Tamatnya Himpunan Penyatuan Ummah pada hari Sabtu yang lalu telah membuka lembaran baru dalam politik tanah air. Ini bermakna kisah perseteruan politik antara dua parti Melayu telah dipulihkan secara rasmi.

Ucapan kafir-mengkafir antara anggota parti sudah tidak lagi kedengaran. Ini bermakna, sembelihan orang UMNO, solat-solat fardhu, dan majlis nikah sudah ‘halal’ untuk diikuti oleh orang Pas.

Kesan Baik dan Buruk Kerjasama UMNO-Pas

Sudah pasti kerjasama politik secara rasmi dari satu segi, memberi aura baru dalam kancah politik pembangkang. Tetapi dari segi yang lain, ia menatijahkan kesan yang tidak baik terhadap perpaduan antara kaum.

Ini kerana pendekatan politik yang dibawa oleh UMNO-Pas, pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lebih terarah kepada isu-isu Melayu-Islam berbanding isu-isu nasional.

Sumber: Rozali Meat

Apa yang menarik, Pas yang dahulunya agak malu-malu untuk bersama Najib kini sudah semakin akrab. Boleh dikatakan sudah boleh duduk sepentas, makan setalam dan baring sebantal. Tidak ada lagi kecurigaan kes rasuah yang menghantui Najib.  

Tidak tahu di mana silapnya, imej kleptokrasi Najib seolah-olah sudah disucikan oleh pimpinan-pimpinan Pas secara terang-terangan. Malah, Najib turut dijadikan antara tokoh penting untuk berucap dalam Himpunan Penyatuan Ummah. Sudah pasti ia merupakan sesuatu yang memeranjatkan. Seorang perasuah tiba-tiba berbicara mengenai Ummah.

Kisah Silam Najib Sudah Disucikan

Berdasarkan laporan Utusan Malaysia, Najib turut digolongkan antara tokoh-tokoh penceramah yang memahami agenda penyatuan ummah yang telah ditentukan oleh jawatankuasa UMNO-Pas. Hal ini membuktikan bahawa segala bentuk rasuah dan kleptokrasi yang telah dilakukan oleh Najib sudah dihalalkan oleh Pas.

Sumber: Malaysiakini

Bagi Najib, sebagai orang yang terpalit dengan segala bentuk skandal dan penyelewengan sudah tentu ini merupakan pentas untuk memulihkan imejnya semula.

Bagi bekas perdana menteri itu, sokongan dari salah satu parti Islam sudah cukup buatnya untuk dilihat berada di landasan benar.

Perpaduan Ummah Penyelamat Imej Najib

Ini kerana mahkamah bukan lagi platform yang dirasakan mampu menyelamatkan karier politiknya. Sakit punggung, sakit mata, dan segala macam alasan yang entah apa-apa dikemukakan olehnya tidak lain dan tidak bukan hanyalah bertujuan untuk melengah-lengahkan perbicaraan kes.

Sepanjang berlangsungnya perbicaraan kes, tidak ada bukti-bukti baru yang konkrit mampu dikemukakan oleh Najib bagi membuktikan beliau tidak bersalah, melainkan kejutan yang dilakukan oleh bekas Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah dengan mendakwa bahawa Najib yang bertanggungjawab dalam hal ehwal 1 MDB.

Sumber: Brother Batu Return

Meskipun sebelum ini Husni dilihat lebih banyak mendiamkan diri dan menafikan skandal 1MDB yang berlaku, namun begitu senario sebagai pembangkang telah mengubah pendiriannya.

Najib Akan Diberi Peranan Penting?

Dijangka Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai antara UMNO-Pas akan diperincikan oleh jawatankuasa perunding dan teknikal. Justeru, jangan pelik selepas ini sekiranya Najib akan diberi peranan penting dalam jawatankuasa UMNO-Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-15.

Persoalan yang masih belum terjawab sehingga kini ialah, siapakah yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri dalam kabinet bayangan pembangkang sebagai persediaan menghadapi PRU Ke-15?

Adakah Zahid Hamidi, Mohamad Hassan, Hadi Awang atau Najib sendiri? Sekiranya Najib, maka tidak ada apa yang boleh diperkatakan mengenai kerjasama UMNO-Pas.

KATA ORANG

KATA ANDA

Sekiranya Pas mengangkat Najib sebagai penasihat Perpaduan Ummah adakah anda bersetuju?
8 votes · 8 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN