Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi mengesyorkan pihak swasta melaksanakan pemakaian batik sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu seperti yang diamalkan oleh kakitangan kerajaan.
Ini semua bertujuan untuk membantu industri batik agar terus berkembang maju bukan sahaja di dalam negara malah sehingga ke luar negara.
Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, walaupun kementeriannya belum mengadakan pertemuan dengan wakil sektor swasta, beliau yakin hasrat kerajaan akan diterima baik.
Malah, kementeriannya juga telah mendapat maklum balas positif terutama daripada sektor perhotelan yang sebahagiannya telah mengamalkan pemakaian batik.
Pengusaha Sambut Baik
Cadangan ini mendapat sambutan baik dalam kalangan pengusaha batik tempatan. Pemilik A&Z Songket, Che Mustaffa Che Ibrahim berkata, berdasarkan pengalamannya mengusahakan perniagaan itu sejak 20 tahun lalu, sebarang dasar berkaitan pemakaian batik pasti memberi kesan positif terhadap perniagaan mereka.
Sejak kerajaan mewajibkan pemakaian batik dalam kalangan penjawat awam pada tahun 2008, beliau menerima banyak tempahan dari jabatan dan agensi kerajaan untuk pakaian seragam dan pemberian hadiah untuk sebarang aktiviti anjuran mereka.
Cadangan terbaharu kerajaan memperluaskan pemakaian batik dalam sektor swasta ini juga akan meningkatkan lagi jualan pengusaha batik sekaligus mempopularkan lagi batik sebagai imej Malaysia di peringkat dunia.
Pemilik Nadeema Songket Courtier pula, Emma Surianti Che Mustaffa optimis terhadap galakan kerajaan yang sudah pasti menjadikan pemakaian batik sebagai tren kebanggaan rakyat Malaysia.
Batik Mahal?
Ramai orang beranggapan harga batik sangat mahal dan eksklusif berbanding pakaian lain. Namun, sebenarnya pelanggan ada banyak pilihan kerana batik itu sendiri diperbuat dari pelbagai jenis kain antaranya kain kapas, satin, jacquard dan crepe.
Harga juga berbeza bergantung kepada teknik canting, corak batik dan jumlah warna cat yang digunakan.
Dikhabarkan ramai pembuat batik kecil-kecilan di Terengganu menutup perniagaan mereka kerana harga kain putih terlalu mahal sejak akhir-akhir ini. Ia juga mendorong kepada kenaikan tinggi harga batik. 10 tahun lalu, sepasang sutera batik daripada material jacquard boleh dibeli dengan harga RM150 sahaja namun sekarang harga kain putih sendiri mencecah RM150 belum termasuk cat. Walaubagaimanapun, harga batik daripada kain kapas masih berpatutan dan mampu dimiliki sesiapa sahaja.
Industri Batik Semakin Suram
Kira-kira 50 peratus atau 15.1 juta penduduk di negara ini didapati tidak pernah mempunyai atau memakai baju batik.
Perkembangan tersebut cukup untuk menggambarkan bahawa industri batik semakin suram dan akan terus merudum sekiranya tiada inisiatif mengembalikan kegemilangannya.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidik dan Inovasi) Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar berkata, jika keadaan itu dibiarkan berterusan dikhuatiri warisan yang menjadi identiti masyarakat di negara ini bakal pupus ditelan masa. Jika dahulu, kira-kira 50 peratus penduduk di negeri ini terlibat dalam industri batik namun hari ini jumlah itu terus berkurangan.
Statistik jumlah penduduk tidak mempunyai batik itu adalah berdasarkan analisis penjanaan kewangan atau daripada segi jualan batik yang diperoleh daripada Kraftangan Malaysia.
Langkah kerajaan mengesyorkan sektor swasta melaksanakan pemakaian batik akan merancakkan kembali industri batik negara. Selain itu, ia mampu memartabatkan budaya tradisional agar tidak lapok zaman.
KATA ORANG
Cadangan yang baik https://t.co/QSw9bymP4T
— Haikal Shafie (@HaikalShafie) February 3, 2019
Saya sokong cadangan pemakaian batik tempatan setiap hari khamis untuk menggalakkan perkembangan industri tersebut. Diharap industri batik tempatan dpt menyaingi industri batik negara jiran yg lebih terkehadapan. #batikmalaysia pic.twitter.com/rqam93Wekz
— Zaid Haji Othman (@zaidhajiothman) February 2, 2019
Cadangan yang baik. Books are universal though of high value (depends on the contents, of course). Tapi batik tenunan songket lebih unik melambangkan Malaysia Nusantara
— Alaudin Aziz (@AlaudinAAziz) December 15, 2018
Cadangan untuk jual batik for couples juga please? Selalu susah nak cari kain batik jawa sepasang 😩
— Along Zunaira (@xalongx) July 8, 2018