Penyeludupan dadah, itulah isu rumit yang sering menghantui negara kita. Boleh dikatakan saban tahun, ada sahaja kes-kes tangkapan dadah yang berjaya dibongkarkan oleh Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Kebiasaannya, dadah akan diseludup dari Thailand sebelum diedar-edarkan ke seluruh pelusuk tanah air.

Sumber Gambar: Halian Fadzli Shah

Mungkin anda tidak percaya sekiranya dikatakan bahawa Malaysia menjadi negara transit bagi kartel dadah di Indonesia.

Ia berikutan jarak geografi Malaysia yang sangat hampir dengan Indonesia memudahkan urusan membawa masuk dadah yang diseludup dari Thailand.

Dadah jenis sintetik seperti syabu, merupakan salah satu permintaan yang memberangsangkan. Bukan sahaja Indonesia bahkan juga Australia.

Buktinya, serbuan yang dilakukan oleh PDRM pada minggu lalu telah berjaya merampas sebanyak 12 tan kokain bernilai RM2.4 bilion yang dicampur dengan 69 tan arang batu dan dimuatkan dalam kontena sebelum berjaya dikesan di pelabuhan Pulau Pinang. Nilai ini merupakan nilai rampasan paling besar dalam sejarah negara.

Ruang Udara Dan Air Malaysia Dimanfaatkan Kartel

Menurut Direktorat Polisi Air dan Udara (Ditpolairud) Polda Riau, Komanden Besar Badarudin yang ditemu bual oleh Harian Metro menegaskan bahawa pihaknya telah mengesan banyak kes penyeludupan dadah dari Malaysia ke Indonesia.

Malah, berdasarkan siasatan pihaknya, sindiket penyeludupan dadah yang mendapat bekalan dari Thailand menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum menyeludupnya ke Indonesia.

Difahamkan penyeludupan dadah bukan sahaja melalui pintu masuk udara, bahkan sindiket turut menggunakan laluan laut Malaysia.

Sumber: Style Tribunnews

Kenapa Sangat Lumayan?

Bayangkan sahaja harga satu gram syabu di Indonesia sudah mencecah RM150, sedangkan harga di Malaysia hanyalah sebanyak RM50.

Bermakna harga dadah di Indonesia sangat lumayan dan menguntungkan para keldai dadah. Bayangkan pula sekiranya dadah yang dibawa itu berkilo-kilo, atau mungkin bertan-tan, sudah pasti keuntungan yang diperoleh sangat mengujakan.

Dengan jumlah populasi penduduk Indonesia melebihi 230 juta, tidak hairan sekiranya pasaran dadah di sana sangat besar. Ditambah pula dengan permintaan yang tinggi mencecah jutaan orang.

Masalah Nasional Atau Masalah Serantau?

Dengan nilai rampasan sebanyak RM2.4 bilion yang merupakan catatan rampasan paling tinggi dalam sejarah negara, adakah kita akan memandang kemelut ini sebagai masalah nasional? Sudah tentu tidak. Justeru kemelut dadah yang berleluasa seperti ini tidak lagi boleh dipandang enteng. Kemelut ini perlu ditangani secara serius sebagai masalah serantau.

Ia berikutan penyeludupan dadah datang dari pelbagai tempat. Disebabkan sudut geografi Malaysia yang strategik iaitu berdekatan dengan kawasan Segi Tiga Emas (pasaran dadah) Asia Tenggara, maka tidak hairan kartel-kartel dadah menjadikan Malaysia sebagai negara transit. Usaha ini tidak dapat dibanteras dengan jaya sekiranya tidak mendapat kerjasama semua pihak.

Sumber” Asian Games Supporter

Pun begitu, pihak berkuasa Indonesia bersedia melakukan pertukaran maklumat risikan dan merancang strategi bersama pihak berkuasa Malaysia bagi memastikan masalah jenayah rentas sempadan berjaya dibanteras dengan jayanya, begitu juga sebaliknya.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda kenapa isu dadah sukar dibanteras?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN