Haji merupakan Rukun Islam kelima bagi setiap muslim yang wajib dilakukan. Namun begitu, hukum wajib tersebut hanya terpakai kepada mereka yang berkemampuan iaitu mempunyai harta mencukupi untuk menunaikannya.

Memandangkan lagi beberapa hari,Hari Raya Aidil Adha akan menjelma, ramai dalam kalangan ketika tidak tahu bahawa masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu sangat obses untuk menunaikan haji sehinggakan sanggup bergolok-bergadai dengan menjual tanah.

Sumber: Twitter Rain No Chill

Masakan tidak, bagi masyarakat biasa menerima gelaran haji atau hajah itu merupakan satu anugerah yang prestij melambangkan tahap tertinggi dalam masyarakat. Tidak hairan sekiranya ramai yang berebut-rebut untuk menerima gelaran ini.

Bukan sahaja menjual tanah, segala jenis ternakan seperti lembu, kambing, kerbau dan sebagainya dijual bagi memastikan wang yang diperoleh mencukupi untuk bekalan di sana. Pendek kata, segala apa yang bernilai digadaikan semata-mata untuk menunaikan haji.

Bumi Dipijak Milik Orang

Boleh dikatakan, hampir setiap tahun tanah-tanah pusaka orang Melayu dijual menyebabkan tanah-tanah orang Melayu semakin berkurang. Ini bukan bermakna mereka tidak berkemampuan, tetapi disebabkan sikap menyimpan wang yang tidak diamalkan menyebabkan kaedah penjualan tanah secara terus menjadi keutamaan kerana mudah mendapatkan wang dalam masa yang pantas.

Hal ini sudah pastinya memberi kesan kepada generasi mereka pada hari ini. Bayangkan aset yang sepatutnya boleh diwarisi oleh anak cucu, digadaikan semata-mata untuk mengerjakan haji. Seolah-olah, penjualan tanah beramai-ramai untuk menunaikan haji seperti satu budaya yang menjadi ikutan.

Maklumlah, simpan secara tradisional belum tentu jujur. Bayangkan simpan di bawah bantal, di tepi almari, di atas beranda dan sebagainya. Kebarangkalian untuk menggunakannya pula amatlah tinggi. Itu belum lagi mengambil kira kes-kes kecurian, rompakan, kebakaran dan sebagainya.

Sumber: Revolusi Malaysia Baru

Malah, tindakan yang merugikan ini telah diperkatakan oleh pelbagai pihak memandangkan aset seperti tanah amat sukar untuk diperolehi semula. Harganya pula meningkat berkali-kali ganda dan sudah tentu merugikan generasi mendatang.

 Cadangan Penubuhan Tabung Haji Untuk Menyelamatkan Aset Orang Melayu

Untuk memastikan masyarakat Melayu tidak lagi menggadaikan harta mereka, termasuk tanah-tanah pusaka yang sangat bernilai, Profesor Diraja Ungku Aziz telah mencadangkan penubuhan Tabung Haji (TH). Ia bertujuan untuk membantu orang-orang Melayu, khususnya mereka yang bekerja secara tradisional menyimpan wang untuk mengerjakan haji.

Memetik laporan Utusan Malaysia, idea penubuhan TH telah dilakukan pada tahun 1959 menerusi kertas kerjanya yang bertajuk Rancangan Membaiki Ekonomi Bakal-Bakal Haji kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Antara intipati kertas cadangan tersebut ialah memastikan keselamatan simpanan bakal haji agar lebih terjamin dan bebas daripada unsur riba, dan keduanya ialah memastikan simpanan bakal jemaah haji menerima bonus atau dividen yang seterusnya membantu meningkatkan simpanan mereka untuk menunaikan haji.

Sumber: Twitter

Kesan daripada penubuhan TH inilah akhirnya berjaya mengatasi masalah penggadaian tanah pusaka oleh masyarakat Melayu secara berterusan. Dalam masa yang sama, berjaya membantu umat Islam meningkatkan penyimpanan wang melalui kaedah pemberian bonus dan dividen. Bagi mereka yang kurang berkemampaun, langkah ini sangat praktikal.

Zaman Sekarang Ada Lagi Ke Yang Sanggup Jual Harta Untuk Ke Tanah Suci?

Sungguhpun TH telah lama diwujudkan, namun begitu masih terdapat lagi segelintir masyarakat kita yang menjual harta pusaka mereka untuk menunaikan haji. Namun begitu, jumlahnya terlalu minima. Difahamkan ada yang terpaksa menjual rumah, jual tanah memandangkan faktor simpanan kewangan yang tidak mencukupi.

Kalau mereka seorang hartawan mungkin tidak ada masalah memandangkan hartanya masih melimpah-ruah, tetapi kalau sebaliknya, sehingga sanggup bergolak-bergadai untuk ke tanah suci bagaimana pula? Maka perkara ini wajar diteliti.

Bagaimana pula dengan nasib generasi kita pada masa akan datang sekiranya harta pusaka kita terus digadaikan. Untuk memilikinya semula bukanlah perkara yang mudah, malah harganya mungkin berkali ganda.

Sumber: Harian Metro

Tidak salah menunaikan haji, tetapi janganlah sehingga menggadaikan aset yang berharga. Maka itu, perlunya perancangan untuk menunaikan haji yang jelas. Selain simpanan di TH, banyak lagi kaedah pelaburan lain boleh dilakukan bagi memastikan jumlah simpanan yang kita perolehi mencukupi untuk menunaikan haji tanpa perlu menggadaikan harta yang dimiliki.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Kenapa orang dulu suka jual tanah untuk pergi haji?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN