Hari demi hari, penggunaan media sosial kini sudah menjadi keutamaan bagi masyarakat kita dan yang pasti, setiap daripada kita akan memiliki sekurang-kurangnya satu atau dua akaun media.

Ada yang menggunakan media sosial sebagai rujukan utama untuk mengetahui berita mahupun isu-isu semasa sama ada palsu atau benar.

Penggunaan media sosial juga bukan sahaja dilihat sebagai tempat untuk meluahkan perasaan kecewa berbanding bercerita kepada keluarga dan insan rapat.

Malah kini, media sosial turut dijadikan sebagai platform untuk menegakkan keadilan ataupun menyuarakan pandangan masing-masing berkaitan sesuatu isu.

Namun yang pastinya, walaupun kebebasan diberi kepada pengguna media sosial untuk menyuarakan pandangan masing-masing menerusi ruangan komen, ia perlu ada batasnya.

 

PDRM Wajar Ambil Tindakan Pada Mereka Yang Sengaja Cetus Provokasi?

Sumber: Berita Harian

Meskipun setiap seorang daripada kita diberi kebebasan bersuara, namun mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil kesempatan di atas ‘kebebasan’ yang diberikan itu dengan menghantar komen berbaur hasutan serta provokasi di media sosial.

Jika tidak dibendung, netizen seakan-akan lupa diri apabila menggunakan media sosial dengan menabur kata-kata berbaur fitnah serta hasutan yang boleh mencetuskan perbalahan sesama mereka.

Walaupun kerajaan serta PDRM sudah mengeluarkan amaran kepada netizen supaya lebih berhati-hati apabila menggunakan media sosial dengan tidak mengeluarkan komen-komen negatif, tetapi arahan tersebut masih tidak diendahkan.

Sumber: The Sun Daily

Terbaru, terdapat juga netizen yang dikesan cuba membakar api perkauman melalui media sosial susulan kematian anggota bomba dan penyelamat, Muhammad Adib yang diserang sekumpulan lelaki di kawasan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield, Subang

Selain mengeluarkan komen yang seolah-olah mempertikaikan Tuhan kerana tidak menyelamatkan nyawa anggota bomba berkenaan, ada juga netizen dilihat sengaja mengeluarkan kata-kata berbaur provokasi yang turut diselit dengan pantun.

Dan ada juga yang menggunakan mesej bergambar serta video tentang kejadian semasa Adib diserang dengan disertakan beberapa petikan ayat berbentuk perkauman.

Sumber: Lobak Merah

Memang tidak dinafikan, netizen pada masa kini amat kreatif menggunakan teknologi yang ada dengan mengubah suai gambar serta video, tetapi tindakan itu boleh memakan diri sendiri.

Kini, mana-mana netizen yang cuba menghasut serta mengajak pihak lain untuk merusuh atau bergaduh di media sosial, akan diambil tindakan oleh PDRM melalui analisa dan pemantauan yang dibuat oleh pasukan mereka.

Jadi, selepas ini, setiap kali anda mahu memuatnaik status mahupun komen di media sosial, sentiasa beringat kerana setiap komen anda itu pastinya akan dipantau oleh PDRM.

 

Tulis Sebarangan Di Media Sosial, Akan Terima Akibat

Sumber: FMT

Sepanjang tempoh 10 bulan tahun lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima sebanyak 6,725 aduan mengenai penyalahgunaan perkhidmatan komunikasi dan media sosial.

Daripada jumlah itu, aplikasi media sosial yang didapati paling banyak disalahgunakan oleh pengguna menerusi aplikasi Facebook sebanyak 70 peratus diikuti Whatsapp dan Twitter.

Sumber: mStar

Malah, kes salah guna media sosial yang kebanyakannya disiasat oleh SKMM banyak berkaitan dengan kesalahan seperti menghantar dan memuat naik kandungan sumbang, lucah, palsu, mengancam atau bersifat keji yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM 1998) selain Akta Fitnah 1957, Akta Hasutan 1948, dan Kanun Keseksaan (Akta 574).

Untuk itu, bagi menambah baik cara kerja SKMM, mereka juga menjalankan kerjasama erat dengan PDRM dan Jabatan Peguam Negara bagi memantau salah laku media sosial yang dibuat dari pelbagai saluran.

Selepas ini, mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan media sosial, mereka akan disiasat sebelum disusuli dengan proses pendakwaan dan jika disabit kesalahan, pelaku boleh dihukum dengan denda, penjara atau kedua-duanya sekali.

KATA ORANG

KATA ANDA

Patutkah PDRM mengambil tindakan tegas terhadap netizen yang menghantar komen berbaur hasutan dan provokasi di media sosial?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN