Kemelut isu pemberian zakat oleh orang bukan Islam terus berpanjangan di media sosial. Sungguh pun Mufti Pulau Pinang dan Mufti Kelantan telah memberikan pandangan, namun pandangan tersebut seakan-akan kontradiksi hingga menimbulkan perdebatan hangat warga maya.

Sumber: Free Malaysia Today

Perbezaan Pendapat Mufti

Sebelum ini Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata dari sudut hukum fekah harus bagi orang bukan Islam mengagihkan bantuan zakat kepada golongan asnaf. Ini kerana perkara tersebut hanya berkaitan dengan muamalat dan ibadat Maliyah seperti zakat, nazar dan kaffarah.

Sumber: Utusan

Walau bagaimanapun, nada berbeza dizahirkan oleh Mufti Kelantan, Mohamad Shukri Mohamad. Memetik laporan Malaysiakini beliau berkata, meskipun tidak menjadi satu kesalahan, namun adalah tidak manis bagi golongan bukan Islam menyampaikan zakat.

Pemberian Zakat Dilakukan Oleh ADUN Bukan Islam

Isu ini timbul berikutan pemberian zakat yang dilakukan oleh ahli politik bukan Islam, Chris Lee Chun Kit yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus dan beberapa orang pemimpin bukan Islam memberikan kit bantuan Zakat Pulau Pinang kepada golongan asnaf.

Suamber: Utusan Malaysia

Kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua mufti tersebut nampaknya tidak menjadi solusi terbaik kepada masyarakat. Ini kerana perdebatan hangat terus berlaku di media sosial. Perkara ini bukan sesuatu yang baik memandangkan ada pihak yang turut mempersoalkan kredibiliti golongan mufti seorang ilmuan agama setiap negeri.

Disebalik kemelut yang semakin berpanjangan, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) meminta supaya penyerahan zakat tidak diberi kepada orang politik. Ini kerana pemberian tersebut boleh dijadikan ruang sebagai kempen politik kepartian.

Isu Sebenar Yang Perlu Diberi Perhatian

MAZA menambah, isunya bukan sama ada zakat itu boleh diwakilkan atau tidak. Isu yang utama ialah sekiranya ruang tersebut dibuka, maka dalam konteks negara demokrasi pilihan raya, ahli politik boleh menggunakan ruang yang ada bagi tujuan kempen politik kepartian menggunakan agama.

Sumber: Berita Harian

Jika diteliti, kenyataan yang dikeluarkan oleh MAZA dilihat lebih tuntas, mengambil realiti sebenar berkenaan isu yang dipersoalkan ramai pihak. Tatkala ahli politik Pakatan Harapan (PH) mendogmakan masyarakat tentang politik Pasti Islam Semalaysia (Pas) yang menggunakan agama sebagai modal politik, dalam masa yang sama PH juga mengambil kesempatan dengan mengedarkan zakat sebagai salah satu bentuk kempen.

Jangan Ikut Perangai Lama BN

Sekiranya budaya ini dilakukan semenjak zaman Barisan Nasional, maka menjadi keharusan bagi kerajaan PH untuk tidak menangguk di air keruh dengan melakukan perkara yang sama.

Apalah ertinya Malaysia Baharu sekiranya perkara-perkara sama sewaktu zaman BN terus diguna pakai. Reformasi sistem sepatutnya menjadi agenda utama bagi kerajaan PH hari ini.

Diharapkan, kenyataan yang dikeluarkan oleh Mufti Perlis berjaya meredakan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Ia merupakan solusi terbaik yang boleh diterima masyarakat ketika ini. Justeru setiap parti politik harus maklum tentang perkara ini.

Dalam masa yang sama, MAZA turut memberi pesanan kepada ilmuan agama untuk mengambil kira realiti sebenar yang menjadi pertikaian masyarakat sebelum mengeluarkan fatwa atau pandangan hukum berkenaan isu zakat.

KATA ORANG

KATA ANDA

Apa yang anda tentang disebalik isu pemberian zakat?
3 votes · 3 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN