Motosikal merupakan antara salah satu pengangkutan popular di Malaysia. Disebabkan kos yang murah, jimat minyak, masa dan mudah dibawa, faktor kesesakan jalan raya menyebabkan ramai yang memilih menunggang motosikal sebagai medium pengangkutan utama ke tempat kerja.

Sumber: Astro Awani

Namun, kebanyakkan kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal kerap direkodkan saban hari sama ada dalam perjalanan ke tempat kerja mahupun pulang dari tempat kerja.

Kemalangan Tinggi Melibatkan Motosikal

Perkara ini disandarkan kepada kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama universiti awam, mendapati sebanyak 76.9 peratus  kemalangan ke tempat kerja membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal berbanding pemandu kenderaan lain.

Berdasarkan laporan Sinar Harian, sebanyak 48 peratus kes kemalangan atau 35,195 kes direkodkan di Malaysia merupakan kes kemalangan pergi dan balik ke tempat kerja. Ia merupakan suatu angka yang membimbangkang memandangkan jumlah kemalangan tersebut meningkat saban tahun.

Pada tahun 2015, kes kemalangan pergi dan balik ke tempat kerja dicatatkan sebanyak 28,579, kemudian meningkat kepada 31,314 kes pada tahun 2016 dan diikuti 33,319 kes pada tahun 2017. Jelas dapat dilihat, peningkatan kadar kemalangan ini sangat signifikan.

Kebanyakan Penunggang Motosikal Golongan Muda

Menjadi kerisauan ialah kebanyakan yang menunggang motosikal adalah golongan muda di bawah usia 40 tahun. Malah kebanyakan daripada mereka tidak mempunyai pelan insurans keselamatan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah (B40). Sudah tentu sekiranya kemalangan yang berlaku akan menjejaskan pendapatan mereka.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye berkata pelbagai faktor menjadi penyebab berlakunya kemalangan tersebut di Malaysia. Antaranya ialah kurangnya ciri keselamatan seperti pemakaian topi keledar yang tidak sempurna, menunggang melebihi had laju, kenderaan tidak diselenggara dengan betul, dan keletihan.

Sumber: Perak Today

Tidak dapat dinafikan faktor kecuaian merupakan antara penyebab penting kemalangan seperti menunggang secara berbahaya dan penggunaan telefon bimbit sewaktu menunggang motosikal.

Penggunaan Telefon Bimbit Semasa Memandu Faktor Utama

Kajian yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pula mendapati sebanyak 43.4 peratus responden daripada 300 pemandu mengaku menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, manakala sebanyak 61.9 peratus menggunakan telefon bimbit ketika berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Penggunaan telefon bimbit sewaktu pemanduan sangat berbahaya kerana menjejaskan fokus pemanduan sekitar lima hingga 10 saat. Sesaat kehilangan fokus pun mampu mengakibatkan kemalangan kecil apatah lagi kehilangan fokus lima hingga 10 saat.

Sungguhpun ramai yang mengetahui penggunaan gajet sewaktu pemanduan menjadi punca kemalangan, malangnya masih ramai yang enggan berubah sikap dengan meneruskan tabiat buruk tersebut.

Sikap Pentingkan Diri

Ada yang mempertahankan penggunaan telefon bimbit sewaktu memandu kerana hal-hal yang penting seperti membalas mesej dan whatsapp ‘client’ serta menjawab panggilan daripada majikan. Namun hakikatnya, mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding nyawa si penunggan dan pembonceng motosikal.

Dalam masa yang sama, pihak majikan juga perlu prihatin terhadap keselamatan pekerja untuk tidak mengganggu mereka yang sedang memandu atau menunggang motosikal. Ini kerana, pekerja akan berasa serba salah sekiranya tidak menjawab panggilan daripada majikan.

Diharapkan agar perubahan sikap pemandu perlu seiring dengan kemajuan negara bagi memastikan golongan penunggang dan pembonceng motosikal  berada dalam keadaan selamat. Janganlah bersikap mementingkan diri sendiri sehingga menjejaskan orang lain.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda setuju dengan pernyataan ini?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN