Pada pembetangan Bajet 2019 jumaat lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM10 juta bagi menambah 50 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) di premis bangunan kerajaan.

Sumber: The Star

Keputusan itu dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk meringankan beban ibu yang bekerja berikutan hampir 36 peratus daripada penjawat awam kumpulan pengurusan tertinggi terdiri daripada wanita.

Pengumuman yang dibuat tersebut pasti menjadi satu pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh seluruh penjawat awam di mana sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) turut sama menyatakan hasrat mereka supaya kerajaan tubuhkan lebih banyak taska mulai tahun depan.

Ternyata kini, apa yang diharapkan semua pihak terutama penjawat awam diluluskan oleh kerajaan yang sememangnya komited dalam meningkatkan pembabitan wanita untuk bekerja sekaligus meringankan beban mereka.

 

Taska di Pejabat Bantu Wanita Fokus Kerja

Sumber: Liputan Siber

Penubuhan lebih banyak pusat asuhan kanak-kanak di pejabat bukan sahaja menggalakkan wanita bekerja malah ia turut memberi impak secara langsung terhadap produktiviti pekerja wanita itu sendiri.

Mana tidaknya, sebagai ibu yang bekerjaya, sudah pasti kita tidak mahu mengabaikan tanggungjawab terhadap anak sungguhpun sudah bekerja dan mempunyai jawatan yang besar.

Apabila memikirkan soal anak, ia pasti tugas berat bagi wanita terutama kepada mereka yang tidak mempunyai pembantu rumah dan menetap berjauhan dengan ahli keluarga yang lain.

Sumber: tovatraxi.com

Seandainya anak diletakkan di pusat asuhan yang jauh dari tempat kerja, banyak pula kerisauan yang bakal timbul malah ibu juga perlu terkejar-kejar untuk menghantar serta mengambil anak mereka.

Faktor-faktor sebegini antara yang menjadi dilema besar terhadap golongan wanita sehingga ada di antara mereka sanggup berhenti kerja kerana mungkin itu cara penyelesaian yang paling mudah bagi mereka untuk menjaga anak.

Dalam hal ini, apabila kerajaan membuka lebih banyak premis berkenaan di tempat kerja, segala kerisauan tersebut akhirnya menemui jalan penyelesaian di mana wanita kini tidak perlu bimbang untuk terus bekerja dan menyumbang tenaga kepada syarikat tanpa perlu risau akan keadaan anak mereka.

 

Keselamatan Anak Lebih Terjamin

Sumber: Utusan Online

Apabila lokasi taska berada di dalam premis bangunan kerajaan, ia sekaligus dapat mengurangkan risiko terhadap kes penderaan kanak-kanak seperti yang menjadi perbualan hangat netizen di media sosial.

Jika dilihat video serta kes penderaan kanak-kanak hingga menyebabkan kematian, sudah pasti ianya memberi kegusaran kepada ibu untuk menghantar anak mereka ke pusat asuhan yang jauh dari tempat kerja.

Mengikut statistik dari tahun 2015 hingga Jun tahun lalu, sebanyak 581 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan dilakukan dari pengasuh.

Sumber: tular.my

Tahun ini saja, negara kita dikejutkan dengan satu kes bayi yang dilaporkan hilang serta diculik dijumpai mati di rumah pengasuhnya di Jalan Nahkoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves, Gombak baru-baru ini.

Kejadian yang menimpa arwah adik Adam Rayqal sebelum ini yang ditemui disorokkan dalam bahagian peti sejuk beku sangat tragis sehingga ramai pihak mahu hukuman mati dikenakan terhadap si pengasuh kerana telah menyebabkan kematian seorang bayi yang tidak bersalah.

Bukan itu saja, kes penderaan yang sama turut menimpa seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bukan yang mati akibat tindakan pengasuh memasukkan cili ke dalam mulutnya.

Jadi, apabila memikirkan pelbagai kes penderaan yang banyak dilaporkan kini, sebagai ibu bapa sudah tentunya kita akan menjadi bimbang dan gusar untuk meletakkan anak di pusat asuhan yang jauh dari tempat kerja.

Hasrat kerajaan untuk menambah bilangan taska ini dilihat tepat pada masanya kerana ia mampu meringankan beban ibu untuk mencari pusat asuhan yang sesuai dengan anak mereka di samping turut memudahkan mereka untuk memerhati anak serta pengasuh di depan mata.

KATA ORANG

KATA ANDA

Selain menambah lebih banyak bilangan pusat asuhan di premis kerajaan, adakah pihak kerajaan juga perlu menguatkuasakan juga pusat asuhan di syarikat swasta?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN