Sumber: Sinar Harian

Ketika ini dianggarkan seramai 3,000 saki-baki ahli kumpulan militan Islamic State (IS) menyerah diri setelah kubu kuat terakhir mereka di timur Syria berjaya ditawan oleh tentera Syria yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS).

Baghouz merupakan kawasan Timur Syria yang menjadi markas terakhir kumpulan terbabit bagi mencari perlindungan setelah satu demi satu kawasan taklukan mereka berjaya ditawan. Namun, serangan udara dan tembakan berterusan sejak tiga malam berturut-turut oleh pakatan Angkatan Demokratik Syarikat (SDF) diterajui AS membunuh ramai pejuang militan dan menyebabkan ratusan militan serta ahli keluarga mereka menyerah diri.

Sumber: Sinar Harapan

Gerakan Pengganas Utama Sejak 2014

Militan IS pernah menjadi satu gerakan pengganas yang terbesar dan digeruni pada tahun 2014. Mereka turut menguasai wilayah yang cukup luas di Iraq dan Syria. Malah, jaringan gerakan mereka sangat luas merentasi ke negara dan wilayah lain seperti Libya, Algeria, Semenanjung Sinai, Yaman, Khurasan, Afrika Barat, Kaukus Utara dan Asia Tenggara. Ia menjadi ancaman keselamatan utama dunia khususnya di negara-negara yang bergolak.

Merosot Pada 2016

Kemerosotan militan IS bermula sejak tahun 2016 setelah pasukan Rusia menyerang telaga dan kawasan-kawasan simpanan minyak yang dikuasai IS menyebabkan minyak yang menjadi satu-satunya sumber pendapatan terbesar IS selama ini telah terjejas. Kesannya, gerakan militan ini mengalami masalah dalam usaha membeli kelengkapan senjata di samping permasalahan mendapatkan sumber makanan.

Faktor perpecahan dan pembelotan dalam pasukan militan IS menjadi punca kemerosotan gerakan ini ekoran penerimaan dana yang semakin mengecil, pemotongan bantuan-bantuan makanan dan sebagainya.

Sumber: Kosmo

Pemimpin Utama Terbunuh

Ia ditambah lagi dengan penangkapan dan terbunuhnya pemimpin-pemimpin penting mereka. Deir Azzor Abu Muhammad Al-Shimali merupakan antara pemimpin penting IS yang terbunuh dalam satu serangan bersenjata. Begitu juga dengan Al-Baghdadi yang menjadi tunjang utama IS dikhabarkan terbunuh dalam serangan udara oleh pihak Rusia. Meskipun tiada bukti yang jelas untuk mengesahkan kematian Al-Baghdadi namun hal tersebut cukup untuk membuatkan struktur organisasi IS menjadi semakin rapuh.  

Berdasarkan sumber BBC news Indonesia, penguasaan menyeluruh tentera Iraq di sempadan Iraq-Syria pada Disember 2017 menjadi bukti militan IS semakin melemah dan telah berundur ke Syria. Perkara tersebut turut disahkan oleh sebahagian militan IS di Syria yang melepaskan bahagian timur kota Albu Kamal Iraq. Ia menyebabkan Perdana Menteri Iraq, Haider Al-Abadi mengumumkan perang melawan IS ditamatkan di Iraq.

Moral Militan Merudum

Malah, kekalahan demi kekalahan dalam pertempuran sejak tahun 2016 menjatuhkan moral mereka. Perkara ini ditambah dengan kehilangan penguasaan ke atas Mosul yang menjadi kota kedua terbesar Iraq serta kehilangan Raqqa yang menjadi wilayah penting mereka di Syria.

Sumber: Dawn

Sungguhpun kubu terakhir IS berjaya ditawan, masih terdapat saki-baki militan IS yang masih diburu. Menurut Berita Harian, komander tempur SDF, Jiya Furat, militan IS hanya menduduki kawasan seluas 700 meter persegi. Tindakan berhati-hati akan dilakukan oleh SDF kerana militan IS masih menyimpan tebusan sebagai perlindungan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Adakah dengan terkuburnya IS maka tiada lagi gerakan pengganas?
1 vote · 1 answer
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN