Sebaik Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, rakyat Malaysia secara keseluruhannya pasti tidak mahu ketinggalan untuk mengikuti perkembangan perbicaraan kes tersebut.

Hingga ada cadangan beberapa pihak yang mahu perbicaraan itu disiarkan secara langsung sama ada melalui televisyen atau secara dalam talian menggunakan platform lain.

Sumber: theworldnews.net

Tidak kurang juga, ada yang berpendapat bahawa sekiranya ia disiarkan secara langsung, tindakan itu sama sekali bakal mencemarkan prosedur integriti kehakiman negara.

Mana tidaknya, belum pernah ada lagi mana-mana kes yang melibatkan pemimpin kenamaan disiarkan secara langsung di televisyen untuk tontonan umum.

Dan sekiranya disiarkan, adakah ianya baik untuk menjadi tontonan rakyat dan masyarakat seluruh dunia?

 

Najib Setuju Siar Secara Langsung

Sumber: mStar

Memandangkan satu petisyen dalam talian yang dilancarkan sembilan bulan lalu telah meraih sebanyak 34, 901 tandatangan setakat jam 9 malam semalam, bekas Perdana Menteri itu turut sama menyuarakan sokongannya agar perbicaraannya itu disiarkan secara langsung.

Katanya, tindakan itu akan membantu perbicaraan untuk dijalankan secara lebih telus dan mematuhi kedaulatan undang-undang.

 

Anwar Setuju, Pas Tidak

Tidak kurang juga, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berpendapat penyiaran secara langsung kes perbicaraan tersebut sama sekali memberi kebaikan.

Apabila disiarkan, rakyat sendiri dapat tahu mengetahui jumlah wang negara yang telah ‘dirompak’ oleh pemimpin tersebut.

Namun, berbeza pula pandangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat tidak bersetuju dengan penyiaran secara langsung kes tersebut.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya kes perbicaraan tersebut dilakukan secara tertutup tanpa perlu disiarkan secara umum.

Sekiranya disiar pada umum, ianya dikhuatiri akan menimbulkan pelbagai ulasan, tohmahan dan spekulasi buruk sekaligus mengganggu prosiding mahkamah dan akan mendedahkan kepada pelbagai kesalahan perundangan.

 

Perlu Ambil Kira Setiap Sudut

Sumber: Malaysiakini

Dalam perkara ini, tidak menjadi masalah sekiranya perbicaraan kes Najib ini disiarkan secara langsung memandangkan rakyat  juga berhak untuk mendapat kebenaran berhubung setiap tuduhan yang dilemparkan ke atas diri beliau sekaligus membantu ketelusan dan kedaulatan undang-undang.

Namun disebalik keterujaan itu, mereka juga perlu faham bahawa tindakan menyiarkan secara langsung kes tersebut sememangnya perlu mengambil kira setiap sudut.

Cadangan untuk menyiarkan secara langsung kes yang dihadapi Najib ini bukan kali pertama diusulkan, malah sejak tahun lalu, sudah ada pihak yang menuntut perkara sama.

Sumber: Kosmo

Tetapi ditolak pelbagai pihak termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang tidak mahu kes tersebut disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mahupun Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Hal ini kerana kedua-dua siaran televisyen itu mempunyai siaran terhad dengan pelbagai liputan berita dan program yang perlu disiarkan.

Bukan itu sahaja, sekiranya kes tersebut disiarkan, ia dikhuatiri akan menjejaskan prosedur integriti kehakiman negara yang mempunyai banyak unsur-unsur sensitif yang tidak sesuai untuk didedahkan pada umum.

 

Bergantung Kepada Keputusan Mahkamah

Sumber: Kosmo

Meskipun banyak pihak berpendapat bahawa rakyat berhak tahu apa yang berlaku dalam perbicaraan itu memandangkan ia melibatkan kes salah guna dana awam, namun apa jua keputusan harus dilakukan dengan mendapatkan kebenaran pihak mahkamah terlebih dahulu.

Tidak menjadi satu kesalahan sekiranya kes seperti ini disiarkan secara lansung memandangkan penyiaran secara langsung perbicaraan seperti ini sudah menjadi amalan buat negara di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Selagi mana kes perbicaraan tersebut tidak ada unsur prejudis terhadap pihak mahkamah dan juga saksi, ia tidak menjadi satu kesalahan sekiranya negara kita juga mahu mengikut jejak langkah sama sepertimana yang dilakukan oleh negara luar.

Apa-apa pun kita tunggu dan lihat sahaja apa keputusannya nanti…

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah perlu kes yang dihadapi Najib ini baik untuk disiarkan di televisyen atau mana-mana platform secara dalam talian?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN