Pada 1 November ini, sebuah portal khas MyDeclaration yang dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal mendedahkan senarai aset milik menteri, timbalan menteri serta Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH).

Melalui portal terbabit, senarai aset yang telah diisytiharkan oleh mereka akan dipaparkan di dalam portal yang membolehkan orang ramai mengakses serta memeriksa senarai aset yang dimiliki termasuk rumah, kereta, tanah, bangunan, perniagaan serta akaun bank.

Bagaimanapun, beberapa menteri, timbalan menteri serta Ahli Parlimen menyatakan rasa bimbang terhadap portal tersebut berikutan wujud kebimbangan pencerobahan privasi dan keselamatan ahli keluarga yang mungkin akan terancam jika aset didedahkan kepada umum.

Namun, SPRM memberi jaminan kepada mereka yang mana pihaknya tidak akan memaparkan aset milik ahli keluarga terdekat malah hanya harta anggota Kabinet dan Ahli Parlimen PH akan didedah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri dua minggu lalu.

 

Wajarkah Aset Keluarga Didedah Kepada Awam?

Sumber: Sokmo.net

Sejak kebelakangan ini, pihak SPRM banyak mendedahkan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa oleh kepemimpinan negara terdahulu sehingga mendapat perhatian media tempatan mahupun luar negara.

Sehingga kini, ada beberapa pemimpin yang masih turun naik ke pejabat SPRM untuk disoal siasat berkenaan kes yang dituduh ke atas mereka.

SPRM kini memperlihatkan perlunya mewujudkan satu langkah bagi membendung rasuah di mana kerajaan PH kini bertekad untuk membasmi rasuah di kalangan semua kepemimpinan negara seperti termaktub di dalam manifesto mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) yang lalu.

Hal itu berikutan rakyat kini perlu mengetahui jumlah harta yang dimiliki setiap pemimpin sama ada kerajaan mahupun pembangkang kerana tidak mahu episod lama berulang kembali.

Mana tidaknya, sebaik kerajaan PH memenangi PRU-14 yang lalu, pemimpin yang dahulunya seorang yang disegani ramai dituduh memiliki jutaan ringgit di dalam rumah malah ada juga yang mempunyai pelbagai harta yang membuatkan rakyat terkejut terhadap kesemua aset yang dimiliki oleh pemimpin tersebut di samping sudah hilang rasa percaya terhadap beberapa pemimpin terdahulu.

Sumber: Suara Pakatan Daily

Oleh sebab itu, kerajaan kini bersetuju untuk membuat pengisytiharan harta supaya rakyat tahu setiap aset yang dimiliki oleh mereka bagi mengelak pemimpin ini terbabit di dalam rasuah dan salah guna kuasa.

Malah, kerajaan PH sebelum ini juga mewajibkan menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen yang mewakili setiap parti dalam pakatan berkenaan, mengisytihar dan memperincikan harta masing-masing untuk membolehkan ia disiarkan melalui portal MyDeclaration ini.

Menerusi portal ini, rakyat tidak lagi mempunyai tanda tanya kepada semua pemimpin kerana kesemua aset yang dimiliki mereka telah diketahui rakyat tanpa unsur selindung.

 

Dedah Aset Dapat Kekang Gejala Rasuah

Sumber: mStar

Gejala rasuah di Malaysia kini semakin membimbangkan tidak kira orang biasa, penjawat awam, ahli politik serta pemimpin besar.

Mungkin ada yang beranggapan apabila kesemua rekod pengisytiharan harta beberapa pemimpin didedahkan kepada umum ia bakal mengugat keselamatan serta privasi mereka.

Namun, apa yang dilakukan SPRM itu bukan bertujuan untuk mengugat keselamatan setiap pemimpin tetapi untuk membendung rasuah serta merekod aset serta harta yang dimiliki mereka agar tidak meningkat secara mendadak.

Dengan membuat pendedahan harta di portal tersebut, ia dapat mewujudkan suasana persekitaran sihat dalam kalangan pemimpin kerana mereka sedar bahawa rakyat kini semakin bijak menilai wakil rakyat mereka dan mahukan kerajaan yang telus, amanah dan bertanggungjawab.

Selain itu, langkah mendedahkan aset juga dilihat mampu memberi kepercayaan rakyat terhadap kerajaan kini yang bebas daripada tuduhan rasuah sekaligus membawa imej yang baik kepada negara luar.

KATA ORANG

KATA ANDA

Wajarkah SPRM dedah senarai aset yang dimiliki menteri, timbalan menteri dan Ahli Parlimen PH di dalam portal khas kepada orang ramai?
0 votes · 0 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN