Media sosial hari ini kecoh apabila sebuah kilang yang beroperasi di Taman Perindustrian Sungai Kapar, Klang melarang pekerja Islam di syarikatnya itu menunaikan solat.

Sumber: MYNEWSHUB

Pihak atasan dipercayai mengeluarkan sepucuk memo bertarikh 30 Julai lalu mengenai perkara itu sebelum ianya menjadi tular di media sosial. 

Selain itu, ia turut memaklumkan pekerja tidak dibenarkan solat pada waktu bekerja kecuali pada waktu makan tengah hari sahaja. Sekiranya pekerja melanggar arahan tersebut, mereka akan didenda sebanyak RM500 setiap kali kesalahan.

Surat tular yang dipercayai dikeluarkan syarikat itu bagaimanapun telah membangkitkan kemarahan netizen di media sosial yang menyifatkannya sebagai satu diskriminasi terhadap pekerja dan tidak menghormati hak mereka yang beragama Islam.

Tidak kurang juga ada yang mendesak supaya tindakan tegas diambil terhadap pihak pengurusan syarikat terbabit sekiranya dakwaan itu benar. 

 

Dapat Perhatian ADUN Meru 

Sumber: MalaysiaGazette

Berikutan insiden yang tular itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru, Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar turut mengarahkan wakil pejabatnya untuk menghubungi kilang tersebut. 

Katanya, pihak kilang terbabit menafikan memo yang tersebar itu dan mendakwa berkemungkinan ada unsur sabotaj. 

Bagaimanapun, Mohd Fakhrulrazi tetap menegaskan bahawa pihaknya tidak akan memberi muka kepada pihak yang tidak menghormati dan menafikan hak umat Islam di negara ini.

 

Ketahui Hak Pekerja

Andai kata benar majikan berbuat demikian, kita sebenarnya ada undang-undang yang boleh membela nasib pekerja yang dihalang untuk menunaikan solat dari majikan.

Gambar sekadar hiasan

Menurut Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja yang dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Manusia awal tahun lalu, majikan hendaklah memberikan pelepasan waktu untuk pekerja menunaikan solat lima waktu sekurang-kurangya 20 minit bagi setiap solat dan satu jam setengah untuk menunaikan solat Jumaat bagi pekerja lelaki.

Namun, garis panduan tersebut boleh diselaraskan oleh majikan mengikut kesesuaian waktu rehat pekerja mereka. 

Garis panduan yang dikeluarkan itu juga selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama persekutuan dan pekerja-pekerja Muslim hendaklah dibenarkan menunaikan solat dalam waktu telah ditetapkan.

Takkan perkara sebegini pun masih tidak jelas lagi?

 

Majikan Boleh Dikenakan Tindakan

Dalam isu ini, sekiranya ada majikan yang sengaja mahu mendiskriminasi kaum dengan tidak membenarkan pekerja Islam solat, majikan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut kesalahan yang dilakukan seperti diberi notis pematuhan, dikenakan tindakan kompaun atau pendakwaan daripada Kementerian.

Sebagai majikan, mereka perlu ingat bahawa pekerja bukan seperti robot. Mereka juga ada tanggungjawab untuk melakukan ibadat terutamanya yang beragama Islam.

Sumber: https://dululainsekaranglain.com

Malah, dalam perlembagaan tidak pernah menghalang amalan agama-agama lain asalkan ia dilakukan dengan aman dan damai.

Apa-apa pun, Kementerian Sumber Manusia perlu menyiasat kesahihan memo tersebut dan sekiranya benar, pemilik kilang berkenaan wajar dikenakan tindakan undang-undang sebagai pengajaran kepada semua majikan agar menghormati hak pekerja masing-masing untuk mengamalkan ajaran agama.

Pekerja juga perlu beringat, apabila majikan beri pelepasan untuk solat, jangan pula anda curi tulang atau mengular ke tempat lain yang menyebabkan majikan berubah hati dan menghalang mereka untuk solat.

Disebabkan segelintir individu sebegini, habis rosak susu sebelanga!

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa komen anda?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN