Sumber: Khairul Nizam Abd Ghani

Tindakan kerajaan Kelantan mengeluarkan notis arahan penutupan premis perniagaan kedai makan dan restoran seluruh Kelantan semasa waktu terawih mendapat kecaman ramai pihak. Ini kerana arahan penutupan tersebut dilakukan secara terburu-buru tanpa diadakan perbincangan bersama pemilik perniagaan.

Surat arahan yang ditandatangani  oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Datuk Adnan Hussin dikatakan bertujuan meminta semua pihak menghormati bulan Ramadhan dengan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah.

Arahan Serta-Merta

Apa yang dikesali, notis arahan penutupan itu dikeluarkan pada hari Isnin 1 Ramadhan dan berkuat-kuasa serta-merta bermula jam 8 30 hingga 10 malam. Sudah pasti arahan yang dikeluarkan seperti ini tidak melambangkan profesionalisme pihak pentadbiran.

Peniaga semestinya bakal terjejas teruk dengan arahan sembrono oleh pihak pentadbiran. Ini kerana mereka membayar gaji pekerja berdasarkan jam waktu kerja dalam masa yang sama bergantung kepada jumlah pelanggan yang hadir.

Sumber: Negeri Kelantan

Seolah-olah Mewajibkan Perkara Sunat

Tindakan kerajan negeri ini seolah-olah  mewajibkan perkara yang sunat dalam ibadah. Kenapa perkara yang sunat perlu dipaksakan seperti sesuatu yang wajib? Adakah ia suatu keperluan mendesak? Sedangkan perkara sunat seperti itu boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja di waktu malam.

Bagi mereka yang bekerja pada waktu siang mungkin tidak berdepan masalah, namun bagaimana pula dengan mereka yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan di waktu malam? Sudah tentu pendapatan mereka terjejas teruk.

Tidak salah menggalakkan rakyat mengejar pahala, tetapi pahala bukan sahaja diperoleh daripada ibadah semata-mata, mencari rezeki yang bersih dan halal untuk diberikan kepada anak isteri juga merupakan satu bentuk pahala.

Sumber: Free Malaysia Today

Nik Abduh Juga Tidak Bersetuju

Yang pasti, arahan kerajaan negeri ini turut dibidas oleh wakil rakyat mereka sendiri. Ahli Parlimen Bachok, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz menggesa kerajaan negeri menarik balik surat pekeliling yang dikeluarkan. Beliau menggesa arahan itu dipertimbangkan terlebih dahulu.

Memetik laporan Sinar Harian, beliau berkata, arahan tersebut hanya mengganggu kebenaran dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini kerana rezeki yang halal dan baik di bulan Ramadhan wajar digalakkan bukan dihalang.

Beliau turut menambah, umat Islam adalah digalakkan menguruskan masa masing-masing dengan bijak dan berhikmah untuk melakukan ibadah khusus berpandukan sunnah Rasullullah SAW.

Sumber: Facebook Nik Mohamad Abduh

Warga Maya Ramai Tidak Bersetuju

Berdasarkan paparan di laman sosial facebook milik Nik Abduh, ramai yang memberi komen tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri, ada yang geram bercampur marah, ada yang kecewa dan ada juga yang menyindir pendekatan kerajaan negeri.

Sekiranya arahan ini berterusan, pentadbiran kerajaan Kelantan bakal dilihat sebagai kerajaan negeri yang keras, tidak bijak, dan menggunakan kuasa dengan sewenang-wenangnya.

Malah, tindakan ini bakal mencemarkan imej kerajaan negeri Kelantan yang digelar sebagai Negeri Serambi Mekah. Janganlah hanya kerana mengejar ibadah kita memaparkan agam Islam sebagai suatu yang membebankan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Bersetujukah anda sekiranya notis arahan penutupan turut dilakukan di tempat anda?
5 votes · 5 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN