Selepas insiden pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, Johor kini Sungai Klang pula turut sama dikesan dicemari dengan bahan kimia.
Isu pencemaran yang berlaku itu bagaimanapun menjadi tular di media sosial selepas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memuatnaik maklumat dan gambar mengenai pembuangan sisa yang disyaki bahan kimia di laman Facebook miliknya petang semalam.
Perkongsian tersebut bagaimanapun telah mengundang pelbagai reaksi netizen yang rata-ratanya mendesak supaya kerajaan supaya menangani segera isu pembuangan sisa toksik ke dalam sungai yang semakin menjadi-jadi hari ini.
Tidak kurang juga, netizen turut mendesak pihak berkuasa untuk mencari dan mengheret dalang suspek sisa kimia tersebut ke muka pengadilan sebagai peringatan dan pengajaran kepada pihak lain agar lebih berhati-hati pada masa hadapan apabila melibatkan isu menjaga alam sekitar dan kepentingan masyarakat.
Penguatkuasaan Masih Lemah?
Melihat kepada insiden yang berlaku di kedua-dua sungai ini, jelas sekali menunjukkan penguatkuasaan mencegah pencemaran sisa toksik di negara masih lemah.
Adakah pihak berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) wajar dipersalahkan dalam hal ini disebabkan kurangnya pemantauan berkala terhadap operasi kilang-kilang di kawasan sekitar?
Mana tidaknya, negara kita dikejutkan dengan dua berita membabitkan pencemaran sisa toksik tidak sampai seminggu!
Tidakkah pengusaha kilang ini sedar bahawa tindakan membuang sisa toksik ke dalam sungai boleh memberi kesan teruk bukan sahaja kepada hidupan akuatik tetapi juga terhadap kehidupan masyarakat di kawasan sekitarnya?
Lihat sahaja insiden yang berlaku di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, sisa bahan kimia yang dibuang ke dalam sungai itu telah menyebabkan semua sekolah di Pasir Gudang terpaksa ditutup malah tahap kesihatan murid serta penduduk setempat juga turut sama terjejas hingga ada yang mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan.
Bukan itu sahaja, gas dari bahan kimia itu juga boleh dihidu dalam radius 5 kilometer akibat tekanan suhu dan kelajuan pergerakan angin yang sememangnya membahayakan buat penduduk sekitar.
Apa-apa pun, kejadian yang berlaku ini sewajarnya dijadikan pengajaran kepada semua pihak termasuk pihak berkuasa dalam memastikan pengusaha-pengusaha kilang ini mematuhi standard operasi prosedur (SOP) yang telah dikuatkuasakan.
Tidak kurang juga kepada orang ramai yang boleh memainkan perana mereka dengan menjadi mata dan telinga bagi memantau sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Tindakan Undang-Undang Yang Boleh Dikenakan
Di Malaysia, mana-mana pengusaha kilang yang didapati gagal mematuhi SOP yang telah dikuatkuasakan boleh dikanunkan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).
Akta 127 ini diguna pakai bagi perlindungan alam sekitar dan penguatkuasaan perlindungan terhadap alam sekitar itu sendiri.
Dalam akta ini, kesalahan melakukan pencemaran atmosfera adalah denda RM150,000 , penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali dan denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu dilakukan.
Hukuman yang sama dikenakan bagi kesalahan di bawah seksyen 25(3), iaitu kesalahan melakukan pencemaran kepada sungai (pollution of inland waters).
Sebagai kesimpulan, isu pencemaran alam sekitar ini tidak boleh dipandang ringan oleh semua pihak kerana kesan negatif yang berpanjangan sememangnya boleh memberi kesan buruk terhadap tahap kesihatan manusia, haiwan, keadaan tanah, udara malah yang lebih teruk lagi kesan buruk terhadap kualiti air yang amat penting untuk kelangsungan hidup manusia.
KATA ORANG
Nampak sangat pihak berkuasa yg menjalankan amanah tak buat kerja. Buat tak tahu saja tak kan bapak kilang besar tak nampak. Adakah hanya nampak uang semata mata. Ini adalah masalah tidak menjalankan amanah. Adakah semua ini dibayar sehingga kilan tu menjadi halimunan
— adik din paka (@AdikPaka) March 14, 2019
Tak reti² nak ambik iktibar ke dari apa yang berlaku dekat pasir gudang. Kalau ye pun air sungai tu macam tak de beza je kalau buang kat situ, sebab air tu mmg dah kotor, jangan lah tambah sengsara orang lagi weyyy lahai.. 😪😤
— kakcik 👼 (@annesasophylea) March 14, 2019
Company yg lakukan pencemaran patut dikenakan hukuman bukannya penalti hukuman yg berat.
— NizahHartanah (@HartanahNizah) March 14, 2019
Sekiranya benar, diharap kerajaan negeri, sila ambil tindakan segera agar perkara trsebut dpt dikawal sblum membiak ..
— Class6 (@Class6six) March 14, 2019