Sadis dan pilu melihat seorang kanak-kanak di Yaman berusia tujuh tahun yang mengalami masalah malnutrisi teruk dan menjadi ‘wajah kebuluran’ di negara itu telah meninggal dunia.

Beberapa rangkaian berita memetik kenyataan Kementerian Kesihatan turut melaporkan kematian Amal Hussein.

Wajah kanak-kanak itu muncul di The New York Times dalam keadaan dia terbaring di atas katil sebuah pusat kesihatan di Aslam, wilayah Hajjah, 144 kilometer di barat laut Sanaa.

Ibunya, Mariam Ali, mengesahkan budak malang itu menghembuskan nafas terakhirnya pada 26 Oktober lalu.

Sumber: sunnewsonline.com

Ketua Setiausaha Agung untuk Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan, Mark Lowcock menerusi laporannya mendedahkan tiga juta penduduk di negara bergolak itu mengalami malnutrisi termasuk 1.1 juta wanita hamil dan lebih 400,000 kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan yang teruk.

Beliau turut menganggarkan 3.5 hingga empat juta penduduk kehabisan bekalan makanan menjelang beberapa bulan kan datang.

 

Sebab Apa Negara Yaman Tiada Bekalan Makanan?

Peperangan, perebutan kuasa politik dan kegagalan menguruskan sumber kekayaan negara menjadi punca peningkatan kebuluran dalam kalangan penduduk dunia masa kini.

Sumber: SINDO News

Yaman sudah lebih setahun sejak 2015 diserang Arab Saudi dan negara sekutunya yang disokong Amerika Syarikat. Tujuan perang itu untuk menghapuskan pemberontak Houthi aliran Syiah dan mengekang pengaruh Iran.

Akibat perebutan pengaruh serantau antara dua kuasa iaitu Arab Saudi dan Syiah Iran, ramai yang terjejas dan terperangkap di tengah-tengah serangan udara dan penentangan daripada pemberontak Houthi.

Oxfam, sebuah konfederasi 17 pertubuhan seluruh dunia yang berjuang mengatasi masalah kemiskinan di 94 negara di seluruh dunia mendedahkan satu daripada empat kanak-kanak di Yaman kekurangan zat.

Pada tahun 2016, lebih 6,100 penduduknya maut di mana ia mewakili 113 kematian sehari dalam tempoh itu. Dilaporkan, 21.2 juta atau 82 peratus penduduknya memerlukan bantuan kemanusiaan.

Sekatan dari semua arah termasuk terhadap kapal kargo yang dilaksanakan Arab Saudi memburukkan lagi penderitaan rakyat negara itu yang sebelum ini 90 peratus bergantung kepada import bekalan makanan luar.

 

Adakah Kita Sedar Berapa Banyak Makanan Yang Kita Bazirkan?

Sumber: FMT

Statistik menunjukkan bahawa jumlah sisa makanan yang dibuang di Malaysia amatlah mengejutkan: setiap hari, kira-kira 3,000 tan metrik sisa makanan yang pada asasnya tidak disentuh dan masih boleh dimakan telah dibuang oleh isi rumah dan jumlah itu adalah mencukupi untuk memberi makan dua juta orang yang kelaparan.

Sumber: Berita Harian

Secara keseluruhannya, semua jenis sisa makanan terbuang yang membentuk kira-kira 40 peratus atau 15,000 tan metrik, adalah sisa harian isi rumah di Malaysia..

Angka-angka ini adalah berdasarkan penyelidikan yang dijalankan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada 2015.

Statistik yang ditunjukkan awal tahun ini menyatakan orang Malaysia membazirkan 15 ribu tan (15,000,000 kg) makanan sehari dengan 3 ribu tan (3,000,000 kg) daripadanya, sebenarnya masih boleh dimakan.

Secara purata, 28.5% nasi yang dihasilkan daripada padi dibuang dan 20-50% buah yang dipetik tidak dimakan.

Setiap isi rumah di Malaysia secara purata membelanjakan RM900 untuk makanan setiap bulan dengan RM225 dibuang sebegitu saja. Ini bermakna, dalam setahun, setiap keluarga membuang RM2700 dalam bentuk makanan.

Di salah sebuah negeri paling terkenal dengan makanan iaitu Pulau Pinang, sebanyak 700,000kg makanan dibuang setiap hari bersamaan dengan berat 4 buah kapal terbang model Boeing 747.

Sumber: PPIM

Di Malaysia, terdapat 170 lokasi pengumpulan sampah di seluruh negara. Hanya 14 daripadanya mempunyai kelayakan ‘tapak pelupusan sampah sanitari’ yang memerlukan tapak pelupusan sampah mengasingkan bahan-bahan berbahaya daripada longgokan sampah terlebih dahulu.

Sumber: Sinar Harian

Jumlah makanan yang dibuang meningkat ketika tibanya musim perayaan, tidak kiralah Hari Raya, Tahun Baru Cina, Deepavali ataupun sambutan-sambutan lain.

Salah satu statistik yang cukup menakutkan, sebenarnya pada tahun 2009 negara kita hanya mencatatkan pembuangan makanan sebanyak 450 tan sehari dan 930 tan pada 2011 yang kemudiannya meningkat 15 kali ganda pada 2016.

Setiap seorang individu di negara kita membuang secara purata 0.5-0.8kg bahan makanan dan ini dijangka meningkat berikutan perkembangan perubahan tahap hidup negara kita.

 

Inisiatif Kerajaan Malaysia

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memperkenalkan satu inisiatif mampan yang dikenali sebagai program Food Bank Malaysia.

Sumber: Era Baru

Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban golongan yang tidak berkemampuan di negara ini, malah ia juga dapat mendidik rakyat kita supaya tidak membuang makanan dan bijak berbelanja.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, program yang telah dilaksanakan bermula di Pulau Pinang itu, berjaya mencapai matlamat untuk membantu meringankan beban golongan sasar.

Katanya, program yang mendapat kerjasama daripada rakan-rakan strategik KPDNHEP seperti Food Aid Foundation, Kechara Food Kitchen, pasar raya, Persatuan Tukang Masak Malaysia kini telah bergerak ke beberapa buah negeri iaitu Wilayah Persekutuan, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan November ini di Kelantan.

 

Reaksi TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegur sikap masyarakat di negara ini yang melakukan pembaziran setiap hari.

Menurutnya, sebanyak 15,000 tan sampah dibuang manakala 3,000 tan daripadanya adalah makanan yang masih elok dan jika dapat diagih dapat menampung seramai 2 juta penduduk.

Jika diguna secara optimum, lebihan makanan itu akan membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan dalam masa sama dapat mengurangkan kos pemasaran bagi penyumbang yang terlibat berdasarkan struktur pengurusan lebihan makanan yang lebih sistematik.

Pada dasarnya, sikap masyarakat kita yang memang suka membazir dan tidak melihat negara-negara yang rakyatnya kebuluran seperti di Yaman dan beberapa negara lain lagi.

Insaflah kita sebagai manusia, amalan membazir sangat dibenci Allah dan ia perbuatan syaitan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Melihat kebuluran yang teruk di Yaman, wajarkah rakyat Malaysia terus membazir makanan?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN