Baru-bari ini timbul pelbagai rungutan dari pihak media mengenai layanan yang diberikan oleh pegawai media sebuah kementerian dilihat kurang memuaskan sehingga perkara tersebut mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Mana tidaknya, selepas bertukar kerajaan baru sejak Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu, masih ada lagi persepsi negatif berlaku ke atas beberapa akhbar media tempatan dan tidak terkecuali juga akhbar dan portal media swasta.

Walaupun kerajaan baru kini membuat keputusan bahawa media diberi kebebasan untuk melaporkan berita namun ‘kebebasan’ itu dilihat tidak dapat dicapai sepenuhnya oleh kerana media sering dikritik dalam penyampaian beritanya kepada umum.

Dalam perkara ini, hanya disebabkan tajuk berita atau ‘headline’ yang dimuat naik sebuah portal media pembangkang telah menyebabkan seorang pegawai media khas atau setiusaha akhbar seorang menteri mengkritik laporan yang disampaikan oleh wartawan tersebut.

Bukan itu sahaja, perkara tersebut juga menjadi tular di media sosial yang mana netizen turut mencampuri pertikaian itu hingga ada yang sanggup mencari laman profil wartawan berkenaan.

 

Menteri Seru Pegawai Media Beri Kerjasama

Sumber: The Star

Bukan sahaja rungutan dari wartawan pembangkang malah wartawan lain turut merungut apabila ada pegawai media dilihat sengaja memilih kasih untuk memberi kerjasama kepada wartawan dalam usaha menyalurkan maklumat berkaitan kerajaan kepada rakyat.

Jika dilihat, kerajaan kini sedang merangka laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) di mana wartawan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo dihalang untuk mendapatkan laporan berkenaan atas arahan pihak tertentu dari sebuah kementerian.

Sumber: Free Malaysia Today

Walau bagaimanapun, atas budi bicara, pegawai bertugas telah menyerahkan laporan berkenaan kepada wakil akhbar Kosmo! dan meminta laporan tersebut dikongsi bersama Utusan Malaysia.

Oleh sebab itu, rungutan yang dilihat sebagai pilih kasih itu dibawa kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang mahukan semua pegawai media kerajaan memberi kerjasama kepada semua wartawan tidak kira dari portal kerajaan mahupun pembangkang.

Katanya, kerjasama dari pegawai media kepada wartawan adalah penting bagi memastikan fakta yang dilaporkan mengenai setiap kementerian adalah tepat dan benar.

Malah, Gobind turut merayu semua pegawai media dari seluruh kementerian untuk memberi kerjasama penuh kepada wartawan memandangkan mereka mempunyai tugas yang berat untuk mendapatkan ulasan daripada kementerian.

Walau bagaimanapun, Gobind menegaskan, apa yang penting adalah seorang wartawan itu perlu memberi fakta penuh dan laporan yang tepat serta disahkan kepada masyarakat dan berharap agar mereka diberikan sokongan penuh daripada menteri dan juga kementerian.

Adakah tindakan yang dilakukan oleh pegawai media khas itu dikatakan sebagai satu tindakan buli siber atau sengaja mahu menjatuhkan imej wartawan?

Sejak Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan, media kini semakin bebas membuat laporan beritanya.

Namun, disebalik kebebasan tersebut, pengamal media perlu menggunakan sebaik mungkin dan tidak harus disalah gunakan dalam menyampaikan laporan kepada masyarakat.

Dalam perkara ini, kadang-kala isi yang mahu disampaikan oleh semua wartawan adalah sama sahaja dan yang berbezanya adalah tajuk berita tersebut.

Kadangkala, ada sesetengah wartawan yang sengaja meletakkan tajuk berita yang agak sensasi untuk menarik minat pembaca mereka namun tajuk tersebut berkemungkinan besar akan mengundang perkara tidak baik sehingga boleh memberi imej buruk terhadap seseorang individu mahupun organisasi.

Memang itu asam garam yang perlu dihadapi wartawan dalam industri media apabila terpaksa menghadap kritikan serta layanan tidak memuaskan daripada beberapa pihak.

Yang pastinya, tidak semua wartawan di Malaysia bersikap begitu dan semua pihak tidak boleh sebarangan menuduh yang bukan-bukan tanpa usul periksa kerana kadang kala mereka terikat dengan jenis penulisan atau ‘housestyle’ sesebuah organisasi media bagi menarik perhatian pembaca.

Namun sekiranya berita yang dibawa atau disampaikan oleh wartawan itu tidak tepat dan memutarbelitkan fakta, wartawan tersebut perlu bertanggungjawab ke atas setiap laporan yang dikeluarkan supaya tidak mencetuskan porak peranda di dalam masyarakat.

 

Tugas Wartawan Adalah Berat

Sumber: Berita Harian

Menjadi wartawan bukanlah satu kerjaya yang mudah di mana mereka perlu berhadapan dengan pelbagai kritikan daripada pelbagai pihak.

Mana tidaknya, jika wartawan itu membuat laporan mengenai seorang ahli politik, pasti ada netizen yang mempertikaikan laporannya sama ada memuji atau menghentam.

Dalam perkara ini, wartawan seharusnya bijak membawa diri dan menilai tentang sesuatu maklumat yang dikongsi supaya ianya tidak memberi kesan buruk atau negatif terhadap dirinya mahupun organisasi.

Sumber: Berita Harian

Jikalau tidak puas hati terhadap sesuatu masalah, pegawai media mahupun wartawan perlu berunding secara professional dan bukannya menghentam di media sosial kerana ia dilihat sebagai satu tindakan tidak matang oleh golongan profesional.

Tidak kira media itu daripada mana sekalipun, etika kewartawanan seharusnya diterapkan di dalam diri seorang wartawan itu supaya sumbangan yang diberikan di dalam sesuatu laporan berita dapat memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional seperti:

  • Melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapatkan maklumat yang benar
  • Menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritikan yang saksama
  • Menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar, filem mahupun dokumen
  • Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar hendaklah diperbetulkan
  • Menghormati kerahsiaan sumber berita
  • Berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelak diri daripada hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa jua bentuk.
  • Menghindari siaran berita rencana yang bersifat perkauman melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk di Malaysia
  • Memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesional mereka

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah anda rasa ini akan memberikan impak positif lebih dari negatif kepada Malaysia?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN