Apabila bercakap mengenai penyeludupan dadah, pelbagai helah dan taktik digunakan oleh sindiket dadah baik domestik mahupun antarabangsa untuk membawa masuk dan keluar bahan terlarang itu tanpa dihidu pihak penguatkuasa.
Ada yang menggunakan laluan darat, udara, termasuk lautan dan 1001 cara lain untuk memastikan dadah yang diseludup tiba kepada pengedar mengikut perancangan yang disusun rapi termasuklah dengan menggunakan individu yang tidak bersalah untuk dijadikan sebagai keldai dadah.
Dan yang terbaru, seorang kru kabin Malindo Air memakan dirinya sendiri apabila ditangkap oleh pihak berkuasa di Australia atas dakwaan menyeludup lebih 14 kilogram heroin, kokain dan methamphetamin untuk diseludup masuk melalui Melbourne dan Sydney.
Difahamkan, kru kabin yang berusia 38 tahun itu turut ditahan bersama seorang lagi warganegara Malaysia yang sama-sama mengikat pelbagai jenis dadah itu pada badan mereka.
Kru Kabin Digantung Tugas
Akibat itu, kru tersebut akhirnya telah digantung tugas serta-merta oleh Malindo Air kerana melakukan perbuatan jenayah sekaligus memburukkan nama baik syarikat.
Jika dahulu, sindiket dadah ini dilihat sering menjadikan orang awam sebagai mangsa dengan meminta mereka untuk membawakan barangan peribadinya.
Tetapi kini, kru kabin penerbangan pula dijadikan mangsa penyeludupan dadah mungkin kerana mereka ini lebih tahu akan selok belok lapangan terbang selain mempunyai akses mudah untuk melepasi sesuatu pemeriksaan.
Namun perlu diingat, walaupun mereka ini bekerja sebagai kru kabin dan mempunyai pelbagai akses di lapangan terbang namun sekiranya ditangkap dan didapati bersalah, mereka akan berdepan dengan tindakan undang-undang sama ada penjara, denda serta dibuang dari kerja.
Sebagai kru kabin, mereka sepatutnya tahu akan larangan serta tanggungjawab yang perlu digalas sepanjang menjalankan tugasnya sebagai kru kabin penerbangan.
Pemeriksaan Keselamatan Di Lapangan Terbang Perlu Diperketat
Setiap negara pasti mempunyai peraturan serta larangan untuk melepasi sesuatu pemeriksaan di lapangan terbang.
Individu biasa serta orang-orang kenamaan, VIP mahupun kru kabin pasti akan diasingkan untuk melalui kawasan pemeriksaan.
Bagi penumpang biasa, mereka akan diperiksa secara teliti daripada pasport, dokumen perjalanan serta barangan yang dibawa setiap kali melalui kawasan imbasan namun bagi orang kenamaan mahupun VIP, pemeriksaan yang dijalankan terhadap mereka sebelum ini dilihat tidak ketat sehingga ada yang berani menyeludup masuk wang tunai dalam jumlah besar serta dadah ke negara ini.
Tetapi kini, Jabatan Imigresen akan melakukan pemeriksaan ketat terhadap semua individu yang memasuki negara ini termasuk yang menggunakan pesawat atau jet peribadi walaupun tiada lagi pemeriksaan tubuh badan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dengan kecanggihan mesin pengimbas x-ray penumpang yang telah dinaik taraf oleh Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), tiada seorang individu bakal terlepas daripada pemeriksaan yang mana laluan kenamaan di semua lapangan terbang juga diperiksa secara rapi.
KATA ORANG
I think he got bigger problems than your suspension now @malindoair . He wasnt gonna show up to work anyway.
— WaywardSon (@Raja_Rajan) January 16, 2019
bikin malu cabincrew la dia ni
— AK77 (@azlankechek) January 16, 2019
Flying passengers in as well as other things. Tsk tsk...
— Rahman Ariffin 🇲🇾 (@ManPin) January 16, 2019