Ramai yang ambil mudah isu penggunaan telefon bimbit semasa memandu sedangkan risikonya bukan sahaja boleh terkena kepada pemandu yang cuai tersebut malah orang lain yang berada di sekitar mereka boleh turut terlibat dan terancam.

Kesan-kesan penggunaan telefon bimbit sudah banyak disiarkan dan diberitahu melalui kempen-kempen dan platform media sosial. Namun begitu, masih ramai yang berdegil dan tidak mempedulikan amaran ini walaupun kesannya boleh meragut nyawa si pelaku dan orang lain yang tidak bersalah.

Bukan sahaja amaran, malah setiap pemandu yang didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu akan dikenakan saman kompaun yang tinggi, namun itu tetap tidak cukup menakutkan bagi para pemandu yang kurang prihatin ini.

Di Jalan Loke Yew Cheras pagi ini dilaporkan sebuah kemalangan yang teruk apabila sebuah kereta Honda Jazz yang dari arah Hang Tuah ke Cheras dikatakan hilang kawalan dan memasuki lorong yang bertentangan dan terlanggar sebuah kereta Proton Saga.

Menurut rakaman video yang tular tersebut, tiada kecederaan serius dikatakan berlaku namun kerosakan kereta agak teruk dan juga ekoran dari kemalangan tersebut, keadaan lalu lintas menjadi sesak teruk dan menyusahkan pengguna jalan raya yang lain.

Namun tidak dapat dipastikan benarkah kemalangan tersebut berpunca daripada penggunaan telefon bimbit ataupun kenderaan tersebut hilang kawalan kerana masalah teknikal.

 

Kerana Telefon Nyawa Tergadai

Terlalu tinggi rekod kemalangan di Malaysia yang berpunca daripada penggunaan telefon bimbit semasa memandu. Yang menyedihkan, kerana kecuaian orang lain, nyawa orang lain pula yang tergadai.

Yang membimbangkan, sudahlah memandu dengan kelajuan yang tinggi, tanpa mengambil kira faktor cuaca yang hujan ataupun tidak, pemandu-pemandu ini tetap membawa kereta secara cuai.

Sumber : Sentiasapanas

Bukan sahaja faktor nyawa yang perlu dititiberatkan malah kos-kos selepas kemalangan juga tidak boleh dipandang ringan kerana bukan murah untuk membaiki kerosakan berpunca dari kemalangan. Terutamanya jika anda mengakibatkan kerosakan teruk untuk kereta yang anda langgar.

Bagi yang mempunyai insuran mungkin tidak menjadi masalah, namun bagi yang tidak mempunyai insuran ataupun kerosakan kereta lain tidak tersenarai untuk dilindungi bawah insuran, pastinya akan menyusahkan anda sendiri.

Untuk menukar bumper yang kemek dan patah sahaja sudah memakan kos ratusan ringgit, inikan pulak jika kenderaan tersebut rosak teruk.

 

Kemalangan Jadi Punca Naikkan Rating Sosial Media

Rata-rata setiap golongan masyarakat sekarang pastinya tidak boleh lekang dengan telefon bimbit mereka. Ia seolah-olah sudah menjadi ikutan untuk merakam setiap benda yang berlaku samada kemalangan, pergaduhan, aktivit harian mahupun ketika sedang menjamu selera.

Sebelum ini, video rakaman seorang pemandu lori tangki minyak yang terbakar sebelum meninggal dunia tular di seluruh Malaysia.

Tanpa seorang pun saksi yang tampil menghulur bantuan, rata-rata bertindak merakam dan menyebarkan video tersebut tanpa memikirkan implikasi penularan tersebut terhadap keluarga mangsa di kemudian hari.

Krisis-krisis harian seolah-olah dinantikan oleh orang ramai supaya boleh menjadi modal untuk mereka membuat sesebuah berita mahupun laporan untuk menjadi tontonan orang ramai.

Ini kerana, berita-berita seperti ini sangat dinanti-nantikan oleh orang ramai, dan secara tidak langsung menaikkan rating sosial media kita dan boleh menjadi sumber pendapatan jika menerima tontonan yang banyak.

Apa-apa pun, jika anda menjadi saksi sesuatu kejadian yang tidak diingini itu, segeralah menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan dan bukanlah dengan mengeluarkan telefon bimbit untuk merakan insiden tersebut.

 

 

 

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda,patutkah hukuman penggunaan telefon bimbit semasa memandu diberatkan lagi seperti hukuman penjara mahupun sebatan?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN