Semalam, negara kita bukan sahaja dikejutkan dengan berita kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim malah turut dikejutkan dengan berita mengenai pengumuman peletakan jawatan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Naib Presiden Keadilan , Pengerusi Keadilan Pulau Pinang dan jawatan lain di dalam kerajaan.

Sumber: Kosmo

Apa yang mengejutkan, Nurul Izzah mengumumkan untuk meletak jawatan selepas Keadilan melantik beliau sebagai Pengerusi Keadilan di Pulau Pinang bagi menggantikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.

Keputusan peletakan jawatan yang dibuat beliau bukan sahaja mengejutkan ramai pihak terutamanya kepimpinan tertinggi parti malah sehingga ke hari ini ramai pihak termasuklah ahli politik dari pembangkang juga dilihat memujuk Nurul Izzah untuk kembali ke pentas politik.

Tindakan beliau itu turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan anggota parti memandangkan jawatan yang disandangnya bukannya dilantik, sebaliknya mendapat sokongan penuh daripada akar umbi selain layak untuk memegang jawatan tersebut.

 

Letak Jawatan Kerana Kemelut Parti?

Sumber: Sinar Harian

Walaupun Nurul Izzah mengumumkan untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut, namun beliau tetap mengekalkan keanggotaan parti serta menjadi penyokong kerajaan di parlimen.

Malah, keputusan yang dibuat beliau itu juga sudah dimaklumkan kepada kepemimpinan tertinggi Keadilan yang mana beliau hanya mahu berkhidmat kepada rakyat sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh tanpa terikat dengan jawatan di dalam parti.

Pada masa yang sama, Nurul Izzah juga berkata tidak akan memegang sebarang jawatan dalam Kerajaan Persekutuan dan menyerahkan kepada parti untuk menentukan peranannya di dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kerajaan Pulau Pinang.

Namun, tidak dinafikan juga ada yang mengatakan bahawa peletakan jawatan yang dibuat Nurul Izzah itu berkait rapat dengan kemelut yang dihadapi parti ketika ini.

Bukan kemelut yang dihadapi di kalangan ahli Keadilan namun kemelut terhadap tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang dilihat keluar parti beramai-ramai.

Sumber: Astro Awani

Mana tidaknya, selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu, banyak Ahli Parlimen pembangkang dilihat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sehingga menimbulkan keresahan banyak pihak lantas menyebabkan beliau sanggup bertindak di luar jangkaan.

 

Sumber: Sinar Harian

Beberapa pemimpin sebelum ini seperti Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin sah menyertai Bersatu selepas keluar Umno yang mana beberapa pemimpin terutamanya dari DAP dan Keadilan meluahkan rasa kurang senang dengan tindakan tersebut.

Beliau sendiri turut tidak bersetuju dengan tindakan tersebut dan menyifatkan mandat diberikan rakyat pada 9 Mei lepas seolah-olah telah dikhianati.

Meskipun keputusan yang dibuat itu pastinya mengecewakan ramai pihak namun apa yang dilakukan beliau itu pastinya mempunyai sebab yang kukuh yang mana ianya memberi peluang kepadanya bagi menilai kedudukannya dalam politik untuk membuat keputusan yang betul.

 

Ramai Pihak Harap Nurul Izzah Pertimbang Keputusannya

Sumber: Sinar Harian

Bukan sahaja kepimpinan tertinggi parti Keadilan sahaja yang menggesa Nurul Izzah agar mempertimbangkan semula keputusannya dan menarik kembali peletakan jawatan itu, malah tindakan beliau itu turut mendapat reaksi pimpinan politik Umno.

Jika perasan, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang sememangnya terkenal antara pemimpin politik yang aktif dalam ber ‘twitter’ itu, turut menyatakan keyakinannya bahawa Nurul Izzah akan kembali semula di barisan hadapan arena politik negara suatu hari nanti.

Malah kata Khairy, sekiranya Nurul Izzah terus bersembunyi di barisan belakang, ia memberi satu kerugian yang dahsyat kepada negara.
Selain itu, bekas naib presiden Keadilan, Rafizi Ramli turut berharap agar Nurul Izzah mempertimbangkan semula keputusan peletakan jawatannya itu.

Sumber: Sinar Harian

Kata Rafizi, beliau tahu Nurul Izzah boleh mempertahankan idealisme reformasi dengan kedudukan kanan beliau di dalam kepimpinan Keadilan meskipun Nurul Izzah yakin Rafizi merupakan calon terbaik bagi jawatan Timbalan Presiden Keadilan itu.

Tidak kurang juga, Ahli Majlis Pimpinan Pusat Keadilan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut menyifatkan peletakan jawatan Nurul Izzah itu sebagai sesuatu yang mengejut dan menyedihkan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah Nurul Izzah mempertimbangkan semula peletakan jawatan yang dibuat itu demi memperjuangkan reformasi Keadilan yang diperjuangkan selama ini?
6 votes · 6 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN