Setiap kali menjelangnya musim perayaan, antara isu utama yang kerap kali dibincangkan adalah mengenai kes kemalangan jalan raya yang secara tradisinya dilihat akan terus meningkat dan mengorbankan nyawa sejumlah besar pengguna lebuh raya.

Gambar sekadar hiasan

Tidak kurang juga, ketika inilah akan ada manusia-manusia yang sibuk memperlahankan kenderaan untuk mengambil gambar atau video untuk disebarkan ke laman media sosial demi mengejar ‘likes’ semata-mata.

Tidak hairanlah, kesesakan teruk akan berlaku disebabkan sikap segelintir individu ini yang lebih gemar mengambil gambar daripada membantu mangsa kemalangan.

Sekiranya nampak kemalangan, apa yang perlu dilakukan mereka adalah menghubungi pihak berkuasa terlebih dahulu dan bukannya mendahulukan gambar untuk ditularkan.

Nanti, mulalah ada yang menuding jari kepada pihak berkuasa gara-gara lambat tiba di lokasi kejadian.Walhal, pengguna lebih raya itu sendiri yang terlalu asyik mengambil gambar dan video.

 

Sebar Gambar Kemalangan Satu Kesalahan

Apabila berlaku kemalangan, ramai di antara kita pasti tidak akan berfikir panjang tentang apa yang dilakukan.

Sumber: Harvard Business Review

Jadi, apabila gambar tersebut tersebar luas di media sosial hingga menimbulkan rasa marah ramai pihak, ketika itu baru timbul rasa menyesal dan bersalah terhadap apa yang dilakukan.

Perbuatan menyebar gambar kemalangan itu adalah satu kesalahan besar yang mana anda boleh dikenakan amaran oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan gambar-gambar yang mengganggu sensitiviti masyarakat.

 

Nampak Kemalangan, Hubungi Bomba

Di Malaysia, selagi mana pihak berkuasa tidak mendakwa mana-mana pemandu yang merakam kejadian kemalangan sambil memandu, selagi itulah fenomena menangkap gambar kemalangan ini makin menjadi-jadi.

Bagi mereka, apa yang penting adalah populariti kerana mereka mahu menjadi orang terawal yang menyebarkan gambar kemalangan itu tanpa mempedulikan kesannya terhadap orang lain terutama ahli keluarga mangsa itu sendiri.

Sekiranya nampak kemalangan berlaku, janganlah pula anda mengambil gambar dan video dan menularkan maklumat tidak tepat di media sosial tetapi hubungilah pihak bomba dengan segera.

 

Cara Negara Jerman Lakukan

Lain bezanya dengan apa yang berlaku di negara Jerman. Di sana, pihak berkuasa mereka sama sekali akan mendenda mana-mana individu yang mengambil gambar kemalangan sambil memandu.

Bukan itu sahaja, sekiranya ada pemandu yang tidak beretika mahu merakam gambar kemalangan, polis Jerman menggunakan pendekatan menarik dengan membawa mereka untuk melihat sendiri mangsa secara dekat.

Dengan cara sebegini, ia sama sekali sesuai digunakan untuk tujuan mendidik sekaligus mengekang perbuatan tidak beretika ini daripada terus menular dalam kalangan masyarakat mereka.

 

Patutkah Malaysia Tiru Cara Jerman?

Jadi, patutkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan kaedah yang sama seperti apa yang dilakukan oleh polis Jerman bagi tujuan mendidik masyarakat kita?

Gambar sekadar hiasan

Ada baiknya juga sekiranya negara kita turut sama menggunakan cara sebegini kerana lama-kelamaan ia secara tidak langsung boleh mendidik masyarakat supaya menghentikan budaya menangkap gambar kemalangan dan menyebarkannya.

Tindakan sebegini bukan sahaja menjaga sensitiviti masyarakat dan ahli keluarga mangsa tetapi juga turut melindungi pemandu itu sendiri daripada terkena tempias kemalangan.

Sebagai pemandu berhemah, fokus utama anda adalah untuk memberi sepenuh tumpuan kepada jalan raya bukannya memandu sambil merakam gambar mahupun video.

Sekiranya silap langkah, perbuatan anda itu sama sekali boleh mendatangkan bahaya buat pemandu yang lain juga.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah anda bersetuju sekiranya PDRM mengikuti langkah yang dilakukan polis Jerman ini?
2 votes · 2 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN