Bila sebut mengenai kecantikan, ianya sangat sinonim dengan wanita daripada penjagaan rambut sehinggalah ke kaki.

Ada juga yang sanggup berhabis wang ringgit untuk kelihatan cantik dengan membeli produk kosmetik mahal yang terdapat di pasaran untuk kepuasan diri sendiri.

Malah, tidak kurang juga ada yang memilih untuk mengunjungi spa kecantikan bagi mendapatkan perkhidmatan secara profesional daripada perunding kecantikan.

Jika ingin dibandingkan dengan cara kita menguruskan wajah misalnya, amat jauh sekali dengan cara perunding kecantikan ini yang mana mereka mempunyai kemahiran di dalam teknik pengurusan kecantikan dari segi peralatan serta produk yang mereka gunakan.

Selain daripada spa kecantikan yang mempunyai kedai, sekarang ini pun banyak pemilik spa beralih arah kepada spa bergerak di mana mereka menjalankan perkhidmatan spa di rumah bagi memenuhi kehendak wanita yang ingin ke spa tetapi lebih selesa melakukannya di rumah sendiri.

Namun, lain pula jadinya apabila baru-baru ini, berlaku insiden melibatkan seorang pelanggan wanita yang melecur teruk pada bahagian muka selepas mendapatkan rawatan kecantikan spa bergerak.

Apa yang menyedihkan, kesan melecur yang dialami wanita terbabit mungkin akan kekal sepanjang hayatnya memandangkan kondisi lecurnya itu berada pada tahap 3 dan tidak boleh pulih sepenuhnya sampai bila-bila.

 

Rakan Mangsa Berkongsi Kisah Duka Di Facebook

Sumber: Facebook Nur Narquiyah Halil

Selepas apa yang berlaku terhadap mangsa, Inazalina Zalina, rakannya turut bersimpati terhadap insiden yang berlaku itu dengan berkongsi kisah duka sahabatnya di laman Facebook supaya dijadikan sebagai iktibar.

Berdasarkan apa yang dikongsi, rakannya itu dikatakan telah mendapatkan servis facial menggunakan mobile spa ‘The Walking Beauty Project’ bersama seorang pakar kecantikan.

Sumber: Facebook Nur Narquiyah Halil

Bagaimanapun ketika sesi rawatan, pakar kecantikan itu dikatakan telah tidak sengaja menumpahkan air panas steamer yang sedang menggelegak ke atas muka, mata dan leher sahabatnya itu.

Walaupun sahabatnya itu sudah menegur tindakan pakar kecantikan itu yang risaukan steamer itu terlalu dekat dengan mukanya, namun tidak diendahkan sehingga perkara malang itu berlaku.

Sumber: Facebook Nur Narquiyah Halil

Akibat tumpahan air tersebut, sahabatnya itu pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan pakar bedah sendiri namun kesan lecur yang dihadapinya itu boleh dikatakan sebagai kecacatan memandangkan bahagian melanin kulitnya itu melecur teruk dan tidak boleh dipulihkan semula.

 

 

Pemilik Spa Lepas Tangan Tidak Mahu Bertanggungjawab

Sumber: Facebook Nur Narquiyah Halil

Selepas insiden itu, mangsa dikatakan cuba mendapatkan penjelasan dari pakar kecantikan terbabit namun beliau hanya memberikan vitamin C Shaklee sebagai pampasan selepas hari ketiga sahabatnya itu dimasukkan ke dalam wad.

Mangsa yang masih lagi tidak boleh menerima apa yang berlaku terhadap dirinya cuba menghubungi pemilik spa tersebut namun pemilik tersebut lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab ke atas insiden yang menimpa sahabatnya itu.

Sumber: Facebook Nur Narquiyah Halil

Selepas coretan rakannya itu menjadi tular, kebanyakan netizen di media sosial bertanya mengenai kemalangan yang menimpa salah seorang pelanggan spa terbabit namun pemilik spa itu mengatakan perkhidmatan yang mereka tawarkan kepada pelanggan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang selamat.

Sumber: Facebook SAYS Seismik

Akibat soalan berbaur kemalangan yang sentiasa diasak netizen kepada pemilik spa berkenaan, tidak lama selepas itu, laman Facebook spa berkenaan dilihat telah dipadamkan sehingga ia menimbulkan rasa tidak puas hati kebanyakan netizen yang mengatakan bahawa pemilik tersebut langsung tidak mahu bertanggungjawab atas insiden itu.

 

Pemilik Tampil Dakwa Dirinya Difitnah

Sumber: Facebook Ainul Shahrazad

Bagaimanapun, selepas isu tersebut ditularkan beberapa hari, pemilik berkenaan tampil memberikan penjelasan dengan berkata bahawa dirinya telah difitnah.

Pemilik spa berkenaan, Ainul Shahrazad dalam satu status panjangnya itu menjelaskan pihak spa tidak sepatutnya dipersalahkan dalam isu tersebut.
Menurutnya, spa berkenaan merupakan sebuah projek yang memberi tunjuk ajar kepada peserta tentang cara membuat rawatan facial, foot spa, hand spa, dan sebagainya.

Malah, pemilik tersebut mengatakan bahawa perkhidmatan yang mereka tawarkan itu terpulang ke atas pelanggan sama ada mereka ingin memulakan perniagaan spa sendiri atau tidak yang mana ada pelanggan mereka juga pergi menambah ilmu rawatan spa di tempat lain yang bukan sahaja ditawarkan di spa mereka.

Tegasnya, segala apa yang terjadi selepas itu adalah di luar bidang kuasa mereka malah pihaknya juga tidak sepatutnya bertanggungjawab di atas kecuaian yang berlaku.

 

Pelanggan Juga Punya Hak Untuk Bela Nasib Sendiri

Sumber: KPDNKK

Bagi kes-kes yang melibatkan penipuan, kegagalan untuk mendapatkan produk yang telah dibayar, mendapat produk yang tidak mengikut spesifikasi atau tidak selamat sehingga menyebabkan kecacatan, pengguna sememangnya mempunyai hak untuk membela nasib sendiri.

Apabila bercakap mengenai bela nasib, mungkin ada yang fikir mereka perlu mendapatkan khidmat dari peguam terlebih dahulu namun tidak sama sekali.

Sebenarnya anda boleh membela nasib anda sendiri tanpa khidmat guaman di mana kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah mewujudkan Tribunal Tuntutan Pengguna (TTP) untuk membantu pengguna menuntut hak mereka tanpa perlu ke mahkamah sivil.

Di TTP ini, mana-mana pengguna yang dianiaya boleh membuat tuntutan kepada mana-mana individu atau syarikat berkaitan dengan aduan melibatkan barang yang dibeli atau perkhidmatan yang digajikan selagi tuntutan tersebut tidak melebihi RM25,000.

Bagi pengguna yang mempunyai aduan berkaitan dengan barangan atau perkhidmatan yang dikatakan tidak selamat, palsu, mengelirukan atau memperdaya, mereka juga boleh menfailkan aduan terus kepada KPDNKK melalui telefon, laman web, surat atau datang ke Pusat Pengurusan Adu­an Pengguna (PPAP) yang ada di setiap daerah.

Di bawah Seksyen 25 Akta 559 juga telah memperuntukkan hukuman bagi sabitan kesalahan, yang mana jika peniaga atau pembekal perkhidmatan didapati melanggar peruntukan Bahagian II dan III, seseorang pesalah persendirian boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Jika peniaga adalah sebuah syarikat, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM250,000 sebagai langkah pencegahan terhadap pelanggaran hak pengguna.

Dalam insiden yang berlaku ke atas mangsa, kecacatan yang dialaminya itu sememangnya tidak boleh diganti dengan wang ringgit namun adalah tidak wajar sekiranya pemilik berkenaan lepas tangan dan tidak mahu bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.

Mereka seharusnya bertanggungjawab dan memperbetulkan keadaan, bukannya melepas tangan kerana tindakan itu akan memakan diri sendiri di mana pelanggan lain juga akan hilang kepercayaan ke atas perkhidmatan yang mereka tawarkan selepas ini.

 

KATA ORANG

KATA ANDA

Patutkah pemilik spa tersebut dikenakan tindakan undang-undang atas kecuaian yang dilakukan pakar kecantikannya sehingga mengakibatkan pelanggannya melecur teruk?
6 votes · 6 answers
Undi

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN