Januari lalu, kerajaan Pakatan Harapan telah memperkenalkan satu inisiatif skim perlindungan kesihatan nasional mySalam yang menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada 3.8 juta individu yang layak.

Menurut kementerian kewangan, inisiatif ini adalah kerjasama dengan syarikat insurans, Great Eastern Holdings(GEH) yang telah menyumbang caruman dana permulaan sebanyak RM2 bilion ke dalam dana amanah mySalam.

Kerajaan juga turut menyatakan tiada unsur keuntungan untuk mana-mana syarikat insurans melalui Skim mySalam ini.

Walaubagaimanapun, baru-baru ini, Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (AKAR), Ab Jalil Backer  dalam satu artikelnya di Sinar Harian mendakwa mySalam skim cepat kaya luar biasa.

 

GEH Untung Besar?

Dalam artikelnya, Ab Jalil berkata GEH dilihat seolah-olah tidak menerima apa-apa keuntungan, tetapi realitinya, melalui kerjasama ini GEH telah diberi pengecualian daripada memenuhi syarat Bank Negara Malaysia supaya setiap syarikat insurans di Malaysia mesti memenuhi minimum 30 peratus ekuiti milik tempatan.

Malah katanya, Lebih mengejutkan kita ialah pendedahan yang dibuat oleh Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Jeyakumar Devaraj bahawa untuk menjayakan skim itu kerajaan membayar premium RM400 juta setahun kepada GEH.

Jelasnya, dana RM2 bilion itu bukan atas risiko GEH sebaliknya ia dijamin sepenuhnya kerajaan melalui pembayaran premium RM400 juta setahun itu.

sumber: Free Malaysia Today

Ab Jalil berkata, RM400 juta adalah satu jumlah wang tunai yang sangat besar dalam perniagaan. Bermacam keuntungan boleh dijana sepanjang setahun dengan jumlah tersebut

Meletakkan RM400 juta dalam akaun simpanan tetap (fixed deposit) sahaja akan menghasilkan pulangan sekitar RM12-RM16 juta setahun. Ini keuntungan biasa simpanan tetap bagi kadar faedah antara tiga peratus hingga empat peratus setahun.

 

Wajar Tamatkan

Katanya lagi, kerajaan mempunyai kemampuan kewangan menanggung pembayaran skim tersebut tanpa perlu membayar mana-mana syarikat insurans. Malahan jika diteliti perjalanan skim ini ternyata syarikat insurans terbabit langsung tidak mempunyai risiko tuntutan melebihi premium.

Jadi tegasnya, adalah wajar kerajaan menamatkan sahaja insurans MySalam dan membayar sendiri faedah-faedah yang dijanjikan oleh skim ini.

Beliau turut mempersoalkan Apakah ini rancangan membalas budi korporat tertentu atas sumbangan semasa pilihan raya atau ada perkara di belakang tabir yang tidak diketahui rakyat?

 

Kerajaan Nafikan Skim Cepat Kaya

Walaubagaimanapun, Kementerian Kewangan menafikan dengan keras dakwaan yang mengatakan skim mySalam sebagai skim cepat kaya yang hanya memberi keuntungan kepada syarikat insurans.

Sekali lagi kementerian itu dalam satu kenyataan berkata, skim perlindungan kesihatan berkenaan merupakan skim takaful yang tidak bermotif keuntungan.

Kata kenyataan itu lagi, segala baki premium yang telah dibayar kepada syarikat takaful yang tidak dituntut dan faedah simpanan yang terkumpul, akan dibayar balik sepenuhnya kepada Tabung Amanah mySalam.

Kementerian juga berkata dakwaan yang dibuat Ab Jalil itu palsu dan secara langsung menunjukkan bahawa beliau tidak tahu fakta sebenar berkaitan skim ini.

Tambah Kementerian Kewangan, artikel berkenaan dirujuk berdasarkan fakta palsu dan tajuk yang sensasi adalah bertujuan untuk menidakkan manfaat yang dinikmati rakyat daripada skim ini.

Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia sudah menjalankan kajian dan penilaian yang menyeluruh untuk memastikan bahawa skim mySalam memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.

 

Manfaat kepada Rakyat

Seramai 3.8 juga individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun, serta pasangan mereka yang layak menerima skim mySalam ini.

Sebagai permulaan, Skim ini akan ditawarkan melalui Great Eastern Takaful Berhad, pengendali takaful yang didaftarkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia.

Mereka yang layak akan dimaklumkan melalui SMS di mana mereka dilindungi di bawah Skim ini. Skim ini menyediakan pembayaran sebanyak RM8,000 satu kali atau sekaligus sekiranya mereka disahkan menghidapi mana-mana satu daripada 36 penyakit kritikal seperti kanser, penyakit jantung, distrofi otot, Alzheimer, dan lain-lain.

Selain itu, skim mySalam juga menyediakan bayaran penggantian pendapatan sebanyak RM50 sehari untuk tempoh maksimum 14 hari, atau RM700 setiap tahun, kepada mereka yang menerima rawatan di mana-mana hospital kerajaan.

Tujuan kerajaan menyediakan skim perlindungan kesihatan sosial ini adalah untuk  membantu golongan miskin yang memerlukan bantuan mengatasi masalah kewangan apabila menghidapi penyakit-penyakit kritikal.

 

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Pada Pandangan Anda, mySalam untungkan siapa?
8 votes · 8 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN