Baru-baru ini, Exco Kepenggunaan Sumber Manusia dan Perpaduan Negeri Johor, Dr. S Ramakrishnan berkata, ada dikalangan pekerja tempatan akan lari apabila disuruh untuk bekerja lebih masa.
Sikap pekerja tempatan yang tidak setabah pekerja asing dilihat menjadi faktor mereka tidak boleh bertahan lama dalam sektor pekerjaan. Benarkah?
Kenyataan tersebut seperti kurang tepat dan tidak melihat secara holistik faktor mengapa syarikat lebih gemar mengambil pekerja asing serta apakah masalah yang membelenggu pekerja tempatan.
Sikap
Tidak dinafikan ada sesetengah daripada pekerja tempatan yang mempunyai sikap negatif dan tidak beretika. Terdapat pekerja yang sering ponteng, tidak mahu bekerja lebih masa, tidak mahu bekerja pada hari cuti umum dan berhenti sesuka hati.
Sikap tersebut perlu diubah untuk menghilangkan persepsi negatif dalam kalangan majikan. Namun, apakah faktor yang mendorong mereka bersikap sedemikian?
Membuat konklusi bahawa pekerja tempatan bersikap negatif, itu bukanlah kayu ukur sebenar dalam menilai pekerja tempatan. Masih ramai pekerja tempatan yang menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerja yang baik.
Malah, ramai sahaja yang sanggup bekerja lebih masa dan bekerja semasa cuti umum walaupun insentif yang diberikan tidaklah memadai. Kenapa itu tidak dilihat?
Pekerja asing sudah tentu akan menunjukkan kesungguhan dan kerajinan mereka kerana faktor kedatangan mereka dari jauh, terikat dengan kontrak serta tiada komitmen keluarga di negara ini.
Gaji Yang Rendah
Hakikat yang perlu diterima, kebanyakan syarikat lebih gemar mengambil pekerja asing kerana bayaran gaji yang rendah. Malah syarikat tidak perlu mencarumkan mereka dalam Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP).
Bagi pekerja asing, RM1000 merupakan satu nilai yang besar di negara mereka dan boleh diandaikan seperti rakyat Malaysia menerima gaji sebanyak $1000 USD sebulan. Â
Berdasarkan laporan utusan, terdapat senario yang boleh membuktikan bahawa pekerja tempatan rajin dan bersemangat. Misalnya dalam satu perniagaan mencuci kenderaan terdapat 12 orang pekerja tempatan dibayar gaji rendah. Kesemuanya selalu ponteng dan malas bekerja.
Namun, setelah pekerja dikurangkan kepada lima orang dan gaji dibayar tinggi, pekerja-pekerja tempatan tersebut dilihat begitu rajin dan bersemangat. Ini membuktikan bahawa faktor gaji yang rendah menyebabkan pekerja tempatan kurang untuk memberikan komitmen.
Bagi pekerja tempatan, mereka bukan mahukan gaji yang tinggi, tetapi biarlah terdapat kemudahan perubatan, caruman KWSP dan inisiatif yang menarik mereka untuk bekerja lebih rajin.
Tidak Mahu Kerja 3D
Kebanyakan pihak menyalahkan rakyat Malaysia yang tidak mahu melakukan kerja dalam sektor 3D (dirty, difficult, dangerous) kononnya sektor pekerjaan tersebut adalah bertaraf rendah dan tidak sesuai dengan mereka.
Hakikatnya, ramai sahaja rakyat Malaysia yang sanggup berhijrah ke negara luar seperti Singapura, Korea Selatan dan Australia untuk melakukan kerja terbabit kerana diberikan gaji lumayan.
Berdasarkan laporan Free Malaysia Today, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N Gopal Krishnan berkata, warga tempatan berminat untuk bekerja dalam sektor 3D jika ditawarkan gaji yang wajar.
Malah, dianggarkan ratusan ribu warga Malaysia ulang-alik ke Singapura untuk kerja 3D sekaligus menafikan cakap-cakap bahawa pekerja tempatan tidak mahu bekerja dalam sektor 3D.
Kesan Buruh Asing Kepada Ekonomi
Jika dibiarkan kebergantungan tinggi terhadap pekerja asing tanpa sekatan, dikhuatiri akan melemahkan usaha ke arah automasi, menghalang penerapan usaha meningkatkan produktiviti serta menekan upah secara keseluruhan.
Kesannya, pekerjaan berkemahiran tinggi tidak dapat diwujudkan dan mencorakkan reputasi yang tidak diingini terhadap negara sebagai destinasi pelaburan berkemahiran rendah dan berintensifkan pekerja.
KATA ORANG
Tak cukup orang tempatan. Hello gaji rendah tak dapat menampung cost of living.Gaji stagnant.
— MalaysianCitizen (@MalaysianCitiz1) February 19, 2019
Perkerja asking kat negara dia RM1000 dah duit besar.Boleh makan untuk 2 Bulan lebih. Understand that first!! It's like we working in USA and getting paid 4000 USD. Big $ 4 us @mkula
Suruh dia kerja macammana pekerja asing kerja. Mau tak nya sembang lebih la. Nasib target 'pekerja tempatan' tapi bukan 'Meleis'.
— Ajwad Fauzi (@CALLMEAJWAD) February 19, 2019
Syarikat bayar gaji murah , lebih masa kerja pun murah tapi tuduh pekerja tempatan lari , syarikat nak high standard pekerja tapi bayar gaji murah , trand syarikat malaysia main wayang .
— vella @vsptime (@vsptime) February 19, 2019
Pekerja asing dpt gaji 5 kali ganda gaji di negara mereka.
— TanahMelayuNamaAsal (@AkalEmpirikal) February 19, 2019
Cuba bayar 5 kali ganda gaji di Malaysia pd rakyat Malaysia. Rajin tak rajin? Bghal. Isu pekerja asing, penyakit berjangkit TB dll, isu sosial, aliran keluar wang negara, pemindahan skil tu semua rakyat tanggung.