Dikala kita sedang bercuti menyambut Hari Pekerja, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pemergian seorang pedakwah dan juga ulama yang disegani iaitu Allahyarham Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz yang juga merupakan bekas Penasihat Agama Istana Negara pada 1 Mei 2019.
Menurut anak sulungnya, Mohamad Yusri Abu Hassan berkata, Allahyarham rebah selepas menunaikan solat Subuh dan ketika bersiap untuk menghadiri program di Mahad Tahfiz di Kota Raja Ipoh di rumahnya dan dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 7.30 pagi.
Selamat Dikebumikan
Jenazah Allahyarham telah dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Saidina Hamzah, Kuala Lumpur dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah Jalan Kuala Lumpur- Karak, Taman Selaseh.
Menurut media, kira-kira 1,000 orang hadir di tanah perkuburan dan Raja Perli, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perli, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berkenan berangkat.
Allahyarham yang berusia 73 tahun telah meninggalkan seorang balu, Datin Seri Rosbi Shahbudin serta tujuh orang anak iaitu Mohamad Yusri, Shahirah, Mohamad Fauzan, Munirah, Mohamad Helmi, Iskandar Ismail dan Mohamad Fikri serta 13 orang cucu.
‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’
Allahyarham sempat memberi ceramah di Surau An-Nur Fasa 3A, Bandar Seremban Selatan yang bertajuk ‘Andainya Ini Ramadan Terakhir’ pada 30 April 2019 sebelum disahkan meninggal dunia pada pagi esoknya.
Arwah ada berpesan kepada jemaah agar tidak meninggalkan solat walaupun sekali dan ramai yang tidak menyangka kehadiran Allahyarham ke surau tersebut merupakan ceramah terakhirnya.
Sumbangan Dalam Ilmu Agama
Arwah dilahirkan di Arau, Perlis dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Derma, Arau , Sekolah Agama Arab Alawiyah seterusnya melanjutkan pelajarannya dalam jurusan Sarjana Muda (Usuluddin), Universiti Al-Azhar, Mesir.
Mula bertugas sebagai Pengetua Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang dahulu dikenali sebagai Institut Pengajian Tahfiz al-Quran Wal- Qiraat pada 1970an.
Seterusnya berkhidmat di Pusat Islam pada tahun 1976 sebelum berkhidmat di Masjid Negara pada tahun berikutnya dan seterusnya memangku jawatan Imam Besar.
Arwah juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat Agama Istana kepada tujuh Yang di-Pertuan Agong termasuk Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Tunku Syed Sirajuddin ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Sultan Mizan Zainal Abidin kemudian bersara pada tahun 2007.
Beliau juga aktif berceramah melalui pentas dakwah seperti Forum Perdana Ehwal Islam terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Tanyalah Ustaz di TV9.
Pemergian Allahyarham juga menyentuh hati Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi laman rasmi Facebooknya.
Pemergian seorang tokoh agama yang disegani merupakan satu kehilangan yang besar buat seluruh rakyat Malaysia dan semoga rohnya ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
Al-Fatihah…
KATA ORANG
Allahyarham ustaz abu hassan din berpesan in his last ceramah, “Jangan tinggalkan solat” and he passed away the next morning after subuh. Where most of us probably didn’t even wake up for subuh. And god knows other solat. If that doesn’t hit u then I don’t know what will
— faatin akib (@faatinakib) May 2, 2019
DATUK SERI ABU HASSAN DIN AL HAFIZ DALAM KENANGAN
— Anwar Ibrahim (@anwaribrahim) May 1, 2019
Sugul menerima berita pemergian tokoh pendidik dan pendakwah Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz telah pergi mengadap Ilahi pagi tadi sesudah Suboh. pic.twitter.com/ceH7ezgHfC
Malaysia hari ini kehilangan seorang ilmuwan Islam yang disegani, Datuk Seri Abu Hassan Din Al-Hafiz.
— Maszlee Malik (@maszlee) May 1, 2019
KPM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan roh beliau dicucuri rahmat.
Al-Fatihah! pic.twitter.com/HdDcS2p2iA
Pagi yang sangat hiba.
— Dr.Anwar Fazal (@DrAnwarFazal) May 1, 2019
Perginya seorang lagi permata ummah. Entah kenapa sebaknya luar biasa.
إنا لله وإنا إليه راجعون
اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه
Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Tuan Guru Dato' Seri Abu Hassan Din al-Hafiz. pic.twitter.com/vi5Cp5CTaA