Setiap kali tibanya bulan puasa, umat Islam tidak akan ketinggalan untuk berkunjung ke bazar Ramadan bagi mendapatkan pelbagai jenis juadah makanan dan minuman.

Sumber: Astro Awani

Masa inilah, peniaga mengambil peluang berniaga pelbagai jenis makanan, kuih-muih tradisional serta minuman bermacam-macam rasa dan warna.

Tetapi ingat, dalam pada keterujaan menyediakan juadah berbuka puasa, penggunaan telefon bimbit, jam tangan serta perhiasan diri perlu dielak ketika mengendalikan makanan sekiranya tidak mahu didenda!

Ya, perkara sebegini mungkin tampak remeh tetapi sekiranya diabaikan, secara tidak langsung ia boleh memberi kemudaratan kepada pengguna akhirnya.

 

Mengapa Tidak Boleh Guna Telefon Bimbit, Jam Tangan & Perhiasan?

Sumber: Wiser.my

Ke mana sahaja kita pergi, kita pasti akan membawa dan meletakkan telefon bimbit di merata tempat termasuklah dalam tandas, restoran, pejabat, tempat rekreasi dan sebagainya.

Itu belum lagi dikira aspek kebersihan tangan yang mana sekiranya kita memegang tombol pintu, mangkuk tandas apa juga perkakas yang kotor dan kemudian memegang pula telefon bimbit. Bayangkan berapa banyak bakteria yang terkumpul pada skrin telefon itu.

Jam tangan serta barangan perhiasan diri seperti cincin dan gelang juga apa kurangnya. Jika dilihat suasana bazar Ramadan yang padat dengan manusia ditambah pula kepulan asap serta wap, ia sama sekali boleh menyebabkan tangan berpeluh.

Apabila berpeluh, ditambah pula dengan memakai barangan seperti itu, tidakkah ia mendatangkan lebih banyak bakteria sekaligus mencemarkan makanan itu juga?

Larangan terhadap barangan perhiasan seperti jam, gelang, cincin ini bukan sahaja untuk mengelak kuman atau kotoran yang terdapat pada perhiasan itu tetapi ia juga bagi mengelak barangan tersebut masuk ke dalam makanan yang disediakan.

 

 

Aspek Kebersihan Diri Yang Lain Juga Perlu Dititikberatkan

Bukan setakat barangan perhiasan yang tidak dibenarkan dipakai ketika menyediakan makanan tetapi aspek kebersihan diri yang lain juga perlu ditekankan juga.

Sumber: Kementerian Kesihatan

Dalam hal ini, dari rambut sehingga ke bahagian kaki, semua aspek kebersihan diri harus diutamakan.

Ada peniaga kemas pakaiannya, tetapi ada juga yang mengabaikan pemakaian apron, topi serta sarung tangan ketika menyediakan makanan.

Tahap kesihatan diri juga penting yang mana ketika menyediakan makanan, janganlah pula ada yang batuk, bersin, menggaru atau meludah kerana perbuatan tersebut sama sekali boleh mendatangkan penyakit berjangkit kepada pelanggan.

Penggunaan penutup muka juga perlu dititikberatkan bagi menghalang makanan dan minuman daripada tercemar disebabkan mulut dan hidung si pengendali makanan.

Sumber: Portal MyHEALTH

Bukan setakat tangan sahaja yang menjadi gudang kepada segala jenis bakteria dan kotoran tetapi hidung dan mulut juga sama di mana ada sesetengah organisma boleh menyebabkan penyakit dan boleh tersebar kepada makanan yang disediakan melalui titisan air liur.

Jadi, sekiranya pengendali makanan mengambil inisiatif mematuhi peraturan yang diberikan, tahap kebersihan makanan di Malaysia pasti akan meningkat sekaligus mengurangkan kes keracunan makanan.

 

Jika Gagal, Kompaun Akan Dikenakan

Dalam hal ini, sekiranya mana-mana pengendali makanan yang didapati gagal untuk mematuhi peraturan, pihak berkuasa boleh mengambil tindakan kompaun terhadap mereka kerana melakukan kesalahan.

Sekiranya disabitkan kesalahan, pengendali makanan itu boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit malaysia (RM10,000) atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada pandangan anda, adakah tindakan kompaun terhadap mana-mana pengendali makanan yang gagal mematuhi peraturan ini mengurangkan risiko keracunan makanan di bazar Ramadan?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN