Ramai melihat kes nikah sempadan sebagai isu remeh dan terpencil. Namun jika diabaikan tanpa tindakan sewajarnya atau tanpa pengawalan, ia bakal menjadi gejala yang boleh merosakkan institusi keluarga.

Baik pasangan muda, berusia mahupun yang sudah mempunyai isteri , ada sahaja yang mengambil jalan mudah bernikah tanpa kebenaran di luar sempadan.

Sumber: Malaysiakini

Yang terbaru, kes pasangan dari Kedah yang berkahwin tanpa kebenaran di Thailand pula dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 799 kes dicatatkan tahun lalu, meningkat 233 kes daripada 566 kes pada 2017.

Persoalannya, apakah penyebab utama sebilangan warga Malaysia mengambil jalan mudah dengan bernikah di luar sempadan terutamanya di selatan Thailand?

 

Apa Itu Nikah Luar Sempadan?

Nikah sempadan merujuk kepada perkahwinan yang dilakukan di luar negara.

Sumber: Nikah Siam

Antara yang paling popular sekali adalah di wilayah selatan Thailand yang berhampiran dengan sempadan negara kita, khususnya Songkhla, Narathiwat, Yala, Satun dan Pattani.

Ada juga perkahwinan yang dilakukan di Indonesia, sama ada di Batam, Medan mahupun di Kalimantan tetapi jarang sekali dilaporkan.

Daripada segi hukum agama, pernikahan di luar negara ini sah selagi ia memenuhi dan mematuhi semua hukum syarak. Selain hukum-hakam agama, pasangan yang memilih untuk bernikah di luar negara sebenarnya perlu juga melihat pelbagai implikasi lain yang berkait dengan undang-undang.

 

Punca Ramai Ambil Jalan Mudah Bernikah Di Thailand

Walaupun dalam Islam, seseorang lelaki itu tidak dihalang untuk ‘menambah cawangan’ dan berkahwin di luar sempadan tanpa pengetahuan isterinya, tindakan tersebut bakal menimbulkan pelbagai masalah.

Sumber: Pesona Pengantin

Adakah mereka takut untuk memberitahu perkara sebenar terhadap pasangan untuk berkahwin baru atau kahwin lari di luar sempadan kerana hubungan tersebut tidak direstui oleh ahli keluarga?

Banyak sebenarnya alasan yang menyebabkan seseorang itu memilih untuk berkahwin di luar sempadan dan antara jawapan yang kerap kali diberikan adalah pihak lelaki atau suami itu sendiri ingin melakukan poligami.

Sumber: Sinar Harian

Jika di Malaysia, urusan untuk berpoligami pasti dilihat sedikit sukar memandangkan ada situasi yang mana mahkamah tidak mengizinkan si suami untuk berpoligami atas sebab tertentu.

Dan sebab yang paling ditakuti sekali adalah apabila si suami itu hendak berpoligami, tetapi merahsiakan perkahwinan itu daripada pengetahuan isteri pertama serta kedua-duanya sekali.

Malah, ada juga yang memilih untuk berkahwin di luar sempadan disebabkan tidak direstui oleh ahli keluarga serta mas kahwin atau hantaran kahwin yang terlalu tinggi sehingga menyebabkan mereka terdesak untuk lari dan berkahwin di luar sempadan.

 

Statistik Rakyat Malaysia Kahwin Di Thailand

Sumber: Astro Awani

Berdasarkan rekod tahun 2016, sebanyak 406 kes pernikahan tanpa kebenaran dengan 160 kes poligami tanpa kebenaran pula direkodkan.

Bagi 2017,  sebanyak 502 kes pernikahan tanpa kebenaran dan 297 kes poligami tanpa kebenaran dicatatkan.

Manakala mengikut negeri pula, pasangan dari daerah Kota Setar mencatatkan jumlah tertinggi yang melakukan kesalahan itu dengan 118 kes, diikuti Langkawi (116), kubang Pasu (110) dan Pendang (44 kes).

 

Implikasi Kepada Institusi Keluarga

Apa yang menjadi masalah dalam hal ini adalah kebanyakan mereka yang berkahwin di luar sempadan dilihat tidak mematuhi serta memenuhi semua hukum syarak yang ditetapkan.

Malah, akad nikah juga boleh diragui sekiranya ia dilakukan di luar pusat nikah itu atau dilaksana oleh jurunikah yang tidak dilantik pejabat agama Islam di sana atau tidak berdaftar dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia.

Sumber: Astro Awani

Sekarang ini, banyak sahaja sindiket haram yang mengenakan bayaran dari RM1,700 hingga RM3,000 bagi setiap akad nikah dengan melakukannya di kedai makanan, dalam kenderaan dan tepi jalan sekalipun.

Atas sebab itu, setiap pasangan itu perlu beringat bahawa proses pernikahan di Thailand itu sendiri ada prosedur yang perlu dipatuhi yang mana selesai pernikahan di Pejabat Agama Islam Thailand (wilayah yang terlibat), pasangan itu perlu hadir di Pejabat Konsulat Malaysia untuk mengambil surat pengesahan.

Namun, kebanyakan pasangan yang pulang ke Malaysia selepas nikah tidak mendapatkan surat pengesahan itu kerana beranggapan ianya tidak penting walhal ianya adalah untuk melindungi pasangan itu di bawah undang-undang Malaysia.

Sumber: mfdjannah.com

Tanggapan seperti itulah yang bakal menimbulkan 1001 masalah kerana tanpa sijil nikah, anak mereka kelak  tidak dapat mendaftar kelahiran di bawah kategori anak sah nikah.

Bukan itu sahaja, isu berbangkit berkaitan permasalahan berhubung dengan kematian seperti pembahagian pusaka, pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pengeluaran wang pencen, tuntutan harta sepencarian dan sebagainya juga memerlukan bukti sijil nikah.

Malah jika ditakdirkan mahu bercerai sekalipun, sekiranya tiada sijil nikah, mahkamah juga tidak dapat mengesahkan perceraian sehinggalah sijil tersebut ditunjukkan.

KATA ORANG

KATA ANDA

Bagi mana-mana pasangan yang berkahwin di luar sempadan tetapi tidak berdaftar dengan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, perlukah mereka dikenakan denda serta hukuman yang lebih berat dari mahkamah?
4 votes · 4 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN