan dan kesesuaian diri.

 

Pengguna Bebas Buat Pilihan

Sumber: maitengok!

Sekiranya cadangan ini dilaksanakan, orang ramai yang berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta tidak boleh lagi mendapatkan ubat di klinik berkenaan, sebaliknya perlu membeli ubat yang disarankan oleh doktor di farmasi-farmasi luar.

Jika dilihat dari segi kebaikannya, cadangan ini sama sekali memberi kebebasan kepada pengguna untuk membeli ubat mengikut keperluan mereka.

Jadi, seandainya cadangan ini dilaksana suatu hari nanti, pengguna diberi pilihan untuk membuat keputusan mengenai jenis ubat yang benar-benar diperlukan.

 

Elak Pembaziran Ubat

Sumber: AmazingNara

Maka, tidak timbul isu pembaziran ubat yang diberi klinik swasta yang mana ada pesakit tidak mematuhi arahan pengambilan, sengaja menukar jenis ubat, berhenti mengambil ubat dan mendapat ubatan daripada klinik lain, sehingga menyebabkan lambakan bekalan ubat di rumah.

Perkara ini diperkukuhkan lagi dengan Kaji Selidik Kebangsaan Mengenai Penggunaan Ubat-Ubatan (NSUM) oleh Pengguna Malaysia 2015 terhadap 3,081 responden yang mana mereka dapati 73 peratus responden tidak mematuhi arahan pengambilan ubat sepanjang tahun 2015.

Walaupun nilai pembaziran sebenar tidak dapat ditentukan, kajian itu jelas sekali menunjukkan pembaziran ubat berada pada tahap tinggi.

 

Khuatir Ada Pihak Monopoli Harga

Dari segi harga pula, apa yang paling dibimbangkan adalah akan berlaku monopoli pihak tertentu sehingga menyebabkan caj perubatan dinaikkan hingga membebankan rakyat.

Apabila kedua-dua fungsi ini diasingkan, caj yang dikenakan ke atas ubat itu juga sedikit berbeza berbanding dengan harga di klinik.

Melihat kepada sistem yang ada masa ini, ia sama sekali memudahkan orang ramai untuk mendapatkan penawaran dua perkhidmatan iaitu konsultasi dan ubat dengan satu caj berpatutan berbanding daripada diasingkan.

 

Sukarkan Pengguna Cari Farmasi

Perkara ini juga perlu diteliti kerajaan memandangkan negara kita ketika ini masih lagi kekurangan bilangan farmasi dan ahli farmasi.

Bagi kita yang menetap di kawasan bandar, kita mungkin senang untuk mencari farmasi bagi mendapatkan ubat yang disarankan doktor tetapi bagaimana pula dengan mereka yang menetap di kawasan luar bandar?

Tidak semua lokasi itu mempunyai farmasi dan dapat menampung jumlah pengguna yang ramai sepertimana di klinik.

Apabila pengguna sukar mencari farmasi, adalah menjadi tanggungjawab doktor di klinik itu untuk memberi preskripsi yang diperlukan kepada pesakitnya.

Jangan hanya kerana pengasingan ini, ada pula pesakit perlu bermati-matian ketika mencari farmasi hanya untuk mendapatkan ubat tersebut.

Apapun, pelaksanaan cadangan ini semestinya memerlukan perancangan yang teliti agar tidak membebankan pengguna.

Sekiranya mahu diteruskan, kerajaan perlu pastikan setiap kawasan itu dilengkapi dengan farmasi komuniti bagi memudahkan rakyat.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah anda bersetuju terhadap cadangan pengasingan fungsi klinik dan farmasi ini?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN